Home » » Laparaskopik buang hempedu

Laparaskopik buang hempedu

Siti Nur Aisyah Razali, 17, pelajar SMK Perimbun, Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur. Kira-kira tiga bulan lalu dia diserang kesakitan yang amat sangat di bahagian perut. Ketika itu dia sedang menikmati nasi lemak. Kesakitan Aisyah menyebabkan dia tidak mampu berjalan. Gadis itu dibawa ke klinik dan di peringkat awal diberi ubat tahan sakit. Namun kesakitan yang dialami Aisyah tidak juga reda. Hasil ujian ultrasound yang dijalankan ke atasnya mendapati dia mengidap penyakit batu di dalam hempedu.

Oleh kerana keadaannya serius, pakar perubatan mencadangkan dia menjalani pembedahan membuang hempedu. Aisyah yang dimasukkan ke hospital dua hari sebelum pembedahan turut mengidap sickle cell atau penyakit berkaitan darah. Dia yang ditemui Mingguan Malaysia sejam sebelum pembedahan memberitahu, penyakit tersebut dihidapinya sejak sekolah rendah. Sejak disahkan mengidap sickle cell dia juga tidak boleh bergiat aktif. Biar pun meminati bidang sukan namun Aisyah tidak mempunyai pilihan dan hanya menjadi penonton.

Aisyah ditemani ibunya Saoyah akur terhadap cadangan pakar perubatan supaya dia menjalani pembedahan lantaran tidak sanggup lagi menanggung kesakitan.

Pakar Runding Pembedahan, Pusat Perubatan UKM, Dr. Hairol Azrin Othman ditanya kes Aisyah memberitahu, gadis itu mengidap penyakit batu di dalam hempedu disebabkan sickle cell yang dideritainya sejak lama dulu. Beliau memberitahu, individu yang mempunyai penyakit berkaitan darah berpotensi untuk mendapat masalah batu di dalam hempedu.

Peluang masuk ke dewan bedah bersama jurugambar menyaksikan prosedur membuang hempedu Aisyah sememangnya mengujakan. Walaupun kaedah laparaskopik semakin biasa digunakan dalam banyak kes (bukan batu hempedu saja), namun menyaksikan sendiri Dr. Hairol bersama pasukannya menjalankan prosedur tersebut memberi gambaran yang sangat jelas.

Pakar Runding Pembedahan itu dibantu Dr. Tan Guan Hee dan Mejar Dr. Ngoo Kay Seong untuk memastikan pembedahan ke atas Aisyah berjalan lancar.

Prosedur membuang hempedu tersebut menggunakan teknik lubang kekunci (Key-hole surgery) di mana pundi hempedu dan batu berkenaan dibedah menggunakan kamera dan peralatan laparoskopik tanpa perlu membuat luka yang besar pada badan. Kaedah itu, menurut Dr. Hairol lebih baik kerana ia tidak melibatkan parut yang besar, lebih kosmetik dan cepat sembuh.

Fungsi hempedu

Ditanya mengenai fungsi hempedu, Dr. Hairol memberitahu, hempedu bertindak sebagai agen pembaur lemak yang dimakan. Cecair hempedu dihasilkan oleh hati dan disimpan sementara waktu di dalam pundi hempedu. Hempedu penting dalam proses penghadaman lemak makanan. Pundi hempedu pula bertindak sebagai tempat simpanan hempedu.

Beliau berkata, biasanya seseorang yang mengalami masalah batu hempedu mempunyai pundi hempedu yang kurang berfungsi.

''Pundi berkenaan tidak dapat mengecut dan mengeluarkan jus hempedu di dalamnya, mengakibatkan stasis atau jus hempedu bertakung di dalam pundi berkenaan. Hempedu yang bertakung tersebut akan menjadi lebih likat dan akhirnya boleh membentuk kristal,'' katanya.

Menurut Dr. Hairol, keadaan itu memerlukan pundi hempedu berkenaan dibuang bersama-sama dengan batu di dalamnya untuk mengelak simptom tersebut berulang.

Simptom batu dalam hempedu

Ditanya sama ada terdapat simptom spesifik penyakit pundi hempedu, Dr. Hairol menjelaskan, ia lazimnya adalah radang pundi hempedu yang penyebab utamanya adalah batu hempedu. Di antara tanda-tanda penyakit radang pundi hempedu adalah sakit perut atau senak pada bahagian sebelah kanan badan, di bawah tulang rusuk. Ia boleh merebak hingga ke belikat sebelah kanan. Kesakitan tersebut biasanya berlaku selepas pengambilan makanan berlemak yang berlebihan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua individu yang mempunyai batu hempedu mengalami simptom-simptom tersebut malah hanya hanya segelintir sahaja yang melaluinya.

Ditanya punca kesakitan tersebut dirasai, Dr. Hairol memberitahu, ada dua jenis kesakitan disebabkan oleh batu hempedu.

i. Kesakitan biliari kolik (biliary colic) yang dirasai selepas mengambil makanan berlemak disebabkan oleh pergeseran batu berkenaan dengan dinding pundi hempedu, kerana pundi hempedu akan mengecut untuk mengeluarkan jus hempedu ke dalam usus untuk menghadamkan lemak.

ii. Untuk simptom radang pundi hempedu pula, kesakitan yang dialami disebabkan bengkak pada pundi hempedu akibat pangkal pundi hempedu yang tersumbat oleh batu di dalam pundi tersebut. Kesakitan yang dialami adalah lebih teruk berbanding dengan biliari kolik.

Dr. Hairol ketika ditanya mengapa ada individu tidak mengalami simptom biarpun mempunyai batu dalam hempedu berkata: ''Ini soalan yang susah hendak dijawab kerana sakit itu sendiri sesuatu yang relatif.

''Mungkin sesekali seseorang itu mengalami senak perut selepas makan tetapi tidak berapa serius dan menjangka hanya mengalami gastrik.''

Dilihat dari sudut faktor pemakanan, katanya, mungkin jika seseorang itu berpantang makanan yang berlemak atau berminyak boleh mengawal daripada mengalami sakit biliari kolik.

Oleh NORAINI ABD. RAZAK



Affiliates

 
Chatroom