Home » » Memahami manfaat hukuman sebat

Memahami manfaat hukuman sebat

Memahami manfaat hukuman sebat

Siri Forum Hadhari bertajuk, 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tidak menghairankan jika ada yang masih menganggap betapa 'terkebelakangnya' hukuman rotan dalam perundangan syarie. Ini apabila mereka memahaminya sebagai hukuman yang amat mendera, meninggalkan kesan yang luka-luka dan lebih teruk dituduhnya, tujuan tiada lain, kecuali untuk menjatuhkan maruah terutamanya jika yang menerima hukuman tersebut wanita!

Alasannya, dalam kata wanita sebagai golongan yang lemah dan datangnya Islam itu, satu-satunya agama yang mengangkat martabat dan maruah wanita, jadi sesuaikah jika golongan ini dirotan?

Pelbagai polemik timbul mengenai pelaksanaan hukuman rotan ini dan setiap kali itulah juga atas dasar tanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada diperkotak katik. Pelbagai pihak mengambil inisiatif mengajak orang ramai berada dalam sebuah forum, seminar dan syarahan bagi sama-sama memahami mengenai hukuman ini dan undang-undang Islam secara keseluruhannya.

Ini sebagaimana yang dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Mereka menganjurkan Siri Forum Hadhari bertajuk 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' yang dibarisi oleh barisan panel iaitu dua pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail dan Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin serta pensyarah dari Fakulti Undang-undang UKM, Dr. Jasri Jamal.

Forum yang dipengerusikan oleh pensyarah Fakulti Undang-undang, UKM, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal berjaya menarik kehadiran hampir 200 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk individu, para pelajar dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusuf Othman berkata, dewasa ini orang ramai terutamanya di kalangan bukan Islam begitu memerhatikan segala macam tribulasi dan mehnah mengenai Islam.

Malah pelaksanaan Islam di negara ini turut mendapat perhatian dunia lebih-lebih lagi mereka telah memberi pelbagai gambaran hukuman seperti ini yang dilaksanakan di negara-negara Islam yang lain.

"Namun adalah sangat penting bagi kita menjelaskan bahawa hukuman rotan syarie sama sekali tidak bertujuan menghina tetapi mempunyai perspektif yang tersendiri dan signifikan.

"Ini kerana lebih hina lagi perbuatan kesalahan yang telah mereka lakukan seperti minum arak, zina dan sebagainya itu," katanya.

Sebagai seorang yang berpengalaman luas di bidang undang-undang, Noor Aziah mengakui hakikat kelemahan wanita tetapi tidak timbul golongan tersebut teraniaya atau didiskriminasi apabila dirotan atas kesalahan yang mereka lakukan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dr. Paizah yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 2004, bahawa hukuman rotan dalam undang-undang Islam adalah hukuman yang telah diperundangkan selepas melalui proses penggubalannya peringkat demi peringkat.

Dengan kata lain, hukuman tersebut tidak direka atau sengaja diada-adakan tanpa sebab musabab, jauh sekali menganiaya mana-mana pesalah, baik pesalah lelaki mahupun perempuan.

Beliau menarik perhatian apabila Islam membenarkan isteri yang nusus supaya dipukul oleh suami tetapi perlu difahami sepenuhnya tata cara untuk memukul isteri berkenaan.

"Adakah sehingga isteri cedera, luka berdarah-darah! Adakah dengan cara itu bertujuan mengajar atau hendak membunuh? Begitu juga hukuman rotan terhadap pesalah yang minum arak dan apa juga jenis kesalahan yang lainnya, adakah kita tidak mempunyai tata cara rotan kita sendiri bagi mencapai matlamat untuk mengajar, mendidik, menimbulkan keinsafan dan sebagainya.

"Dalam soal ini, sejauh mana para pesalah menjiwa sepenuhnya hukuman Islam amat memainkan peranan.

"Jika tidak dijiwai terutama tidak bertaubat nasuha, berat atau ringan sesuatu hukuman itu pastinya tidak meninggalkan sebarang kesan. Tetapi sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada umat Islam yang lainnya," katanya.

Sebelum itu beliau menarik perhatian pendengar dengan beberapa keunikan perkataan: "behe", "piak", "gode" dan "godam" iaitu istilah rotan dan pukul mengikut dialek Kelantan.

Berbanding jenayah syariah berbentuk hudud seperti berzina dan qazaf (tuduhan zina) yang jelas dinyatakan bentuk hukuman tersebut dalam al-Quran, kesalahan minum arak hanya disebut dalam bentuk larangan (al-Maidah, ayat 90)

"Benar, bentuk hukuman minum arak tidak dijelaskan dalam al-Quran tetapi Rasulullah telah menetapkan bagi kesalahan tersebut perlu dihukum sebanyak 40 kali rotan yang di zaman Rasulullah hukuman ini dilaksanakan.

"Malah di zaman Khalifah Ali bin Abi Talib beliau pernah menjatuhkan hukuman rotan ini sebanyak 100 kali terhadap seorang lelaki yang dengan sengaja minum arak. Iaitu 80 kali atas kesalahan minum arak dan 20 kali kerana sengaja minum arak di bulan Ramadan, bulan umat Islam berpuasa," jelasnya.

Ini bagi menjawab sesetengah pihak yang mempersoalkan justifikasi hukuman rotan terhadap pesalah minum arak kerana ia tidak disebut dalam al-Quran.

Tetapi kata Dr. Paizah, yang jelas arak hukumnya haram malah dikategorikan sebagai kesalahan dosa-dosa besar.

"Maka akan ada hukumannya yang mandatori, rigid iaitu hukum hudud bagi setiap pesalah yang meminum arak tanpa mengira lelaki atau perempuan," katanya.

Dr. Nasimah pula tegas dengan kenyataan hukuman rotan dan lain-lain aspek perundangan Islam itu tidak pernah diganggu oleh mana-mana pihak termasuk pihak British ketika menjajah Tanah Melayu dahulu.

Katanya, ini tentu menghairankan apabila sejak akhir-akhir ini ada pihak cuba menjadi 'juara' bagi menentang hukuman ini termasuk dari segelintir dari umat Islam itu sendiri.

"Jangan hanya kerana hukuman rotan terhadap pesalah wanita tidak ada peruntukannya dalam undang-undang sivil, maka hendak dipertikaikan perlaksanaan hukuman seperti itu dalam undang-undang syarie," katanya.

Namun yang menariknya, tidak semua kesalahan jenayah syarie termasuk arak akan berakhir dengan hukuman rotan.

"Ini seperti yang berlaku di Melaka, hukuman rotan hanya dijatuhkan atas kesalahan liwat kerana kesalahan meminum arak hanya akan dijatuhkan dengan hukuman rotan di empat negeri sahaja iaitu, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis," jelasnya.

Semua ini berpunca daripada tiada keseragaman undang-undang syariah di negara ini.

Begitu pun apa juga bentuk kesalahan jenayah syarie itu termasuk bersekedudukan secara haram (zina), khalwat, liwat, muncikari (bapa ayam), musahaqah (lesbian), ajaran sesat, tidak menunaikan solat Jumaat, makan di khalayak ramai di bulan puasa, judi, tuduhan qazaf dan sebagainya, bentuk hukuman adalah sama.

Hukumannya adalah denda maksimum RM5,000, penjara tiga tahun atau sebatan atau rotan sebanyak enam kali.

Bentuk hukuman ini kemudiannya menjadi satu istilah dan fenomena menarik apabila perundangan Syariah di negara ini juga dikenali sebagai Undang-undang 536 (denda, penjara dan rotan).

"Yang sepatutnya menjadi persoalan mengenai kewajaran sama ada untuk mempertahankan undang-undang 536 ini atau perlu penambahbaikan atau lebih tepat ditambah hukuman-hukuman tersebut supaya ia lebih sifat 'mengajar'.

Menurut Dr. Nasimah, undang-undang 536 ini telah berusia 24 tahun dan ia tidak pernah disemak semula. Sedangkan masa berjalan dengan begitu pantas, hukuman tiga tahun mungkin tidak begitu dirasai, denda RM5,000 semua orang mampu untuk membayarnya.

"Jika tidak pun hukuman rotan perlu lebih mendapat keutamaan kerana dengan hukuman itu, seseorang pesalah tidaklah sampai hilang pekerjaan atau berpisah dengan kaum keluarga," katanya.

Hampir kesemua panel forum itu percaya bahawa hukum-hukum syarie sekali pun rigid tetapi penuh dengan pelbagai fleksibiliti terutama dalam aspek pelaksanaannya.

Ini sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah apabila seorang wanita menemui baginda mengaku berzina sehingga mengandung.

Rasulullah tidak menjalankan hukuman terhadapnya sehingga wanita itu selamat bersalin dan tamat tempoh menyusukan anak barulah hukuman dilaksanakan.

Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Jasri pula, dalam undang-undang syarie wanita mahupun lelaki yang berusia lebih 50 tahun tetap perlu menjalani hukuman rotan dengan pihak berkuasa dapat mengenalpasti pelaksanaan yang terbaik.

"Termasuk boleh ditangguh pelaksanaan rotan jika pegawai perubatan memperakui disebabkan umur tua, keuzuran atau apa-apa sahaja masalah yang dirujuk kepada mahkamah untuk memerintahkan hukuman mengikut cara yang munasabah.

"Tetapi yang jelas dari aspek cara sebatan itu disebutkan seperti di Wilayah Persekutuan adalah dalam kekuatan yang sederhana, sebatan ke seluruh tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit, tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya, tidak melukakan kulit, pesalah lelaki dalam keadaan berdiri, duduk untuk pesalah perempuan," kata beliau.

Seharusnya kita dapat bersetuju hukuman rotan perlu mendapat keutamaan dari aspek keputusan mahkamah dan pelaksanaan hukuman.

Berbanding hukuman denda dan penjara, merotan mampu memberi kesan secara maksimum dalam aspek memberi pengajaran kepada para pesalah.

Malah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Nasimah, rotan ini ada kebaikannya dalam aspek rawatan dan kesihatan bagi memulihkan aspek fizikal dan mental para pesalah.

"Terdapat klinik di Rusia yang menggunakan kaedah merotan kepada para pesakit apabila didapati pukulan-pukulan rotan terutama mengenai di bahagian pinggul dapat memulihkan apa juga masalah pesakit.

"Iaitu dari masalah tekanan perasaan sehinggalah soal ketagihan alkohol kerana didapati merotan itu dapat merembeskan lebih banyak hormon keseimbangan badan," katanya.

Namun apa yang didedahkan oleh Noor Aziah berdasarkan kajian adalah lebih membimbangkan lagi.

Ini apabila seramai 4,000 responden beragama Islam di negara ini yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun, 80 peratus daripada mereka mengaku minum arak.

Walaupun keputusan kajian itu belum lagi rasmi, namun dikatakan fenomena minum arak merupakan gejala yang benar-benar melanda umat Islam di negara ini.

Di saat itu, sebagaimana istilah popular ada menyebut kerosakan telah berlaku! Maka berapa banyak kos sosial diperlukan untuk memulihkan ketagihan itu?

Oleh SITI AINIZA KAMSARI



Affiliates

 
Chatroom