Home » » Mastika Mencari Logika (MLM) bermula 8 April 2011, Astro Prima

Mastika Mencari Logika (MLM) bermula 8 April 2011, Astro Prima

Mastika Mencari Logika (MML) terbitan Utusan Studios menyaksikan Azlan Naim Abdullah sebagai penerbit dan dijangka akan menemui penonton pada 8 April ini (Jumaat) selama 30 minit di saluran Astro Prima sebanyak 13 episod.

Mastika Mencari Logika (MML),akan mendedahkan sebuah kembara realiti pengalaman menarik dan mendebarkan dalam pencarian logika di sebalik pelbagai fenomena paranormal dan kepercayaan mistik di luar jangkauan minda yang berlaku di serata tanah air.

Selain berinspirasikan Mastika, MML turut diilhamkan daripada penceritaan sebuah lagi majalah terbitan Utusan Karya Sendirian Berhad (UKSB) iaitu Infiniti.

MML bukan hanya akan merangsang perhatian, malah turut mempertimbangkan rasional penonton secara kritis agar bebas daripada penjara tahyul dan khurafat menerusi perspektif para intelek Sains Islam pelbagai bidang khususnya dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bertongkatkan dua hos yang memegang peranan sebagai wartawan iaitu Intan Liyana Yusof Izzudin dan Alif Satar, MML akan menyingkap rahsia alam mistik menerusi pengalaman secara langsung oleh kedua-dua hos yang berdepan dengan pelbagai suasana menyeramkan serta mencabar kekuatan mental dan fizikal untuk menonjolkan paparan yang lebih menarik dan realistik.

Bercerita lanjut tentang MML, pengarahnya, Hanif Hassan berkata, dia pada mulanya tidak pernah terfikir akan dipanggil untuk mengarah program sedemikian.

“Pada mulanya, saya berat untuk terima tawaran itu kerana saya tidak pernah melakukannya sebelum ini dan subjek fokusnya juga amat berbeza.

“Jalan penceritaannya juga lain kerana subjek itu perlu dicari,” terangnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran MML di Hulu Langat, baru-baru ini.


Menurut Hanif, setiap episod akan memaparkan kisah yang berlainan dalam pelbagai bentuk sama ada menerusi bunyi, bau atau secara melihat.

Katanya lagi, MML bukan berkonsepkan program yang mencari dan memburu mistik, tetapi lebih kepada memaparkan apa yang dapat dirakamkan tanpa menggunakan kesan khas.

“Kami tidak mencari ‘benda’ itu atau mengundang mereka supaya hadir, kami hanya memaparkan apa yang dirakamkan termasuk sedikit elemen lakonan semula melalui penceritaan individu yang kami temui.

“Terdapat juga demonstrasi daripada individu-individu yang kami temui untuk melihat cara mereka mengamalkan perubatan tradisional masing-masing,” jelasnya lagi.

Antara episod menarik yang boleh ditonton dalam MML ialah ilmu besi yang dimiliki oleh seorang warga emas yang boleh menundukkan serta mengawal besi dan senjata lama menerusi berdamping dengan penjaga-penjaganya, kehebatan seorang bomoh hujan yang mengawal cuaca dan memindahkan hujan dan paparan sebuah kampung yang didakwa keras kerana dipenuhi jelmaan saka, penunggu dan sihir.

Sementara itu, Intan Liyana ketika ditemui mengakui dia menimba pengalaman yang berbeza selama terlibat dalam bidang pengacaraan sejak dua tahun lalu.

“Bagi saya, MML bukan sebuah program yang sengaja mahu mencari hantu, tetapi ia lebih kepada untuk merungkai kisah misteri dan harta pusaka yang jarang ditemui.

“Sepanjang penggambaran, saya sukar untuk melihat ‘benda-benda’ tersebut, tetapi rasa itu ada sehinggalah malam terakhir penggambaran yang diadakan di Sungai Pajam, Nilai, Negeri Sembilan.

“Mungkin sudah malam terakhir, ‘dia’ tunjukkan dirinya kepada saya,” kata pengacara berusia 25 tahun itu.

Menurut Intan Liyana lagi, sebaik ditawarkan, dia sudah menetapkan dalam diri dengan memasang niat untuk bekerja dan mencari rezeki selain menjaga pertuturan dan tingkah laku.

Bagi Alif pula, dia mengakui dirinya tidak begitu berani, tetapi tawaran yang hadir tidak disia-siakan dengan tujuan untuk mencari pengalaman.

“Saya akui saya memang seorang yang penakut. Tetapi saya terima tawaran tersebut kerana sifat ingin mencuba dan menimba pengalaman.

“Sebelum terima, saya sebenarnya fikir banyak kali sama ada mahu terima atau tidak. Akhirnya saya putuskan untuk terima dan mencuba sejauh mana mampu saya lakukan.

“Saya cuba tetapkan dan kawal minda saya serta elakkan memikirkan perkara yang bukan-bukan,” luahnya yang akan membaca ayat-ayat suci al-Quran setiap kali sebelum memulakan penggambaran.



Affiliates

 
Chatroom