Home » » Filem Toyol Nakal gagal,kurang publisiti

Filem Toyol Nakal gagal,kurang publisiti

Filem Toyol Nakal yang dikatakan menelan kos sebanyak RM1.21 juta dan menjalani penggambaran di Kota Kinabalu, Sabah itu hanya mampu meraih lebih RM100,000 dalam seminggu tayangan.

Dibarisi Julia Zigler, Joey, Abon dan Mr Os, produk sentuhan Z Lokman itu menjadi filem tercorot kutipan jika dibandingkan dengan produksi lain bermula awal 2011 hingga 10 Jun, mengekor di belakang Ratu The Movie yang memungut RM200,000 dengan 53 panggung.

Apakah silap pilih pelakon atau, tersasar percaturan tatkala mempertanggungjawabkan sutradara yang pernah digelar pengarah cincai atau sememangnya ia disebabkan kekhilafan Artistik Pictures sendiri?

Penerbit Eksekutifnya, Jamil Justin, berkata pihaknya enggan menuding jari berhubung promosi atau kutipan memandangkan sejumlah wang sudah diperuntukkan bagi hebahan di televisyen dan radio.

Namun dedahnya, di atas nasihat beberapa rakan lebih berpengalaman dalam industri perfileman yang dipertontonkan filem itu sebelum tayangan di pawagam membuatkan pihaknya melupakan hasrat mengadakan prebiu untuk media.

“Sebagai syarikat baru yang tidak tahu apa-apa pasal pembikinan filem, kita serahkan segala-galanya kepada pengarah. Skrip bagus, begitu juga dengan kesungguhan pelakon tetapi tidak sangka hasilnya kurang menepati piawaian.

“Barangkali disebabkan ketika penggambaran dua filem dibikin sekali gus, satu versi Melayu dan satu lagi untuk pasaran Filipina diberi judul Naughty Boy. Proses suntingan mengasingkan babak juga cukup mencabar hingga membuatkan filem ini terperap setahun lebih.

“Penggambaran pula diadakan di Sabah dan ketika itu atas idea seseorang, hanya menjemput akhbar setempat menyebabkan hebahan Toyol Nakal tidak sampai ke Semenanjung namun soal prebiu, saya akui kami sengaja tidak mengadakan tayangan khas kerana punya alasan munasabah,” katanya.

Versi Tagalog pula diarahkan bersama Z Lokman dan John Ad Castillo dengan membariskan Roldan Aquino, Jeffry Quezon, Irene Contreras serta Breeze Gregorio, manakala tayangannya dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Membabitkan penggambaran hampir 20 hari, kata Jamil lagi, kutipan rendah ini tidak mematahkan semangat Artistik Pictures sebaliknya mereka merancang menghasilkan dua lagi filem tahun ini.


Malah Z Lokman sekali lagi diberi kepercayaan untuk memberikan sentuhan terhadap buah tangan kedua syarikat produksi terbabit yang kini dalam proses pemilihan skrip.

“Pengalaman pertama ini menguatkan semangat kami untuk menghasilkan produk lebih baik pada masa depan malah jumlah kutipan juga diharap membuka mata semua khususnya kepada pengarah untuk lebih teliti.

“Ketika melihat latar belakang Z Lokman yang menghasilkan pelbagai genre filem termasuk Raja Laut yang begitu meninggalkan kesan suatu masa dulu, kami percaya kebolehannya dan harapan kami semoga filem kedua nanti menyerlahkan mutu kerjanya yang sebenar,” ulasnya penuh bermakna.

Begitupun, Artistik Pictures tidak terlalu kecewa memandangkan pihak berkenaan dalam peringkat perbincangan dengan stesen TV kabel selain mengedarkannya dalam bentuk DVD.



 
Chatroom