Home » » » Mandian hidroterapi kembali langsing

Mandian hidroterapi kembali langsing

Melakukan rawatan spa dengan belaian haruman aromaterapi sambil tubuh diurut lembut pakar terapi mungkin bermain di semua fikiran wanita. Ini kerana ketika inilah wanita dapat berehat sepenuhnya sambil melupakan semua masalah sama ada di rumah atau di tempat kerja.

Jika anda biasa melakukan rawatan sauna atau mandi wap, apa kata anda cuba mandian hidroterapi yang berfungsi memperbaiki sistem peredaran darah, membersihkan kulit secara menyeluruh, memutihkan kulit serta mengembalikan kelangsingan tubuh. Lebih penting rawatan yang berasal dari Jerman ini membantu membakar lemak serta mengembalikan pola makan dan tidur menjadi lebih teratur.

Menurut pemilik dan juga Pengarah Urusan Edzscape Spa, Edzrina Esa, pengalaman melakukan spa hidroterapi di rumah empat tahun lalu mendorongnya membuka pusat kecantikan yang menyediakan perkhidmatan mandian hidroterapi bersama rawatan kecantikan yang lain.

“Naluri kewanitaan saya begitu kuat, saya gemar mengunjungi pusat rawatan kecantikan tetapi sukar mendapat perkhidmatan yang baik pada harga yang murah. Selepas membeli mesin hidroterapi untuk ibu yang menghidap kencing manis saya dapati banyak perubahan diperoleh.

“Selain mengurangkan berat badan, rawatan ini membantu mengatasi masalah kesihatan seperti kencing manis, gout dan asma. Hasilnya ibu saya semakin sihat, malah membantu pemulihan luka pada kaki dengan cepat sekiranya dilakukan secara teratur,” katanya.

Tambahnya, rawatan ini sangat mudah dan tidak memerlukan banyak masa. Anda hanya perlu berendam dalam tab mandi yang airnya dicampur dengan minyak aromaterapi bersama sedikit garam bergantung kepada masalah pelanggan. Antara bauan yang ditawarkan seperti lavender, eucalyptus, juniper, pine, hayseed, rosemary dan camomile.

“Setiap bauan mempunyai kelebihan tersendiri, contohnya lavender dikenali kerana dapat menenang dan menghilangkan ketegangan urat, manakala eucalyptus baik untuk sistem pernafasan, masalah batuk dan resdung, juniper meredakan ketegangan dan sakit otot manakala spruce dan pine pula menyegar, menghilangkan kelesuan dan memulihkan tenaga,” katanya yang berkelulusan ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Malaya.

Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan mereka cuma perlu berendam dalam tab mandi yang dihubungkan dengan mesin hidroterapi selama 15 atau setengah jam.

Alat ini memberikan tiga kelebihan, iaitu ultrasonik semula jadi yang mampu mengeluarkan lebih daripada satu juta busa atau gelombang kecil infra merah setiap satu minit dan berfungsi memanaskan badan dari dalam, mengurut, membersih, mencantikkan, membentuk badan dan memberikan kesan seperti senaman kepada pengguna.

“Radiasi infra merah meresap ke dalam tubuh dan membantu memanaskan badan dari dalam sekali gus membantu melancarkan peredaran darah dan mengoptimumkan perjalanan sistem saraf. Infra merah juga dapat menghuraikan lemak sebagai proses penyah toksin, menyingkirkan air dalam tubuh, mengatasi rasa letih dengan cepat serta membantu meningkatkan ionisasi sehingga kadar ion dalam darah meningkat.

“Sebab itu hanya 15 minit berendam dalam tab mandi sama seperti berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan membakar 300 hingga 500 kalori,” katanya.

Sebelum berendam, ahli terapi akan menerangkan posisi yang boleh dilakukan bagi mendapatkan hasil mandian yang lebih berkesan iaitu posisi mencangkung, duduk, bersila, membongkok, duduk dengan meninggikan lutut dan mengiring. Setiap posisi ini mempunyai kebaikan daripada segi kesihatan.

“Namun sekiranya anda malas atau baru pertama kali mencuba, cukup dengan posisi berbaring anda akan dapat rasai tumbukan lembut yang terhasil daripada gelembung air.

“Rawatan yang menggabungkan teknik jakuzi, wap dan sauna ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan, namun bagi yang baru mencuba mungkin mereka akan rasa gatal di sekitar pori-pori atau mungkin kulit akan merah.

“Tetapi jangan bimbang kerana ini adalah kesan daripada proses pengeluaran racun dalam tubuh sehingga kelihatan serbuk hitam di sekitar tab mandi,” jelasnya.

Untuk mendapatkan hasil optimum, wanita disarankan melakukan mandian hidroterapi dua kali sehari iaitu pagi dan malam terutama bagi yang mempunyai masalah kesihatan. Namun bagi yang susah tidur atau hanya untuk menenangkan cukup dengan sekali seminggu.


Selesai melakukan mandian, sebaiknya harus disusuli dengan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah serta mengembalikan kesegaran tubuh.

Menurut Edzrina, rawatan hidroterapi ini sesuai untuk pasangan pengantin kerana lulur dan urut saja tidak mencukupi bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Kebanyakan pasangan pengantin hanya melakukan mandi susu dan lulur selama dua kali rawatan. Namun, sebenarnya tidak mencukupi. Untuk lebih berkesan mereka seharusnya melakukan mandian hidroterapi kerana ini akan membuatkan pori-pori lebih terbuka dan sel kulit mati terhakis dengan mudah. Selepas itu baru dilakukan mandi susu, lulur dan urutan badan,” katanya.

Selain itu, spa berkenaan yang terletak di Damansara Perdana, Petaling Jaya, turut menyediakan rawatan kuku tangan dan kaki untuk dewasa dan kanak-kanak daripada harga serendah RM35, rawatan muka, urut menggunakan batu, pakej pengantin dan urutan selepas bersalin.

Kebaikan spa hidroterapi:

Membantu melangsing dan mencantikkan bentuk badan, memutih dan menghaluskan kulit, memejal otot badan dan muka, menghilangkan bau badan, mengurangkan perut buncit dan mengetatkan organ peranakan.

15 minit mandian hidroterapi dan urutan buih ultrasonik sama dengan berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan mampu membakar 300 hingga 500 kalori. Ia juga senaman pasif tetapi berkesan dan amat sesuai diamalkan sebagai gaya hidup terkini.

Penting untuk sistem pertahanan badan, menambah bilangan sel limfosit (sejenis sel darah putih) untuk melawan penyakit serta mengaktifkan sel limfosit untuk meningkatkan sistem kekebalan badan.

Buih ultrasonik yang terhasil ketika mandian selama 15 minit menyerupai kesan mengurut secara profesional selama tiga jam, tiada kesan sakit selepas mandian, tidak seperti urutan fizikal yang kadangkala boleh menyakitkan badan juga tiada kesan lebam.

Mengeluarkan bahan toksin dalam sel badan dan menyah toksin menyeluruh sehingga ke peringkat sel.

Oleh Siti Zarinah Sahib



Affiliates

 
Chatroom