Home » » Mengatasi Kegemukan

Mengatasi Kegemukan

Masalah kegemukan atau obesiti bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana disifatkan sebagai 'virus' yang semakin menular dalam masyarakat, sementelah pula ia boleh mengundang pelbagai penyakit, sekali gus memberi tekanan emosi dan menimbulkan kegelisahan.

Kanak-kanak bersaiz badan 'besar' ketika kecil dikatakan comel dan montel, tetapi hakikatnya apabila mereka meningkat usia dan tidak diberi pemantauan daripada aspek pemakanan akan menjadikan ia diselubungi penyakit.




Fakta berkenaan wujud kebenarannya apabila baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa seramai 16.2 juta atau 60 peratus rakyat di negara ini dikesan mengalami masalah kegemukan seawal usia kanak-kanak.

Persoalan berkaitan obesiti bukan saja membimbangkan remaja, malah orang dewasa turut berdepan nasib sama.

Ia tidak seharusnya diambil mudah, sebaliknya perlu diatasi dengan cara terbaik termasuk melakukan diet bersesuaian.

Pengamalan diet juga berbeza dan tidak boleh dilakukan secara membuta-tuli tanpa nasihat doktor, terutama pakar pemakanan kerana mampu mengundang keadaan lebih buruk atau penyakit anoreksia yang banyak dialami wanita.

Apabila kegemukan dialami seseorang, persepsi terhadap dirinya juga berubah, termasuk hilang daya tarikan, malah menjadi bahan cemuhan di kalangan rakan berikutan saiz badan lebih besar dan mungkin juga tabiat pemakanan dilihat melampau.

Kebiasaannya, seseorang bersaiz badan besar sebegini sering disebabkan amalan pemakanan kurang sihat, tetapi terdapat faktor lain seperti genetik dan keturunan, sekali gus menyebabkan obesiti bersarang pada dirinya.

Menurut Liow, daripada 16.2 juta rakyat berkenaan, 8.1 juta daripadanya atau 30 peratus mengalami masalah berat badan, manakala 30 peratus lagi mengalami masalah kegemukan berlebihan.

"Masalah berat badan dan obesiti ini menyebabkan penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, barah buah pinggang dan diabetes. Penyakit ini boleh dicegah dari semasa ke semasa, tetapi kita dapati trend penyakit ini semakin meningkat.

"Masalah ini disebabkan gaya hidup rakyat dan kita tiada pilihan melainkan perlu mengadakan pelbagai kempen dan program kesedaran bagi membolehkan rakyat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengelak penyakit kronik berkenaan," katanya.

Nasib dialami seorang lelaki dikenali sebagai M Balagi, 43, dari Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang seperti dilaporkan media baru-baru ini mampu membuka mata.

Balagi yang mengalami masalah berat badan mencecah 300 kilogram (kg) mendakwa makan nasi dengan sayur sebagai sarapan, diikuti nasi bersama lauk (tengah hari), roti (minum petang) dan capati serta tosai (malam) setiap hari.

Dia memberi alasan masalah berkenaan bermula apabila dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan menyebabkan dia mengalami kemurungan selain selera makan bertambah berikutan bekas majikannya didakwa gagal melunaskan sejumlah pampasan.

Pada ketika itu, berat badannya sekadar 126kg, tetapi disebabkan dilanda masalah, berat badannya meningkat 174kg dan akhirnya, Balagi terpaksa diangkat 10 lelaki untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Oktober lalu selepas terjatuh di rumahnya.

Difahamkan, dia menerima rawatan lanjut dan berat badannya mulai menurun selepas didedahkan dengan amalan pemakanan sihat sepanjang berada di HPP.

"Saya merayu mana-mana doktor pakar yang sanggup membantu untuk mengurangkan berat badan saya kerana saya tidak ingin meneruskan hidup begini selain perlu menolong ibu saya yang tua," katanya.

Apa yang berlaku itu adalah sebahagian daripada rona kehidupan dan usaha Kementerian Kesihatan menempatkan 300 pakar pemakanan di klinik kesihatan kerajaan bagi memberi khidmat kaunseling kepada rakyat yang berdepan masalah kegemukan atau obesiti adalah langkah terbaik.

Dalam merealisasikan usaha berkenaan, 51 pakar pemakanan akan ditempatkan di klinik kesihatan terpilih, termasuk Klinik 1Malaysia tahun ini.

Ia diharap mampu mengubah cara hidup rakyat untuk menjalani kehidupan lebih sihat, terutama mengenai cara pengambilan makanan.

Malah, penubuhan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (MCOM) membabitkan 13 pertubuhan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah kegemukan adalah langkah proaktif dalam memastikan keadaan ini mampu ditangani dengan baik serta meningkatkan kesedaran.

MCOM juga memberi jaminan kepada Kementerian Kesihatan bahawa majlis itu akan bekerja rapat dengan kerajaan dalam usaha menjayakan misi penjagaan kesihatan di negara ini.

Pertubuhan itu buat permulaan akan menumpukan kepada empat bidang iaitu penyelidikan dalam mencegah kegemukan dan obesiti, melobi mengenai kebimbangan kegemukan dan obesiti dalam polisi serta undang-undang yang akan dipinda kerajaan.

Berdasarkan kajian pakar kesihatan mendapati masalah obesiti dipengaruhi pelbagai sebab antaranya faktor genetik, pemakanan berlebihan atau melampau, kurang bersukan, emosi dan faktor persekitaran.

Kegemukan boleh diturunkan daripada generasi ke generasi kerana jika ibu bapa gemuk, mereka cenderung memiliki anak-anak yang memiliki saiz badan sama.

Mereka yang terdiri daripada golongan gemuk ini sentiasa berada dalam keadaan lapar atau bersifat responsif terhadap makanan menyebabkan sukar untuk keluar daripada perangkap kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangkan berat badan.

Kurang aktif bersukan juga mampu menjadi penyumbang kepada kegemukan. Jadi, aktiviti sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, bukan saja kerana dapat membakar kalori, malah membantu mengatur fungsi metabolisme secara normal.

Faktor emosi memainkan peranan kerana jika terganggu, kebiasaannya keseluruhan hidup kita akan terganggu, sekali gus mempengaruhi kadar pemakanan kerana dianggap satu cara terbaik meredakan tekanan.

Risikonya, apabila seseorang berdepan isu kegemukan atau obesiti, mereka akan menghadapi pelbagai masalah seperti penyakit kardioviskular (berkaitan jantung), strok, tekanan darah tinggi dan diabetes yang dianggap musuh manusia.

Bagaimanapun, mereka yang dibelenggu masalah berkenaan tidak harus cepat berputus asa kerana banyak kaedah atau cara bersesuaian untuk menanganinya. Apa yang penting, seseorang itu perlu menjaga kesihatan untuk menjamin kehidupan lebih sihat.

Pakar pemakanan, Dr Che Ridzuan Hashim Rozaini berkata, terdapat lima petua mengekalkan kesihatan sempurna iaitu menerusi pengambilan makanan seimbang, minum air secukupnya, melakukan riadah, tidak merokok dan cukup rehat.

Menurutnya, pemakanan sihat penting bagi menentukan sejauh mana tahap kesihatan sama ada pada tahap memuaskan atau sebaliknya dan pengambilan makanan seimbang perlu diamalkan mengikut diet piramid makanan.

"Jangan mengambil makanan berlemak kerana boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti. Ia akan meningkatkan risiko serangan penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

"Minum air cukup iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air kosong sehari. Air penting untuk melancarkan peredaran darah dan membersihkan kotoran dalam badan," katanya.

Beliau berkata, bersenam adalah aktiviti paling penting dalam mengekalkan kesihatan kerana ia membuatkan kita cergas dan sihat, selain menurunkan berat badan serta merendahkan kandungan lemak di samping mampu menguat dan menyihatkan jantung.

Selain itu, kita juga boleh melakukan aktiviti lain membabitkan pergerakan anggota fizikal seperti berjalan kaki, mengemas rumah dan menaiki tangga menggantikan penggunaan lif.

"Elakkan merokok kerana berisiko tinggi diserang penyakit kronik seperti sakit jantung, angin ahmar dan kanser paru-paru.

"Walaupun terlalu sibuk pastikan anda mengambil rehat mencukupi dengan tidur lapan jam sehari. Rehat yang cukup mengurangkan tekanan selain mengembalikan semula tenaga yang hilang," katanya.

Ironinya, masalah kegemukan atau obesiti ada kaitan dengan pelbagai perkara dan semua ini perlu ditangani dengan bijak, tetapi tegas dan berhemah.

Oleh Ahmad Saufi Mansor

Tags: cara mengatasi kegemukan,obesiti,diet seimbang,tip menguruskan badan,cara senaman yang betul,pemakanan sihat,tips mengurangi perut buncit,mengurangi perut buncit,makanan yang mengurangi kegemukan,mengurangi buncit,tips mengurangi kegemukan,menghilangkan kegemukan,cara menghilangkan kegemukan,menghindari kegemukan



 
Chatroom