Home » » Sinopsis Drama Fitrah Wanita, setiap Selasa, jam 12.30 tengah hari,TV2

Sinopsis Drama Fitrah Wanita, setiap Selasa, jam 12.30 tengah hari,TV2

Sinopsis Drama Fitrah Wanita, RTM

RASHIDAH ialah seorang majistret, manakala Sofiah adalah wartawan. Jamiah pula menjadi pengusaha butik dan Sharifah Hanum memiliki firma guaman. Kisah empat wanita yang berdepan dengan konflik dalaman, kerjaya dan kehidupan seharian pasti menjadi tarikan terbaru drama 13 episod berjudul Fitrah Wanita yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk penonton setianya terutama di kalangan golongan wanita.

Konflik empat wanita dalam drama bersiri yang dijayakan wataknya pelakon terkenal, Catriona Ross, Siti Fazurina, Yatt Hamzah dan Sabrina Ali. Ia turut dibantu Sharonizam Nor, Roy Azman dan Badrul Muhayat dan disiarkan setiap Selasa, jam 12.30 tengah hari mengisi slot Mid Day Delight di TV2.

Fitrah Wanita mengisahkan seorang lelaki yang bernama Wahab ditangkap mencuri di sebuah kedai. Seorang majistret, Rashidah pula diarahkan bertugas di Kuala Lumpur.

Ketika mencari rumah sewa, Rashidah ditegur Sofiah, seorang wartawan dan penulis skrip drama sambilan serta Jamiah, seorang pengusaha butik yang kebetulan tinggal di kawasan perumahan sama.

Mereka memujuk supaya Rashidah tinggal bersama.

Pada hari pertama Rashidah bertugas di mahkamah, dia bertembung dengan Inspektor Aizat, seorang Pegawai Pendakwa di mahkamah. Aizat yang menyangka Rashidah seorang peguam cuba menguratnya. Sofiah dikutuk kawan-kawan sepejabatnya apabila drama yang ditulisnya disiarkan di RTM pada malam sebelumnya. Mereka mengatakan skrip Sofiah klise dan tidak menarik.

Sharifah Hanum pula berhadapan dengan masalah suami yang terlalu cemburu hubungannya dengan rakan kongsi, Sudin di firma guaman mereka. Mereka sering bergaduh sehingga Sofiah terdengar pergaduhan mereka dan terfikir mahu dijadikan cerita dalam skrip terbarunya.

Aizat memberanikan diri mengajak Rashidah keluar makan. Keesokan harinya ketika dalam mahkamah, Aizat malu apabila mengetahui Rashidah adalah majistret yang baru bertugas di mahkamahnya. Jamiah berhadapan dengan masalah ibu mentua yang terlalu mendesak supaya cepat mendapat anak kerana sudah menunggu hampir tujuh tahun. Ibu Zaifuddin berusaha memujuk dan meyakinkan Jamiah supaya segera mendapat cucu dengan apa cara sekalipun kecuali mengambil anak angkat. Dia mahukan cucu daripada darah dagingnya sendiri.

Konflik bermula apabila Wahab yang dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahannya dan menyimpan dendam terhadap Rashidah. Selepas dibebaskan, Wahab mencari jalan untuk membalas dendam terhadap Rashidah.

Begitu juga pergolakan rumah tangga yang melanda Sharifah Hanum dan suaminya, Yazid akibat cemburu buta suaminya terhadap hubungan baik Hanum dengan teman sekerjanya, Sudin. Pertengkaran demi pertengkaran berlaku yang kemudiannya menyebabkan Rashidah, Jamiah dan Sofiah yang rapat dengannya terbabit sama mahu menyatukan kembali hubungan suami isteri itu.



Affiliates

 
Chatroom