Home » Tip belanja berhemat, elak jadi hamba duit

Tip belanja berhemat, elak jadi hamba duit

Tabiat berbelanja melebihi pendapatan dipercayai menjadi faktor anak muda di negara ini terjerat dengan krisis kewangan seperti yang dilaporkan akhbar ini, minggu lalu.

Situasi ini jika tidak ditangani, pasti memberi kesan buruk kepada tabungan negara. Selain itu, mungkin timbul keadaan di mana majoriti golongan dewasa berdepan masalah kewangan kronik apabila anak muda hari ini meningkat usianya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang jika beban hutang yang ditanggung hari ini tidak dilangsai sepenuhnya.

Sebenarnya, prinsip pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipraktikkan jika anak muda mahu berubah sikap dan lebih berdisiplin ketika berbelanja. Bagi mereka yang mempunyai maklumat asas mengenai perancangan kewangan pasti tidak sukar melakukannya. Anak muda yang tidak arif pula, usahlah malas membaca dan membuat kaji selidik bagi mencari penyelesaian terhadap beban kewangan.

Sebagai panduan dan inisiatif sisipan XY – Ikon Lelaki mengatasi kemelut kewangan anak muda, kami berkongsi berkongsi beberapa konsep asas pengurusan kewangan untuk dipraktikkan oleh golongan muda seperti yang disyorkan Smart Consumer, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

1. Tentukan matlamat kewangan

Tentukan matlamat dalam menguruskan kewangan yang seakan-akan sama konsepnya seperti zaman zaman belajar dulu. Dalam konteks mengurus kewangan, kita harus tahu matlamat kewangan kita dan ke mana kita ingin menggunakannya.
Sebagai contoh, mungkin ada antara kita yang bermatlamat menyambung pelajaran, membeli rumah, berkahwin, perbelanjaan rumah tangga, pendidikan anak-anak dan perbelanjaan sewaktu persaraan.

Apabila kita sudah menentukan matlamat kewangan sekali gus sudah pasti aliran kewangan, kita akan menjadi lebih teratur dan terancang. Kita juga perlu mengetahui jangka masa untuk kita mencapai matlamat itu.

2. Awasi tabiat berbelanja

Jika kita merasakan setiap akhir bulan kita gagal untuk menyimpan duit, inilah masanya untuk kita memantau dan mengawasi perbelanjaan semasa. Apa yang penting, kita perlu menyemak semula ke manakah kewangan dihabiskan atau dibelanjakan.

Hayati apakah ketika berbelanja, diri lebih cenderung ke arah keperluan atau kehendak semata-mata. Jika berdasarkan kehendak semata-mata dan seterusnya menyebabkan kita gagal untuk menyimpan, tabiat itu haruslah segera diubah.

3. Tulis rancangan atau pelan perbelanjaan

Cuba tanya diri kita selama ini, pernahkah kita melakukan pelan perbelanjaan sebelum berbelanja? Ramai di antara kita apabila terima saja duit gaji, perkara pertama yang difikirkan adalah untuk membayar hutang atau liabiliti yang ada.

Apabila nampak saja duit lebih, ia terus digunakan untuk berbelanja sepuas-puasnya hingga lupa melakukan simpanan. Ini biasa terjadi kepada golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Bagi mengelak perkara ini dari terus terjadi, kita perlu menulis dan merancang perjalanan perbelanjaan. Apabila kita menerima duit gaji atau pendapatan bulanan, kita perlu menulis setiap butiran perbelanjaannya.

4. Simpan sebelum belanja

Konsep perbelanjaan yang betul dan sepatutnya adalah:
Pendapatan – Simpanan = Hutang + Perbelanjaan bukan Pendapatan – (Hutang + Perbelanjaan) = Simpanan

Setiap kali mendapat gaji bulanan, apa yang perlu diutamakan dulu ialah membuat simpanan kemudian barulah digunakan untuk tujuan pembayaran hutang dan perbelanjaan.

Namun, sering kali ramai golongan muda apabila menerima saja duit gaji, ia terus digunakan untuk membayar hutang dan berbelanja sehingga simpanan dilupakan atau simpanan dilakukan apabila mempunyai lebihan wang.

5. Perbelanjaan isi rumah

Jika kebiasaan berbelanja RM4 sehari untuk snek dan air bersamaan RM80 sebulan. Belian secara borong mungkin hanya bersamaan RM30 saja. Maka rancang perbelanjaan anda dan tidak salah sekiranya membeli secara borong.

6. Kad Kredit

Sebaik-baiknya guna wang tunai untuk mengelak terlebih belanja (overspent). Jika ingin digunakan juga, selesaikan pembayaran dalam masa 20 hari iaitu waktu bebas faedah (interest free period). Sekiranya anda mempunyai simpanan seperti simpanan tetap yang memberikan faedah tahunan lebih rendah berbanding kad kredit, lebih baik keluarkan simpanan untuk menyelesaikan hutang.

7. Fikirkanlah masa depan

Seterusnya, jika kita merasakan ilmu pengurusan kewangan dan perancangan perbelanjaan tidaklah penting, ternyata anda bakal melakukan kesilapan besar.

Pengurusan kewangan dan perancangan perbelanjaan adalah perkara yang harus di lakukan oleh setiap orang. Setiap perkara memerlukan pengurusan kewangan dan perancangan perbelanjaan yang teliti kerana jika tanpa kedua-duanya ini, sudah pasti kita tidak akan mengetahui tujuan kewangan kita.

Anak muda cetek ilmu guna wang

MENURUT Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, golongan muda banyak terjerumus ke kancah pinjaman kewangan dan hutang disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan kewangan yang betul.

Dr Mohd Fadzil berkata, golongan muda terutama mereka yang baru memasuki alam pekerjaan mempunyai keinginan yang tinggi tetapi tidak mengetahui asas yang penting dalam pengurusan kewangan sehingga menjerut mereka ke kancah hutang.

"Apa yang membimbangkan adalah mereka gemar menggunakan kad kredit kerana mungkin pada pendapat mereka menggunakan kad kredit adalah jalan mudah untuk membeli sesuatu. Ini kerana duit gaji bulanan telah habis maka kad kredit adalah pilihan kedua mereka.

"Ini salah sama sekali… Seharusnya mereka perlu bijak berbelanja dan jangan menjerat diri untuk menambah hutang. Setiap yang dikeluarkan perlu dibayar semula dan pembayaran itu melebihi jumlah sebenar, bukan menyenangkan tapi merugikan," katanya kepada XY-Ikon Lelaki.

Dr Fadzil menyatakan, golongan muda perlu mengetahui konsep pengurusan kewangan yang betul dan sedari alam persekolahan lagi mereka perlu dipupuk dengan konsep perbelanjaan berhemah.

"Jika tidak tahu bertanya, banyak cara untuk kita merancang kewangan dengan lebih baik. Penting sebagai ingatan seharusnya apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan kita sudah tahu cara menguruskan kewangan. Sikap ini perlu ada dalam diri setiap golongan muda terutamanya," katanya.

Apa kata mereka

BAGI Suraiya Ilyas, 25, ketika mula bekerja, beliau tidak langsung memikirkan soal pengurusan kewangan secara berhemah. Malah, Suraiya banyak menghabiskan gaji bulanan dengan membeli barangan bukan keperluan utama.

"Dulu saya tidak menyimpan dan gaji bulanan banyak habis dengan membeli baju dan digunakan untuk makan bersama rakan-rakan. Saya langsung tidak menyimpan walaupun untuk simpanan hari tua.

"Namun, setelah melihat rakan saya berjaya dalam menguruskan kewangan dan mampu menyimpan lebih dari keperluan, saya mula membuka mata dan mengetahui kepentingan pengurusan kewangan," katanya.

Kini, Suraiya boleh menyimpan untuk simpanan hari tua, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selebihnya digunakan untuk kepentingan peribadi.

Senarai Perbelanjaan Bulanan Mengikut Keutamaan Suraiya

1. Menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputra (ASB).
2. Melabur dalam perlindungan diri dan keluarga (insuran).
3. Menyimpan dengan Tabung Haji.
4. Membayar pinjaman kereta dan pendidikan.
5. Digunakan untuk kepentingan peribadi.

JEJAKA ini pula, Aminur Firdaus, 26, walaupun terpaksa bekerja keras namun pulangan yang diperoleh setiap bulan digunakan sebaiknya. Ini kerana beliau banyak menggunakan gaji bulanan untuk membantu adik beradiknya.

"Saya anak sulung dan menjadi tanggung jawab saya untuk membantu adik beradik saya dalam meneruskan kehidupan. Itu keutamaan saya sebelum saya menggunakannya untuk kepentingan diri saya.

"Saya jarang membeli keperluan seperti baju dan sebagainya. Tetapi jika saya mula membeli saya akan borong semuanya. Itu yang selalu saya lakukan selama ini. Pada saya, lebih jimat kerana saya akan membeli jika ada promosi dan jualan murah," katanya.

Senarai Perbelanjaan Bulanan Mengikut Keutamaan Aminur

1. Membantu memberikan duit poket kepada adik beradik.
2. Membantu membayar segala bil dan keperluan isi rumah.
3. Menyimpan untuk pelaburan hari tua.
4. Pelaburan dalam perlindungan diri dan keluarga (insuran).
5. Menggunakan lebihan untuk kepentingan diri sendiri.

Oleh Alzahrin Alias







Affiliates

 
Chatroom