Home » » Kajian pemakanan UKM : Keperluan diet kanak-kanak

Kajian pemakanan UKM : Keperluan diet kanak-kanak

Peranan susu untuk menjamin kesihatan dan kesempurnaan kehidupan bayi dan kanak-kanak tidak dinafikan, malah bahan asas itu menyumbang sebahagian besar protein kepada bayi untuk terus membesar.

Menerusi pelbagai kajian susu membuktikan pengambilan susu mengikut saranan pakar memberi diet seimbang. Pengambilannya membantu mengurangkan tekanan darah tinggi selain meminimumkan risiko kanser usus dan payu dara.


Susu yang juga sumber semula jadi kalsium dan vitamin D, dua nutrien penting yang diperlukan untuk membina tulang dan gigi yang kuat. Ia juga kaya dengan protein membina dan memperbaiki tisu tubuh.

Menyedari kepentingan itu, satu kajian pemakanan dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan pemakanan harian yang penting untuk kanak-kanak di negara ini dilaksanakan oleh Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLM).

Kajian bermula Mei 2009 dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UKM, Profesor Madya Poh Bee Koon, berkata kajian membabitkan 4,000 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dan mereka mewakili pelbagai kumpulan etnik di negara ini.

Katanya, semua data yang dikumpulkan daripada kajian pemakanan itu akan diproses dan dianalisis saintis dari UKM dan dijangka memakan masa di antara 18 hingga 20 bulan.

Beliau berkata, kajian itu memfokuskan ukuran status pemakanan merangkumi berat, ketinggian, komposisi tubuh, kekuatan otot, kadar tumbesaran, kesihatan tulang serta tahap IQ mereka.

“Skala penyelidikan yang meluas ini membolehkan ibu bapa, kerajaan serta profesional pemakanan mendapatkan maklumat tambahan mengenai keperluan dan corak pemakanan kanak-kanak tempatan.

“Walaupun masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia tidak begitu ketara berbanding negara maju, namun kajian ini begitu diperlukan bagi memantau tahap kesedaran mereka.

“Wujud kecenderungan remaja perempuan yang baru didatangi haid cuba mengekalkan bentuk tubuh badan mereka dengan mengamalkan diet tidak sihat seperti tidak mengambil sarapan pagi dan hanya memakan makanan ringan bagi mengelakkan kelaparan.

“Selain itu, kajian ini juga akan membantu mengisi jurang pemakanan yang wujud pada masa kini melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan (NPANM) II yang dikenal pasti dalam Keutamaan Penyelidikan 2011 hingga 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas taklimat mengenai kajian itu, di UKM, baru-baru ini.

Poh berkata, pasukan pakar penyelidikan dan pembangunan DLM juga akan memberi sokongan padu bagi menyempurnakan kajian dalam skala besar ini.

Sementara itu, Pakar Pemakanan Kanan DLM, Loo Mei Fong, berkata peruntukan sebanyak RM2 juta dikhaskan bagi tujuan itu dan hasil kajian berkenaan akan digunakan bagi membantu pengguna membuat pilihan diet yang sihat untuk kanak-kanak.

“Keputusan kajian membolehkan kami mengenalpasti formulasi produk tenusu bagi memenuhi keperluan khusus nutrisi kanak-kanak di negara ini.

“Kami komited membantu warga tempatan mewujudkan budaya pemakanan tenusu berkualiti sejak kecil. Susu mempunyai nilai pemakanan luar biasa dan membentuk bahagian yang penting dalam diet yang sihat,” katanya.

Pada masa ini, Poh berkata, pihaknya tidak ada data terperinci yang boleh dikemukakan mengenai tabiat pemakanan kanak-kanak di Malaysia.

Oleh itu, beliau berkata pihaknya memilih menjalinkan kerjasama dengan UKM bagi memastikan kajian pemakanan seluruh negara ini dilaksanakan secara saintifik.

“Dengan sokongan penyelidik UKM, kami akan menterjemahkan hasil kajian ini dalam bentuk tindakan sepatutnya. Sebagai contoh, dengan menggalakkan pengguna mengambil berat mengenai nutrisi harian selain mengamalkan diet berkualiti,” katanya.

Pasukan pakar penyelidik dan pembangunan DLM akan mengambil bahagian secara aktif dan bekerjasama dengan UKM untuk menganalisis hasil kajian berkenaan. Hasilnya akan dibentangkan selewat-lewatnya pada suku kedua tahun hadapan.

Kajian ini juga sebahagian kaji selidik pemakanan lebih besar untuk Asia Tenggara yang diterajui Royal FrieslandCampina, syarikat induk bagi DLM. Kajian yang sama juga sedang dijalankan di Indonesia, Thailand serta Vietnam.



 
Chatroom