Home » » Kisah Nabi Daud

Kisah Nabi Daud

Kisah Nabi Daud

"Dan Tuhanmu lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-Nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud." (al-Israa':55)

Nabi Daud seorang rasul yang wajib dipercayai. Ahli Taurat dan Injil sepakat mengatakan, Nabi Daud keturunan Yahuda bin Yaakub, yang diberi nama Israil (as); Daud bin Isya bin Uwed, sampai kepada Ishak bin Ibrahim.

Nabi Daud dijelaskan al-Quran pada 16 tempat seperti dalam surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah, al-An'am, al-Isra, al-Anbiya, an-Naml, Saba dan Shaad.

Baginda seorang nabi dan raja seperti anaknya Nabi Sulaiman a.s. Allah mengumpulkan padanya kenabian dan kerajaan, malah memberikannya kebaikan dunia dan akhirat.

Sebagaimana Nabi Musa diberikan Taurat, Nabi Daud diberikan kitab Zabur, yang mengandungi puisi dan lagu berkaitan penyucian dan pujian kepada Allah, kisah umat terdahulu dan berita kalangan nabi akan datang, termasuk mengenai Muhammad s.a.w.

Sejak kanak-kanak hingga remaja, baginda tinggal bersama bapanya di Baitullaham, iaitu kota kelahiran Nabi Isa.

Nabi Daud diberikan kelebihan tersendiri. Allah menundukkan gunung dan memerintahkannya bertasbih mengikuti tasbih Nabi Daud setiap pagi dan petang. Burung turut bertasbih mengikut Nabi Daud berulang kali, malah baginda sendiri diberi kelebihan dapat mengerti maksud suara burung.

Kekuatan Nabi Daud amat luar biasa kerana mampu melembutkan besi sehingga dapat membuat baju besi dengan tangan, tanpa dimasukkan ke dalam api terlebih dulu, malah dikurniakan suara merdu, sehingga orang sakit mendengarnya sembuh.

Nabi Daud juga terserlah dengan keberanian. Ketika zaman mudanya, baginda bersama Thalut, iaitu pemimpin Bani Israel berperang dengan bangsa Palestin yang menyembah patung.

Dalam pertempuran itu ketua bangsa Palestin, Jalut bertemu Nabi Daud, lalu memperlekehkan baginda sambil berkata: "Kembalilah, sesungguhnya aku tidak suka membunuhmu."

Tetapi Nabi Daud berkata kepada Jalut: "Sesungguhnya aku senang membunuhmu."

Kedua-duanya berlawan di tempat pertempuran dan kesudahannya Nabi Daud dapat membunuh Jalut, seterusnya menewaskan tentera musuh. Kemenangan Nabi Daud dijelaskan di dalam al-Quran.

"Maka mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan Nabi Daud membunuh Jalut. Kemudian Allah memberikannya kuasa pemerintahan dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang derhaka) dengan setengahnya yang lain nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam." (al-Baqarah: 251)

Nabi Daud diberikan ganjaran dan berkahwin dengan Mikyal, seorang puteri Thalut. Sejak itu, Nabi Daud terkenal di kalangan kaum Bani Israel.

Baginda diberikan kenabian dan kerajaan oleh Allah pada usia 40 tahun. Dengan kebesaran dan kerajaan yang diperoleh, membuatkannya bertambah tekun beribadat kepada Allah.

Nabi Daud selalu mendirikan solat malam dan berpuasa pada siang hari. Baginda juga membahagikan waktu, sehari sebagai hakim, sehari pemberi nasihat dan sehari untuk dirinya.

Pada satu hari yang digunakan untuk kepentingan peribadi, tiba-tiba dua lelaki melompat pagar dan masuk ke mihrabnya. Nabi Daud terkejut dan menyangka mereka mahu melakukan kejahatan.

"Jangan takut, kami hanyalah dua orang yang berselisih faham. Kami datang kepadamu untuk meminta keputusan. Berilah kami keputusan yang benar, jangan zalim dan bimbinglah kami pada jalan lurus dan jelas."

Kisah dua lelaki itu berkaitan perselisihan untuk memiliki kambing. Seorang daripadanya berkata, dia mempunyai seekor kambing, tetapi saudaranya itu yang memiliki 99 ekor kambing, masih mahu memiliki seekor kambing terbabit.

Perkara itu diceritakan dalam ayat 21 hingga 28 surah Shaad. Selepas mendengar pengaduan itu, Nabi Daud menyalahkan pemilik 99 ekor kambing kerana mahu mengambil satu-satunya kambing milik saudaranya itu.

Nabi Daud semakin berpengaruh dalam masyarakat, sehingga Thalut berasa iri hati, lalu memerintahkan tentera membunuhnya. Berkali-kali rancangan jahat membunuh baginda dilakukan, tetapi gagal.

Kemudian berlaku perang Jalbu' membabitkan tentera Bani Israel dipimpin Thalut dan orang Palestin. Dalam perang itu, tiga anak Thalut terbunuh manakala Thalut sendiri dihujani panah orang Palestin.

Dalam perang itu, Thalut sendiri mengambil pedangnya dan menjatuhkan dirinya pada pedang terbabit, menyebabkannya meninggal dunia. Dia berbuat demikian supaya tidak mati dibunuh musuh.

Selepas itu, Nabi Daud ke Gibran, seterusnya diangkat sebagai raja di negara Yahudi. Tetapi sesetengah Bani Israel masih menyokong Eshbushat, seorang putera Thalut, sehingga berlaku perang dengan orang Nabi Daud.

Kesudahannya Eshbushat meninggal dunia. Selepas itu, Nabi Daud memiliki kuasa mutlak selaku raja kepada Bani Israel keseluruhannya. Di Gibran, baginda menguasai Yahudi sembilan tahun enam bulan serta menguasai seluruh Israel dan Yahudi di Baitulmaqdis selama 33 tahun.

Ahli kitab mengatakan, Daud hidup selama 77 tahun. Tetapi Ibnu Jarir menyangkal kenyataan itu, malah mengatakan Daud hidup selama 100 tahun. Ini kerana ada hadis menyatakan demikian.



Affiliates

 
Chatroom