Home » » Program Merisik Khabar di Astro Prima

Program Merisik Khabar di Astro Prima

Sempena menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi, Astro Prima dengan kerjasama radio Era FM dan Permanis Sandilands Sdn. Bhd. (Permanis), berbesar hati membawakan sebuah program majalah berbentuk kemasyarakatan yang memberikan seribu keinsafan kepada penontonnya.

Bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Rabu, pukul 7 malam bermula 9 Ogos, program itu bakal membawa penonton menyusuri kepayahan dan liku-liku kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan di luar sana.

Kes-kes yang dilaporkan pendengar Era FM melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dipilih dan ditapis sebelum divisualkan menerusi program Merisik Khabar di saluran Prima.

Pada sidang akhbar dan pratonton program tersebut di konti radio Era di Astro baru-baru ini, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ia merupakan kerjasama tiga pihak untuk menyuntik kesedaran serta membawa penonton menyelami perasaan mereka yang terpaksa melalui kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

"Program ini juga memberi ruang dan peluang kepada penonton untuk menghulurkan bantuan kerana kami percaya ramai orang di luar sana yang ingin membantu tetapi tidak tahu saluran yang sepatutnya untuk berbuat demikian.

"Selain bantuan kewangan, bantuan perubatan turut disampaikan di samping keperluan asas. Ada juga di antara mereka yang diberikan peluang untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," jelasnya.

Sementara itu, Aznil gembira dengan penerbitan program itu kerana ia merupakan salah satu cara untuk meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan.

"Ketika bertugas di konti radio, saya menerima hampir 20 SMS sehari yang dikirimkan pendengar, sehinggakan saya rasa terlalu istimewa kerana mereka mempercayai saya berbanding orang lain.

"Ada ketika kisah mereka cukup menyedihkan dan menyentuh perasaan saya yang selama ini tidak pernah melalui kehidupan yang sebegitu.

"Disebabkan itu, saya ingin kongsi kisah mereka itu dengan semua penonton selain segmen itu terus dilaksanakan secara berasingan di radio Era FM," katanya .

Menurut pengacara nombor satu negara itu, dengan pengalaman yang dimilikinya selama menceburi bidang seni mahupun karier lain sebelum itu, ia digunakan untuk memberi pandangan atau pendapat yang matang sebagai pedoman untuk mereka (pengadu) menempuhi cabaran hidup.

Memandangkan kekangan kerja yang terlalu sibuk, Aznil akan bertindak selaku pengacara di studio manakala dua wartawan penyiaran, Intan Liana Yusof Izzudin dan Mohammad Fahrurazi Adnan akan turun padang untuk mendapatkan maklumat.

Setelah memperoleh maklumat yang secukupnya, jalan penyelesaian akan dikenal pasti untuk membantu individu yang terpilih.

Bagaimanapun, Aznil akan turut serta ke lokasi kes terpilih jika ia merupakan satu kes yang berat dan serius.

"Jika ada kelapangan, saya akan pergi sendiri untuk melihat sendiri kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang tidak bernasib baik ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kumpulan Pemasaran Permanis, Hemalatha Ragavan memberitahu, penonton yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan membeli air minuman Revive Isotonik atau pun Pepsi yang dijual dalam botol 1.5 liter.

"Sepuluh sen daripada setiap pembelian akan disalurkan ke tabung yang disediakan khas untuk membantu mereka yang dipaparkan dalam program ini.

"Memandangkan bulan puasa akan menyusul tidak lama lagi, minuman tenaga Isotonik Revive cukup sesuai dijadikan minuman ketika berbuka puasa untuk menghidratkan badan dan mengembalikan tenaga setelah seharian berpuasa," jelasnya kepada media.



Affiliates

 
Chatroom