Home » » Puasa: Pemilihan diet ikut piramid makanan

Puasa: Pemilihan diet ikut piramid makanan

Puasa sudah memasuki hari ke-10. Bagaimana prestasi anak anda? Adakah dia berupaya berpuasa penuh sepanjang sembilan hari Ramadan atau hanya separuh saja? Adakah dia nampak letih, bersemangat atau semakin longlai apabila tiba waktu berbuka?

Melatih anak berpuasa adalah satu cabaran apabila mereka sudah mencecah usia yang sesuai mengikut pertimbangan ibu bapa. Ini kerana pada usia tertentu, anak sudah sepatutnya dilatih berpuasa secara berperingkat bermula dengan separuh hari, tiga suku dan seterusnya berpuasa penuh.

Bagi anak yang tidak tahan berpuasa atau mungkin juga hampir pitam, itu petanda dia tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk bertahan sehingga ke petang.

Pitam, berpeluh sejuk, menggeletar dan lemah adalah tanda kekurangan gula atau gula rendah di dalam tubuh. Keadaan yang dipanggil hipoglisemia ini sering berlaku kepada kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarul Zaman, orang dewasa dan kanak-kanak pada amnya mempunyai sistem pencernaan yang sama. Apa yang membezakannya adalah kanak-kanak memiliki simpanan tenaga yang sedikit berbanding dewasa.

"Kanak-kanak mempunyai simpanan tenaga yang terdapat pada lemak, otot dan gula di hati yang terhad berbanding orang dewasa. Oleh itu, tanpa sahur yang lengkap dan seimbang, kanak-kanak tidak mampu untuk berpuasa hingga Maghrib," katanya.

Ini berbeza bagi orang dewasa, walaupun tanpa sahur yang mencukupi, simpanan tenaga orang dewasa mampu membekalkan tenaga untuk seharian. Apabila kanak-kanak menghampiri akil baligh, pembentukan otot dan lemak akan kelihatan pada lelaki dan kanak-kanak perempuan kerana ketika ini pertumbuhan badan mereka semakin berkembang dan menuju ke arah seperti orang dewasa. Pertambahan otot dan lemak bermakna simpanan tenaga juga akan bertambah.

Dalam usaha memastikan anak berjaya melaksanakan rukun Islam ketiga ini, ibu bapa memainkan peranan penting menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada mereka. Pemilihan makanan seimbang mengikut piramid makanan ketika bersahur dan berbuka membantu kanak-kanak menjalani ibadat puasa sebaiknya.

"Setiap juadah disediakan sama ada berbuka dan bersahur perlu mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral.

"Ini bermakna mereka perlu makan nasi atau bijirin lain bersama sumber protein seperti ayam dan ikan serta sayur-sayuran untuk serat dan vitamin daripada buah-buahan seperti kurma.

"Sediakan makanan mengandungi karbohidrat seperti roti, nasi dan mi untuk membekalkan tenaga secukupnya semasa berpuasa. Untuk protein dan kalsium secukupnya galakkan anak makan daging, ikan, ayam, kekacang, susu dan produk tenusu ketika bersahur dan berbuka," katanya.

Apa yang menjadi masalah adalah kanak-kanak yang sangat selektif dalam pemilihan makanan. Mereka hanya makan makanan yang disukai saja misalnya memilih untuk makan sandwic, bihun atau mi ketika berbuka.

"Sekiranya anak menyukai makanan ini, pastikan hidangan disediakan lengkap dengan sayur-sayuran, ikan, daging atau ayam.

"Begitu juga sandwic, pastikan diletakkan salad, tomato, ayam atau telur bagi memberikan keseimbangan tenaga kepada mereka," katanya.

Menurut Mazuin, sekiranya anak tidak berselera untuk makan nasi atau makan makanan berat ketika bersahur, boleh digantikan dengan bijirin seperti oat atau roti. Ini kerana serat yang terkandung dalam bijirin dan sayur-sayuran mampu melambatkan rasa lapar dan membantu pengawalan aras gula dalam darah. Makanan berserat juga melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan.

"Makanan berserat terbahagi dua iaitu serat larut dan serat tidak larut. Serat larut membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam darah selain membantu mengawal kolesterol dalam badan.

"Antara makanan yang mengandungi serat larut ialah buah-buahan dan kekacang. Serat jenis ini menyerap air sekali gus membantu menjadikan seseorang itu cepat kenyang.

"Serat tidak larut pula berfungsi memastikan salur pencernaan bebas daripada sebarang halangan bagi mengelakkan daripada sembelit atau buasir. Contoh makanan mengandungi serat tidak larut ialah bijirin penuh dan sayur-sayuran," ujarnya yang menggalakkan ibu bapa memberi anak makan kurma sebagai sumber serat yang kaya dengan vitamin dan mineral.

Selain makanan berkhasiat, kanak-kanak dinasihatkan minum banyak air kosong bagi menggantikan kehilangan air daripada proses perpeluhan dan perkumuhan.

"Ketahuilah kanak-kanak lebih mudah kehilangan air dalam badan berbanding orang dewasa kerana perbezaan aktiviti fizikal. Atas alasan ini, mereka perlu minum lebih banyak air bagi mengelakkan kekeringan. Pengambilan air yang secukupnya juga dapat membantu menyingkirkan kekotoran dan toksin dalam tubuh," katanya.

Panduan:

Ketika bersahur

* Pastikan makanan yang diberi kepada anak seimbang seperti yang disarankan dalam piramid pemakanan.

* Sediakan makanan kegemaran anak bagi menggalakkan kanak-kanak bersahur tetapi elakkan makanan segera kerana tidak bagus untuk perkembangan tubuh mereka.

* Pelbagaikan menu hidangan supaya anak tidak jemu makan makanan sama setiap hari.

* Pastikan anak bersahur lewat agar tidak cepat rasa lapar dan letih.

* Galakkan anak meminum susu terutama apabila anak tidak berselera untuk bersahur.

Ketika berbuka puasa:

* Pastikan anak berbuka puasa dengan makanan yang lengkap.

* Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sebaliknya biar mereka makan kerap.

* Kurangkan pengambilan makanan berminyak, banyak rempah dan pedas.

* Galakkan anak meminum air selepas berbuka sehingga bersahur bagi mengelakkan kekeringan.

* Pastikan berat anak tidak menurun ketika bulan puasa.

Menurut Pegawai Agama Hospital Pusrawi, Yaakob Abd Hamid, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa sehingga usia mereka akil baligh, namun ibu bapa harus memberi latihan serta galakan kepada anak pada usia yang awal.

Sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu terlebih dulu mengajar anak mengenai Ramadan dan keistimewaannya. Didik anak untuk mencintai Ramadan pada setiap tahun serta tidak lupa menyelitkan mengenai aktiviti sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berbuat baik kepada semua orang. Beritahu juga pada anak mengenai al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.

"Penerangan ini sangat penting kerana ia dapat memberi gambaran jelas kepada anak mengenai kebaikan berpuasa," katanya.

Apabila anak sudah sanggup berpuasa, mereka seharusnya diberi kata-kata semangat sehingga tiba waktu berbuka. Misalnya dengan memberi kata-kata nasihat mengenai orang susah yang tidak dapat makan dan minum serta meningkatkan tahap kesihatan badan. Namun sekiranya menjejaskan kesihatan, ibu bapa seharusnya meminta anak-anak berbuka puasa.

"Dalam hal ini jangan lakukan paksaan kepada anak sebaliknya gunakan kaedah memujuk supaya mereka melakukannya dengan ikhlas," ujarnya.

Menurut Yaakob, memberikan ganjaran kepada anak-anak supaya mereka berpuasa penuh adalah satu bentuk galakan yang boleh dilakukan supaya mereka lebih bersemangat berpuasa.

"Ganjaran boleh diberikan dalam bentuk wang, barang permainan atau dijanjikan percutian keluarga. Lama-kelamaan apabila mereka mula melakukan sendiri berpuasa, ia bukan lagi semata-mata mendapat ganjaran sebaliknya keikhlasan kerana Allah," katanya.

Ramadan juga adalah waktu sesuai melatih anak-anak daripada melakukan perbuatan kurang elok serta mencegah mereka daripada berbohong.

Selain itu, bawa mereka menunaikan solat terawih bersama-sama di masjid serta mengajar mereka membaca al-Quran. Paling penting, latih anak-anak untuk bangun sahur supaya mereka tidak lapar keesokan harinya.

Oleh Siti Zarinah Sahib



Affiliates

 
Chatroom