Home » » Khasiat Minum Susu

Khasiat Minum Susu

Dua gelas susu daripada rumusan susu yang disyorkan sudah memadai dalam memenuhi keperluan minimum kalsium tubuh anda.

Ini sudah pasti perlu untuk mengelakkan kemerosotan jirim tulang, satu proses yang tidak boleh diterbalikkan.

Dan melalui pengambilan kalsium yang perlu setiap hari mengikut sukatan yang disyorkan, kekuatan tulang dapat dikekalkan sepenuhnya.

Tetapi bagaimana untuk memastikan pengambilan kalsium daripada susu yang anda minum adalah memadai?

Golongan dewasa semuda 19 tahun disyorkan mengambil antara 1000 dan 1200 milligram kalsium setiap hari.

Beberapa jenama susu boleh membekalkan keperluan kalsium yang secukupnya dengan meminum dua gelas susu itu setiap hari.

SUSU KALSIUM TINGGI

Produk susu Anlene baru-baru ini mengumumkan penemuan klinikal yang penting iaitu susu ini dapat memulihkan kekuatan tulang dalam tempoh empat minggu sahaja.

Penemuan terbaharu ini adalah hasil ujian klinikal yang pertama seumpamanya dikendalikan oleh pakar-pakar tulang di rantau.

Pada hakikatnya, tulang manusia mula merosot seawal usia 30 tahun. Kadar kemerosotan mula melampaui kadar penjanaan semula di peringkat ini.

Yang paling penting, untuk memastikan tulang yang lebih kuat, setiap orang perlu mempunyai kombinasi tepat zat yang diperlukan tulang pada tahap yang disyorkan.

Pengurus besar bagi Fonterra Brands (M) Sdn Bhd, John McKay, juga berkongsi pandangan akan program seluruh negara Fonterra bagi warga Malaysia; Pemeriksaan Kesihatan Tulang yang dijalankan di kawasan bandar dan luar bandar. Fontera merupakan pengedar susu Anlene.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengapa penting untuk mengekalkan kekuatan tulang.

"Kami telah memeriksa lebih 150,000 orang. Selepas memeriksa mereka menerusi program pemeriksan ini di tempat-tempat awam, majoriti responden didapati berada dalam zon oren, iaitu bacaan antara (-ve)-1 dan (-ve)-2, yang menunjukkan risiko sederhana bagi tulang rapuh dan bahaya menghidap Osteoporosis," kata McKay lagi.

Zon hijau iaitu bacaan antara 2.00 dan -0.99 menunjukkan risiko yang rendah, (-ve) -2.49 hingga (-ve) -1.0 menunjukkan risiko sederhana, sementara kumpulan berisiko tinggi akan menyaksikan bacaan antara (+ve) +2.5 dan (+ve) +4.0.

Program pemeriksaan ini menggunakan mesin ultrasound.

Penulis ini juga mengambil peluang untuk menguji kekuatan tulangnya dan mendapati keadaan tulangnya adalah memuaskan dengan beliau berada dalam kategori risiko rendah.

SUSU TIDAK MENYUMBANG KEPADA KEGEMUKAN

Duta jenama bagi Anlene, Datuk Michelle Yeoh juga hadir pada majlis memperkenalkan susu Anlene baru ini yang dikatakan lebih berkesan dengan susu ini membantu mengekalkan tulang yang kuat dalam tempoh 4 minggu sahaja.

Beliau menekankan yang susu ini adalah baik bagi kesihatan dan tidak menyebabkan kenaikan berat badan.

"Lihatlah saya, saya bukan gemuk. Sebenarnya saya meminum susu sejak zaman kanak-kanak lagi. Pilihlah produk lemak rendah," kata bintang filem ini.

Anlene juga memperkenalkan iklan terbaru pada majlis itu, yang menggambarkan seorang penari wanita yang melenturkan badannya ke belakang.

Beliau terdengar bunyi geresek tulang semasa melakukan gerakan itu yang mengejutkan beliau dan pasangannya, beliau terus memutuskan untuk mengambil susu yang disyorkan untuk memulihkan semula kekuatan tulangnya dalam tempoh 4 minggu sahaja.

GAYA HIDUP AKTIF

"Saya suka dengan iklan baru ini dan mesej yang disampaikan adalah jelas sekali. Lelaki dan wanita perlu menjaga dengan baik tulang mereka. Dan kebanyakan rakyat Malaysia buat masa ini hanya mengambil 50 peratus daripada jumlah kalsium yang diperlukan setiap hari. Ini tidak cukup untuk mengekalkan kekuatan tulang mereka," tambah Yeoh, yang juga mencerita aksi-aksi 'stunt' beliau dalam filem terkininya dengan penggambaran di Taiwan dan China.

"Kali ini 'stunt' saya lebih mencabar daripada yang sebelumnya. Saya terpaksa lompat dari bumbung ke bumbung untuk melawan penjahat. Perlu banyak gerakan lompat dan meregang badan," beliau menjelaskan lagi.

Filem terbaru Yeoh "Rain of Swords" kini di peringkat akhir penggambaran dan dijangka ditayangkan bagi tontonan umum pada Oktober ini.

PERASA POPULAR DI MALAYSIA

Syarikat-syarikat pengeluar susu di negara ini memberi perhatian serius kepada kumpulan sasaran mereka khasnya pada tabiat meminum susu termasuk pilihan perasa berlainan, mengikut kumpulan umur mereka serta faktor usia dan demografi.

Produk susu dan tenusu di bawah syarikat Fonterra menguasai 80 peratus daripada pasaran dalam industri mereka dan mereka melabur US$45 juta bagi penyelidikan tulang.

Sebanyak US$14 juta dibelanjakan bagi pembangunan Anlene yang menyebabkan ia diisytiharkan sebagai yang terbaik dalam kategori susu kalsium tinggi.

Mckay, juga menambah kata, "kami berada di hadapan daripada segi penyelidikan dan inovasi, untuk menghasil dan menyampaikan produk tenusu terbaik bersama nutrisi terbaik bagi kesemua peringkat pengguna kami. Kami juga mengambil kira citarasa pengguna tempatan dan mempertimbangkannya bagi pembangunan projek di masa depan."

Produk-produk tenusu yang sihat termasuk dadih, keju dan mentega.

Rakyat Malaysia hendaklah terus meningkatkan kesedaran akan keperluan pengambilan kalsium mandatori setiap hari.

-- BERNAMA

Oleh Hazlinda Hamzah



 
Chatroom