Home » » Panduan makan secara berhemah pada hari raya

Panduan makan secara berhemah pada hari raya

Panduan untuk makan secara berhemah pada hari raya ini:

Ingat bahawa anda akan mengunjungi beberapa rumah dalam sehari dan semuanya menghidangkan sajian yang membuka selera. Jadi hadkan saiz hidangan bagi setiap rumah. Jangan isi makanan hingga penuh pinggan atau makan terlalu kenyang.

Minum segelas besar air masak (air kosong) sebelum makan. Ia boleh membuatkan anda berasa kenyang. Jika tuan rumah tidak menyediakan air masak, minta dengan baik atau pergilah ke dapur untuk mengambilnya sendiri. Apa yang hendak dimalukan kerana tuan rumah adalah saudara mara atau sahabat anda sendiri.

Selepas makan, bangun dari meja dan duduk di tempat lain untuk bersembang dengan saudara mara yang lain. Jika anda duduk terlalu lama di meja makan, akan ada kemungkinan untuk anda makan lagi, sedikit demi sedikit.

Luangkan lebih masa untuk berbual dengan ahli keluarga dan sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa. Inilah tujuan berhari raya, untuk saling kunjung mengunjung dan merapatkan silaturahim.

Jangan lupa makan ubat terutama bagi pesakit yang perlu mengambil ubat sepanjang hayat seperti pesakit kencing manis, tekanan darah tinggi atau paras kolesterol tinggi. Pastikan ubat diambil setiap hari seperti diarahkan doktor.

Sentiasa bawa bekalan ubat ke mana saja anda pergi, kerana dalam musim perayaan ini akan ada kecenderungan untuk bermalam di rumah saudara mara. Kegagalan mengambil ubat boleh membuatkan anda berasa tidak sihat. Malah ia juga boleh menjejaskan kawalan penyakit anda.

Budaya air masak

Pada musim perayaan ini sangat jarang orang menghidangkan air kosong. Malah ketika inilah anda boleh melihat pelbagai jenis minuman berkarbonat terhidang di atas meja, termasuk jenama yang anda tidak pernah tahu kewujudannya.

Malah tidak salah jika sentiasa membawa botol air berisi air masak ke mana saja kita pergi. Bawalah botol air kecil yang boleh dimasukkan ke dalam beg tangan atau beli air minuman (500 mililiter) supaya ia boleh diminum ketika dalam perjalanan, terutama pada cuaca panas.

Budaya orang kita, jarang meminta lebih daripada apa yang dihidangkan kerana ia dianggap tidak sopan. Namun dalam hal ini, tidak salah jika anda meminta air masak untuk menggantikan minuman manis. Ini kerana minuman manis mengandungi kalori kosong yang tidak diperlukan badan. Ia hanya akan menambah pengambilan kalori yang sudah sedia ada banyak daripada makanan lain.

"Air masak adalah pilihan yang baik. Memang jarang tuan rumah menghidangkan air masak tetapi anda boleh minta atau cari sendiri di dapur kerana anda berkunjung ke rumah saudara mara atau kawan-kawan.

"Lagipun, kalau mengunjungi lima rumah sehari, bermakna sehari suntuk anda hanya minum minuman manis. Jadi tidak perlu malu untuk minta air masak kerana kesihatan anda lebih penting. Keluarga dan kawan-kawan akan menyokong pilihan anda untuk menjadi lebih sihat.

"Pada mulanya memang agak kekok, tetapi tiada salahnya menjadi pemula budaya. Maknanya anda memulakan budaya minum air masak pada musim perayaan sama ada ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai," katanya.

Malah anda juga boleh menjadi pencetus ilham menghidangkan air masak kepada tetamu. Jika dulu, menghidangkan air masak pada musim perayaan mungkin agak 'pelik' tetapi kini keadaan sudah berubah. Semakin ramai yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap kesihatan.

Bagaimanapun bukanlah memberikan tetamu air masak semata-mata tetapi disertakan dengan minuman manis lain, supaya tetamu boleh membuat pilihan.

Jika menghidangkan air manis, kurangkan jumlah gula supaya minuman yang dihidang sekadar manis buah saja. Bagi minuman panas, jangan dibancuh dengan gula atau susu. Sediakan gula dan susu di dalam bekas berasingan supaya tetamu boleh menentukan sendiri tahap kemanisan minuman mereka, kata Indra lagi.

Panduan mengawal pengambilan gula:

* Jangan terlalu banyak makan biskut dan kek. Kalau mahu, makanlah sedikit selepas mengambil sajian berat. Cukuplah menjamah satu atau dua keping biskut mahu pun kek, sekadar untuk rasa.

* Lebihkan minum air masak, kurangkan minuman manis. Jika mahukan air manis, kurangkan sukatan gula.

* Kecilkan saiz hidangan anda. Hadkan juga pengambilan ketupat dan lemang. Malah kandungan karbohidrat dalam bihun juga sama dengan nasi. Jadi jangan fikir anda makan 'sedikit' dengan memilih bihun berbanding nasi. Ini kerana kandungan karbohidrat secawan bihun sama dengan secawan nasi.

Karbohidrat ini akan ditukarkan ke dalam bentuk gula ringkas untuk digunakan sebagai tenaga. Inilah sebabnya selain mengawal pengambilan minuman dan makanan manis, kita juga perlu mengecilkan kuantiti hidangan mengandungi karbohidrat.

* Jika anda membakar kek atau biskut, kurangkan sukatan gula berbanding resipi asal. Anda boleh mengurangkan 1/3 kandungan gula bagi kek dan biskut tanpa perlu risau ia 'tidak jadi', malah dalam sesetengah keadaan, rasanya lebih enak. Inilah cara yang baik untuk mengurangkan gula tambahan.

* Sentiasa hidangkan buah-buahan untuk keluarga dan tetamu sebagai pilihan sihat dan menyegarkan. Ia boleh dimakan begitu saja atau dijadikan jus, tetapi ingat jangan masukkan gula ke dalam jus anda itu.


Perkara penting:

* Rancang hari anda. Jika anda tahu berapa banyak rumah yang akan dikunjungi, makan sedikit di setiap rumah.

* Jangan tamak bila berhadapan dengan makanan dan mengisi sepenuh pinggan. Ambil yang anda teringin hendak makan saja, dalam kuantiti kecil. Selepas sebulan berpuasa, jangan beri 'kejutan' kepada perut dengan makan mengikut kemahuan kerana ini adalah antara sebab mengapa ramai mengalami masalah kerap berulang ke tandas terutama pada hari pertama dan kedua Aidilfitri. Tujuan mengunjungi sanak saudara dan rakan adalah untuk mengeratkan hubungan, bukan semata-mata mahu makan.

* Pilih makanan yang tidak terlalu berminyak. Jika makanan kegemaran anda itu terlalu banyak minyak, ambil sedikit saja. Kalau ada pilihan lain, ambil makanan yang kurang berminyak.

* Minum banyak air masak sebelum makan. Ia akan membuatkan anda berasa kenyang dan membantu mengelakkan anda makan terlalu banyak.

* Isi sebahagian besar pinggan anda dengan sayur-sayuran, sekurang-kurangnya setengah pinggan. Kebanyakan orang kurang makan sayur sepanjang Ramadan dan inilah masa terbaik untuk menambah semula pengambilan serat harian anda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kita mengambil lima hingga sembilan hidangan serat (sayur dan buah) sehari.

* Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga benar-benar lumat sebelum ditelan. Tunggu 20 minit sebelum anda mengambil hidangan kali kedua. Melalui cara ini, anda memberikan peluang perut berkomunikasi dengan otak bagi memberitahu ia sudah penuh atau berasa kenyang.

* Masakan utama pada hari raya biasanya tertumpu kepada lauk pauk yang menggunakan banyak rempah atau santan; dan jarang sekali kita menghidangkan sajian sayur-sayuran. Jika adapun, jumlahnya sangat kecil.

Jika bimbang sajian sayur-sayuran anda tidak 'laku' atau kurang mendapat sambutan, memadailah anda menghidangkan sayur mentah yang boleh dijadikan ulam seperti timun, kacang panjang, kacang botol, kubis, tomato, lobak merah, daun selom atau pegaga.

Fikirkan resipi kreatif bagi menarik minat keluarga terutama anak-anak untuk makan sayur dengan membuat salad sayur bercampur buah. Pilih sayur yang rasanya boleh diterima anak-anak. Bahkan tidak salah jika memasukkan sayur ke dalam masakan lauk pauk anda.

Makan masa musim perayaan seharusnya sama seperti waktu lain. Individu yang ada pemikiran begini tidak akan mengalami masalah terlebih makan pada hari raya kerana mereka tahu bagaimana hendak mengawal diri sendiri.

Walaupun anda sudah berpuasa sebulan, janganlah 'balas dendam' dengan makan banyak kerana sepanjang Ramadan anda juga sudah menikmati pelbagai juadah ketika berbuka. Bagaimanapun bukanlah bermakna anda tidak boleh menikmati hidangan perayaan tetapi biarlah diambil secara bersederhana.



 
Chatroom