Home » » Khasiat buah acai beri

Khasiat buah acai beri

Khasiat buah acai beri

Mungkin ramai yang tidak mengetahui kewujudan buah ini. Buah kecil berwarna hitam-ungu kemerahan ini tidak banyak bezanya dengan anggur dan bersaiz kira-kira satu inci.

Pokoknya merupakan keluarga tumbuhan palma dan ia banyak ditemui di bahagian tengah dan selatan Amerika terutama di lembangan Amazon.


Acai beri terdapat dalam pelbagai jenis. Ia mempunyai biji yang besar kira-kira tujuh hingga 10 milimeter. Biji ini memenuh 80 peratus buah.

Di Brazil buah ini dijadikan perasa ais krim atau jus, juga dikeringkan.

Pada 2008, akhbar Los Angeles Times melaporkan buah acai adalah sumber penjanaan wang tanpa merosakkan hutan Amazon. Ia diketahui bermanfaat dan kaya protein dan dipercayai membantu mengekalkan kesihatan sejak dahulu lagi.

Kajian tentang khasiat buah ini memfokus kepada aktiviti antioksidan yang dimilikinya. Secara teori, aktiviti ini membantu menghalang penyakit yang berpunca daripada tekanan seperti penyakit jantung dan kanser.

Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti of Florida mendapati, buah acai beri boleh dianggap salah satu buah-buahan yang kaya dengan sumber anti pengoksidaan paling tinggi.

Buah ini mengandungi beberapa bahan seperti flavonoid dan anthocyamin iaitu bahan yang bertanggung jawab menghasilkan warna pada setiap buah. Makanan yang mengandungi bahan anthocyamin seperti beri biru, anggur merah dan beri acai sendiri mempunyai warna yang kuat. Bahan itu juga diyakini mempunyai antioksidan yang tinggi dan membantu badan melawan penyakit. Ia juga memainkan peranan dalam sistem pertahanan badan.

Sesetengah kajian menunjukkan pulpa acai beri mengandungi antioksidan yang lebih tinggi daripada lain-lain buah beri seperti kranberi, rasberi, beri hitam, strawberi atau beri biru.

Hingga kini, banyak kajian menyokong fakta mengenai pemakanan diet yang kaya antioksidan. Justeru tidak hairan buah acai beri dan lain-lain buah beri membantu diet sihat.

Dr. Nicholas Perricone, seorang pakar perubatan berkata, buah acai beri merupakan pemakanan paling berkhasiat dan buah yang bertenaga secara semula jadi.

Buah ini turut diekstrak untuk dijadikan produk kosmetik dan kecantikan kerana ia mengandungi minyak khas yang dikatakan kaya dengan sumber antioksidan.

Melalui kajian yang dijalankan, minyak buah acai beri merupakan alternatif selamat untuk kulit wajah dan badan. Ia juga boleh digunakan sebagai syampu dan perapi. Apabila minyak acai beri diproses dan disimpan untuk jangka masa yang panjang, paras antioksidan kekal tinggi.

Namun bagi mereka yang alah kepada debunga atau alah kepada sebarang jenis buah beri, anda mungkin perlu mengelak memakan buah ini. Walaupun begitu, pengambilan dalam amaun yang kecil dikatakan tidak memberi sebarang kesan pada pengamalnya.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN



Affiliates

 
Chatroom