Home » » Adab kunjungi rumah terbuka

Adab kunjungi rumah terbuka

Setiap kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara `eksklusif'.

Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu jemputan.

Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.

Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan. Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia.

Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.

Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.

Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan persaudaraan.

Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.

Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak bermakna kita boleh 'menyerbu' rumah jiran kita sesuka hati.

Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan rumah dan waktunya pula sesuai.

Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.

Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak pulang, jangan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima kasih kepadanya atas jemputan itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat ayat 13).

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat terserlah.

Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya.

Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati memeluk Islam.

Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau bangsa.

"Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.

"Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah," katanya.

Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.

"Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu yang hadir.

"Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga hingga dia pulang". Baginda ditanya: "Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?". Jawab Baginda: "Memetik buahnya (dari syurga)" (Hadis Riwayat Muslim).

"Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul. Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya," katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): "Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali." Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.

"Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi peluang kepada kita bertemu," katanya.

Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam.

"Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil" (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

"Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.

"Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah," katanya.

Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.

"Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir.

"Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.

"Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan, penganjur tidak boleh 'memilih bulu' dengan menjemput tetamu di kalangan yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya," katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin



Affiliates

 
Chatroom