Home » » Jutawan India terkaya di Britain

Jutawan India terkaya di Britain

Nilai harta individu- individu terkaya di Britain dilaporkan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh setahun ketika kebanyakan negara masih bergelut untuk pulih daripada kegawatan ekonomi.

Senarai kekayaan individu terkaya di Britain yang disiarkan Sunday Times hari ini, menunjukkan hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal di tangga teratas dengan aset berjumlah AS$34.5 bilion (RM110 bilion), berbanding AS$16.6 bilion (RM53 bilion) yang diperolehnya pada tahun lalu.

Jutawan Rusia yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich, kekal di tangga kedua dengan kekayaan berjumlah AS$11.3 bilion (RM36 bilion), peningkatan sebanyak AS$615 juta (RM2 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Penyusun senarai itu bagi 2010, Philip Beresford berkata, peningkatan jumlah kekayaan individu-individu terkaya di Britain pada tahun ini merupakan peningkatan tertinggi sejak ia pertama kali disiarkan 21 tahun lalu.

Pemulihan pasaran saham global dan nilai harta berikutan kegawatan ekonomi dunia sebelum ini, membantu meningkatkan kekayaan individu-individu berkenaan.

Seramai 1,000 individu terkaya di Britain menambah kekayaan terkumpul mereka sehingga AS$118.4 bilion (RM377 bilion) pada tahun lalu, meningkatkan jumlah kekayaan keseluruhan sebanyak AS$515.9 bilion (RM1.6 trilion).

Sepuluh individu berkongsi kedudukan sebagai jutawan ke-53 terkaya di Britain.

Peningkatan pasaran komoditi menambah kekayaan usahawan perlombongan, Alisher Usmanov sebanyak 213 peratus kepada AS$7.2 bilion (RM22.9 bilion) dan Anil Agarwal sebanyak 583 peratus kepada AS$6.3 bilion (RM20.1 bilion).

Ketika menjelaskan sebab-sebab usahawan asing mengatasi jutawan Britain dalam senarai itu, Beresford berkata, rakyat Rusia menyukai United Kingdom (UK) kerana ia selamat, tahap rasuahnya rendah dan mereka mendapat layanan perkhidmatan yang memuaskan. -- AFP



 
Chatroom