Home » » Gula Tambahan Dalam Makanan

Gula Tambahan Dalam Makanan

Berapa ramai antara ibu bapa yang mengambil inisiatif meneliti dan mengerti kandungan nutrisi dalam produk makanan tumbesaran kanak-kanak terutama yang membabitkan bahan gula dan gula tambahan?

Lazimnya, dalam menentukan pemakanan terbaik untuk anak-anak, ibu bapa sering berdepan masalah untuk memahami begitu banyak maklumat berhubung nutrisi serta menentukan apakah bahan tertentu baik untuk tumbesaran mereka.


Dalam pada itu, bilangan kanak-kanak yang memiliki berat badan berlebihan atau obesiti makin meningkat, bukan saja di Malaysia malah seluruh dunia. Satu punca masalah ini ialah ketidakseimbangan tenaga antara pengambilan dan penggunaan kalori. Menambah kepada kemelut ini ialah kekeliruan antara definisi dan fungsi gula khususnya gula tambahan dalam diet kanak-kanak.

Dengan memahami lebih lanjut mengenai gula dan gula tambahan, ibu bapa boleh melakukan perubahan besar dalam meningkatkan kualiti diet dan kesihatan anak mereka. Adakah gula membawa kebaikan atau keburukan, berapa banyak gula yang harus diambil seorang kanak-kanak dan apakah gula tambahan yang perlu diawasi adalah antara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Pengarah Pusat Kajian Nutrisi Kanak-kanak, University of Queensland, Prof Dr Peter Davies, berkata jika kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan kalori, berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.

"Karbohidrat merangkumi sebahagian besar daripada pengambilan kalori kanak-kanak dan selepas dimakan, semua karbohidrat akhirnya akan menjadi gula dalam badan.

"Karbohidrat seharusnya diambil daripada sumber makanan yang tinggi dengan kandungan karbohidrat kompleks seperti kanji. Tiada keperluan sebenar bagi mereka untuk makan sejumlah gula tambahan yang banyak," katanya pada bengkel Fakta Mengenai Gula anjuran Fonterra di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Davies berkata, memilih makanan yang padat dengan khasiat yang baik dapat memastikan tubuh kanak-kanak menerima khasiat yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran.

"Secara perbandingan, jika mereka mengambil jumlah kalori yang sama daripada banyak gula tambahan, nilai khasiatnya adalah terhad. Gula tambahan ini sering dirujuk sebagai 'kalori kosong' dan pengambilan berlebihan meningkatkan risiko berat badan berlebihan dan kegemukan," katanya.

Sehubungan itu, langkah mengehadkan kuantiti gula tambahan dalam diet kanak-kanak memang disyorkan. Ibu bapa perlu sedar hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak mereka.

Sementara itu, Ketua Sains Institut Tumbuhan dan Kajian Makanan New Zealand, Dr John Monro dalam kertas kerja bertajuk Gula dan Gula Tambahan Dalam Pelabelan Makanan menjelaskan, sesetengah makanan yang mengandungi gula yang terkandung secara semula jadi, gula tambahan dan ramuan tertentu akan bertukar menjadi gula dalam badan dengan cepat.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan semua bahan itu dihadamkan dengan pantas, sifatnya sama dari segi pemakanan.

"Pada masa ini ada gula tambahan dalam pelbagai makanan dan minuman yang diproses, malah sesetengah ibu bapa menganggapnya sihat. Oleh kerana nama ramuan yang kurang dikenali digunakan seperti sukrosa, maltose, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa, ramai ibu bapa sebenarnya memberikan anak mereka terlalu banyak gula tanpa disedari," tambah Dr John.

Sehubungan itu, katanya, cara terbaik ialah mengikuti panduan Panel Maklumat Pemakanan (NIP) dan meneliti senarai bahan ramuan pada label makanan.

Mengikut Garis Panduan Pelabelan Malaysia, semua gula sama ada semula jadi atau ditambah, disenaraikan sebagai sebahagian daripada karbohidrat manakala kandungan serat disenaraikan berasingan.

"Jadi dalam susu tepung, semua kandungan karbohidrat adalah gula. Dengan hakikat pelabelan ini dan kerana kita tahu bahawa paras laktosa semula jadi dalam susu biasa adalah kira-kira 11 hingga 12 gram setiap hidangan, ini bermakna jumlah karbohidrat dalam setiap hidangan ialah petunjuk yang boleh dipercayai untuk menentukan anggaran gula tambahan dalam produk susu.

"Paras yang jauh lebih tinggi daripada tahap laktosa semula jadi menandakan peningkatan gula tambahan," katanya.

Tiga langkah mudah mengesan gula tambahan dalam susu tepung untuk membesar:

* Ingat nama-nama atau jenis gula tambahan seperti sukros, sirap jagung, sirap glukos, maltose dan dekstrin.

* Periksa dan kaji senarai kandungan susu tepung. Bahan paling atas lazimnya mempunyai kandungan paling tinggi.

* Nilai Panel Maklumat Pemakanan (NIP) - bacaan yang menunjukkan paras laktosa semula jadi melebihi 11 hingga 12 gram menunjukkan adanya gula tambahan.

Oleh Suzan Ahmad



 
Chatroom