Home » » Ainul Aishah sebagai penyanyi

Ainul Aishah sebagai penyanyi

Ainul Aishah bergelar penyanyi? Itulah persoalan yang bermain-main di fikiran ketika pelakon muda berkulit hitam manis itu menyuarakan hasratnya menceburi bidang seni suara suatu ketika dulu. Bukan mematahkan semangat Ainul dengan pandangan ini tetapi hasil pemerhatian tidak ramai pelakon berjaya menjadi penyanyi, berbanding penyanyi menjadi pelakon.



Kalau ada pun, langkah mereka akan terhenti sekerat jalan. Menyanyi entah ke mana, berlakon pun asal boleh saja. Tertanya-tanya sejauh mana bakat nyanyiannya sehingga dia berani terjun dalam bidang yang penuh cabaran. Maklum sajalah, jika menilai dari sudut lakonan, Ainul masih belum banyak yang boleh dibanggakan.

Apa sebenarnya yang dimahukan Ainul apabila melahirkan hasrat menjadi penyanyi? Apakah kerana memang berbakat ataupun sekadar memenuhkan portfolionya dalam bidang seni? Ketika mendengar suara nyanyian Ainul pada majlis pelancaran singlenya berjudul The Old Him baru-baru ini, masih terlalu jauh perjalanan Ainul sebaris dengan penyanyi sedia ada.
Secara jujur, gadis yang mula dikenali menerusi filem Nana Tanjung ini memang belum masanya untuk bergelar penyanyi. Namun, Ainul tidak kecil hati. Baginya, keputusan menjadi penyanyi bukanlah main-main baginya. Tegas pelakon berusia 25 tahun ini, setiap kritikan yang datang diterima dengan hati terbuka. Semua itu dijadikan panduan untuk menggenggam cita-citanya menjadi penyanyi.

Hip: Kenapa tiba-tiba mahu menjadi penyanyi?
Ainul: Sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat menjadi penyanyi. Malah sebelum menjadi pelakon lagi saya sudah bercita-cita nak jadi penyanyi. Cuma rezeki lebih dalam lakonan. Bagaimanapun, hasrat bergelar penyanyi tidak pudar. Dengan wang saku sendiri, saya gunakan untuk melahirkan single berjudul The Old Him. Untuk menyiapkan single ini, saya ambil masa setengah tahun kerana sibuk di lokasi penggambaran. Namun tak mengapa kerana saya tak mahu hasilkan lagu tangkap muat. Jika tiada aral melintang, saya akan mengeluarkan mini album yang mengandungi tujuh lagu pada penghujung tahun ini. Semua lagu itu hasil ciptaan saya sendiri.

Hip: Selepas mendengar suara Ainul secara live sempena pelancaran single The Old Him baru ini, ramai berpendapat, suara Ainul tidak sedap kalau dibandingkan penyanyi yang memang dikurniakan bakat semula jadi. Apa pandangan Ainul?
Ainul: Saya serahkan kepada pendengar untuk menilai vokal saya. Kalau orang kata saya tak boleh menyanyi, saya senyum saja. Saya tidak kisah kalau ada yang memberikan kritikan terhadap nyanyian saya. Jika tiada kritikan, bagaimana kita nak tahu kelemahan kita. Saya serius bergelar penyanyi dan yakin dengan pandangan orang ramai. Saya boleh buat lebih baik selepas ini. Disebabkan itulah saya bercadang untuk menghadiri kelas vokal pada penghujung tahun ini.
Hip: Bagaimana kalau ada yang menganggap Ainul sebagai pengacau dalam bidang nyanyian?
Ainul: Saya harus berani dan yakin untuk melakukannya. Saya memang serius untuk menjadi penyanyi. Tapi jika ada orang menyuruh saya berhenti kerana suara teruk, rasanya saya akan berhenti. Apa pun, saya harap mereka terlebih dulu mendengar lagu saya sebelum membuat sebarang penilaian.

Hip: Siapa kumpulan sasaran muzik Ainul? Kedengaran rock cuma corak penyampaian umpama pop?
Ainul: Saya suka dengan genre rock. Bagaimanapun, untuk single The Old Him ini, saya memilih genre pop. Saya tak mahu ada yang terkejut kalau tiba-tiba saya muncul dengan muzik rock. Kumpulan sasaran saya adalah pelajar sekolah serta mereka yang sebaya dengan saya. Disebabkan itulah kebanyakan lagu saya bersesuaian dengan jiwa mereka.

Hip: Lagu The Old Him itu sebenarnya dicipta untuk vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh. Khabarnya Ainul pernah ada hubungan dengan penyanyi itu. Komen sikit
Ainul: Kenapa nama Noh ya? Memang lagu itu ditujukan buat seseorang yang pernah rapat dengan saya, tapi bukanlah Noh Hujan. Dia memang pernah rapat dengan saya sejak beberapa tahun lalu. Saya akui, ketika lagu itu ditulis iaitu sekitar Mei 2009, dia memang berada dalam fikiran saya ketika itu. Tapi sekarang tidak lagi mengingati dirinya. Antara kami memang sudah tidak ada lagi hubungan. Sehingga kini, saya masih solo.

Hip: Kenapa memilih single dalam bahasa Inggeris? Ainul tak yakin dengan lagu Melayu?
Ainul: Bukannya tidak yakin dengan lagu bahasa Melayu tetapi ini semua adalah atas nasihat pihak pengurusan saya iaitu Aquila Emas. Mereka meminta saya menjadikan lagu ini sebagai single kerana lagu ini adalah hasil ciptaan saya sendiri. Ketika menghasilkan lagu ini, memang saya mahu menulis liriknya dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, ada lagu Melayu. Cuma judulnya saja dalam bahasa Inggeris iaitu Don’t Worry Honey. Jadi saya tak mahu nanti single pertama dan kedua, semuanya dalam bahasa Melayu. Buat masa ini album itu belum boleh didapati di pasaran. Mungkin akan dijual menerusi Facebook saya dan bercadang menjual pada harga RM6.



 
Chatroom