Home » » Tabiat makan yang sihat menerusi diet seimbang

Tabiat makan yang sihat menerusi diet seimbang

Memupuk tabiat makan yang sihat menerusi diet seimbang sejak dari kecil adalah penting bagi kanak-kanak membina asas yang sihat. Ini berikutan, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan lebih kurang 15 peratus kanak-kanak Malaysia mengalami kekurangan zat makanan.

Agak membimbangkan apabila masalah ini paling tinggi dilaporkan di kalangan kanak-kanak satu hingga enam tahun. Risiko kekurangan zat makanan ketika tahun awal bayi dan kanak-kanak, antaranya boleh merencatkan tumbesaran, malah menyebabkan kerosakan mental serta fizikal yang serius.

Pemakanan tidak sempurna di kalangan bayi dan kanak-kanak didapati adalah punca kepada satu pertiga kes kekurangan zat makanan. Kajian mendapati, seorang daripada tiga orang di negara membangun terjejas kesihatannya kerana kekurangan vitamin dan mineral. Keadaan itu mendedahkan mereka pada risiko jangkitan, kecacatan fizikal dan perkembangan intelektual.

Pakar Pemakanan Kanan, Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd, Ng Pui Kunn, berkata mengatasi pemakanan tidak sempurna, piramid makanan boleh dijadikan panduan asas bagi memastikan anak mendapat zat makanan yang lengkap.

Pui Kunn berkata, tiga asas penting bagi mengelakkan kekurangan zat makanan untuk anak, termasuklah keseimbangan, pengubahsuaian dan kepelbagaian. Keseimbangan bermakna, memastikan anak mengambil lima kumpulan makanan utama seperti yang terdapat dalam piramid makanan.

“Pengubahsuaian pula ialah jumlah yang diambil bagi setiap kumpulan makanan itu manakala kepelbagaian ialah memastikan adanya gabungan makanan yang diambil bagi setiap jenis kumpulan itu. Apabila semua itu ada, anak tidak mungkin mengalami kekurangan zat makanan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran susu formula baru, Dugro Komplete Nutri yang diperkenalkan Danone Dumex, di ibu negara, baru-baru ini.

Dugro Komplete Nutri mengandungi formula susu dipertingkat yang mengandungi lcFOS (serat diet frukto-oligosakarida rantaian panjang) dan berperanan membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik.

Susu formula baru itu juga mengandungi DHA, AA, SA dan Taurina yang menjadi komponen penting dalam otak serta nutrien penting lain seperti kalsium, zat besi, zink dan vitamin yang menggalakkan tumbesaran dan perkembangan menyeluruh.

Pui Kunn berkata, oleh kerana peringkat tumbesaran kanak-kanak dari usia satu tahun hingga enam tahun amat penting, ibu bapa harus berusaha memberikan makanan yang pelbagai dan seimbang supaya anak dapat membesar, di samping kekal sihat.

Begitu juga pemberian makanan yang sesuai dan jumlah yang secukupnya adalah penting buat kanak-kanak yang sedang membesar. Katanya, cara ini akan memastikan mereka mendapat pemakanan optimum dan mengelakkan pemakanan berlebihan atau kekurangan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

“Tiada satu makanan yang dapat memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak kerana badan mereka memerlukan pelbagai zat. Mereka memerlukan makanan yang pelbagai kerana jenis dan jumlah zat berbeza dalam satu jenis makanan dengan yang lain.

“Semakin anak membesar, keperluan pemakanannya akan berubah dan jenis serta zat makanannya perlu ditambah. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan mereka makan mengikut masa dan dengan sukatan yang betul,” jelasnya lagi.

Pui Kunn berkata, cabaran seterusnya untuk memastikan anak tidak kekurangan zat makanan ialah menterjemahkan apa yang terkandung dalam piramid makanan ke dalam jadual makanan harian mereka. Makanan anak perlu seimbang, yang terdiri daripada karbohidrat untuk tenaga, buah-buahan dan sayur-sayuran untuk serat, makanan kaya dengan protein serta susu dan produk tenusu.

Katanya, kanak-kanak aktif atau menggunakan banyak tenaga fizikal, digalakkan mengambil lebih karbohidrat. Namun, pastikan sumber karbohidrat diambil adalah jenis sederhana supaya kadar pengambilannya tidak berlebihan, sebaliknya cukup bagi mengganti atau membekalkan tenaga yang banyak hilang disebabkan kanak-kanak berkenaan terlalu aktif.

Mengenai pengambilan susu yang dikatakan baik untuk kanak-kanak sebagai tambahan khasiat makanan dan sumber kalsium di samping mengandungi nutrisi penting lain seperti vitamin, zink dan asid folik, Pui Kunn berkata, waktu paling sesuai meminum susu ialah pada sebelah pagi.

Katanya, pengambilan susu pada waktu pagi iaitu ketika sarapan sememangnya baik kerana ia sebagai langkah untuk memula dan meneruskan hari yang sihat, segar serta bertenaga sepanjang hari.

Bagi gelas kedua, susu mungkin boleh diambil waktu petang iaitu selepas makan tengah hari dan minum petang manakala pengambilan seterusnya sebaik-baiknya ialah sebelum tidur.

Apa yang penting, tegas Pui Kunn ibu bapa perlu membeli susu formula mengikut kesesuaian usia anak dan kepentingan zat diperlukan berdasarkan usia kanak-kanak berkenaan.

“Dalam satu keluarga, terdapat anak berbeza usia tetapi kerana ingin mudah atau menjimatkan belanja, mungkin ada ibu bapa membeli susu untuk satu peringkat usia saja serta berkongsi untuk anak yang mungkin sudah lebih usia dan tidak sesuai dengannya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dibimbangi kesannya pada kesihatan mungkin hanya boleh dilihat untuk jangka masa panjang,” katanya.

INFO

Terlalu sedikit atau terlalu berlebihan zat boleh menimbulkan masalah kesihatan. Pendekatan yang mudah dan sihat adalah mengajar anak makan secara sederhana sejak kecil lagi.

Apabila keperluan pemakanannya meningkat, jumlah makanan yang diambilnya juga akan bertambah. Oleh itu, adalah penting bagi anak mempelajari amalan pemakanan sihat seperti makan mengikut waktu, tidak melangkau waktu makan dan tidak makan berlebihan.

Bagi menjamin anak mencapai potensi dengan sepenuhnya, adalah penting bagi ibu bapa memberikan makanan yang sesuai dengan jumlah yang betul di samping menggalakkan mereka bergiat dalam aktiviti fizikal.

Antara yang diperlukan anak bagi zat pemakanan sihat ialah zat besi, zink, kalsium, iodin dan vitamin A.

Kekurangan zat makanan membunuh hampir enam juta kanak-kanak setahun terutama di negara membangun meskipun ada pelbagai cara dilakukan bagi membaiki tahap makanan berkhasiat di seluruh dunia.

Kekurangan zat besi menyebabkan kurang darah dan memberi kesan terhadap perkembangan mental atau perkembangan saraf motor dan perubahan tingkah laku. Kekurangannya juga boleh membuatkan anak tidak dapat memberi tumpuan, pucat dan lesu.

Gangguan otak, pertumbuhan terencat, disleksia serta daya tahan penyakit terjejas berpunca daripada kekurangan zink. Tanda anak kekurangan zink dapat dilihat apabila mereka tiada selera, hilang deria rasa dan susah sembuh.

Jika anak sering mengadu sakit otot, sakit badan dan kekejangan otot atau ibu bapa melihat kuku mereka rapuh, kulit kering dan bersisik, bermakna mereka kekurangan kalsium. Ia boleh mengakibatkan tulang rapuh, tinggi risiko patah tulang, penyakit riket dan osteoporosis apabila umur meningkat.

Iodin juga penting untuk tumbesaran kanak-kanak. Kekurangannya boleh mengakibatkan kerosakan otak, hipotiroid, pertumbuhan kognitif dan perkembangan saraf motor terjejas. Tanda seperti bengkak di leher dan mata terbonjol mungkin menunjukkan anak kekurangan sumber zat ini.

Vitamin A penting untuk kesihatan mata anak. Kekurangannya boleh mengakibatkan penglihatan terjejas teruk, buta dan meningkatkan risiko diserang penyakit teruk.



Affiliates

 
Chatroom