Home » Sekolah Harapan Untuk Semua Kaum

Sekolah Harapan Untuk Semua Kaum

Kedudukan Rumah Harapan terletak bersebelahan dengan Sekolah Harapan memudahkan pelajar menghadiri sesi pembelajaran seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang.



Malah, sistem pembelajaran yang ditawarkan adalah sukatan daripada Kementerian Pelajaran.

Lebih dari itu, sekolah berkenaan disediakan untuk semua kaum termasuk yang bukan Islam.

Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, golongan berkenaan juga seperti insan lain yang memerlukan tempat belajar khusus kerana tidak digalakkan berada di sekolah biasa berikutan keadaan mereka yang hamil luar nikah.

“Kemasukan pelajar hamil turut terbuka kepada mereka bukan Muslim dan rakyat di negeri lain namun keutamaan diberikan kepada rakyat Melaka.

“Sekolah Harapan ibarat transit yang menyediakan kemudahan persekolahan sehingga remaja terbabit bersalin,” katanya kepada Mingguan mStar.

Ab Rahaman berkata, sukatan pembelajaran terdiri daripada mata pelajaran teras di sebelah pagi manakala sebelah malam pula untuk pendidikan agama.

Lima mata pelajaran teras meliputi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains Am dikendalikan oleh guru daripada Jabatan Pelajaran Negeri.

“Pemilihan pengajar di sekolah ini setaraf dengan guru di sekolah biasa, namun antaranya daripada guru pesara atau guru sekolah kebangsaan.

“Pelajar akan diberikan pendidikan khas melibatkan bidang berkemahiran dan keibubapaan selain bimbingan kaunseling pada hujung minggu,” katanya.

Mengenai sama ada pelajar akan menghuni Sekolah Harapan sehingga tamat belajar atau tamat peperiksaan, beliau menjelaskan sekolah itu diwujudkan sebagai tempat sementara kepada remaja terbabit belajar sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan.

“Kita mahu memulihkan semangat remaja ini dengan memberikan peluang kedua untuk terus maju dalam hidup dan masa depan.

“Ini menjadi signfikan Sekolah Harapan sebagai kesedaran untuk mereka mengenai betapa besarnya kesilapan itu dan masih terbuka ruang untuk bertaubat,” ujarnya.

Beliau menambah, pelajar digalakkan untuk untuk menduduki peperiksaan, sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masa depan mereka masih terlalu jauh lagi. Banyak perkara perlu dilalui terutama pembelajaran yang tidak sepatutnya berhenti di tengah jalan,” katanya lagi.

Pelajar boleh meninggalkan sekolah itu selepas habis tempoh berpantang dan kembali ke pangkuan keluarga serta meneruskan pelajaran seperti pelajar biasa.

Dalam pada itu, Ab Rahaman menasihatkan ibu bapa kepada pelajar hamil agar menerima anak mereka seadanya dengan memberikan sokongan dan bimbingan.

“Ini akan mengembalikan semangat mereka untuk menjadi manusia berguna dan bukan dianggap sebagai sampah masyarakat hanya disebabkan kesilapan lalu yang mereka lakukan,” katanya.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB dan IZRA ABD RAHMAN



Affiliates

 
Chatroom