Home » » Anorexia Nervosa: Isabelle Caro korban anorexia

Anorexia Nervosa: Isabelle Caro korban anorexia

Seraut wajah cengkung Isabelle Caro, model juga aktres kelahiran Marseille, Perancis ini membuatkan siapa saja yang memandangnya, pasti turut merasai deritanya.

Wanita malang itu tiba-tiba dikenali selepas tampil dalam kempen iklan kontroversi Itali berjudul No Anorexia yang jelas menonjolkan tulang belakang dan pipi cengkungnya seperti hanya dilapisi kulit tipis, dirakam jurugambar, Oliviero Toscani.

Dia bagaimanapun tidak sempat berjuang melawan masalah pemakanannya apabila disahkan meninggal dunia, pada 17 November lalu, di kala usianya 28 tahun.

Caro menderita anorexia nervosa serius sejak usianya 13 tahun dan dia sering berkata masalah itu dihidapi disebabkan `masalah di zaman kanak-kanak'.

"Saya mempunyai kehidupan masa lampau yang cukup rumit, cukup sukar malah cukup menyakitkan kerana berdepan dengan fobia ibu yang tidak mahu melihat saya membesar.

"Dia menghabiskan banyak masanya untuk mengukur ketinggian saya. Lebih teruk, ibu juga tidak mengizinkan saya bergaul bersama rakan di luar rumah kerana menyatakan udara segar boleh menyebabkan kanak-kanak lebih cepat membesar.

"Sebab itu saya hanya berada di dalam rumah. Ia memang cukup traumatik," katanya.

Ketika ditemu bual dalam rancangan televisyen, The Insider, Caro mendedahkan tahap `kebencian' paling teruknya terhadap makanan menyebabkan berat badannya hanya tinggal 25 kilogram (kg) dengan ketinggian 165 meter atau 5 kaki 5 inci.

Kali pertama dimasukkan ke hospital ketika usianya 20 tahun. Empat tahun kemudian iaitu pada 2006, dia mengalami koma di kala beratnya ketika itu hanya tinggal 25 kg saja.

Lebih buruk, doktor meramalkan, dia tidak akan bangun lagi, namun mungkin masih belum tiba masanya lagi untuk ajal menjemput, Caro terus hidup.

Kisah Caro turut disiarkan dalam episod kedua dokumentari televisyen, The Price of Beauty yang mengisahkan bagaimana Jessica Simpson bersama dua rakan baiknya, Ken PavEs dan CaCee Cobb mengembara ke pelosok dunia demi mencari erti sebuah kecantikan sejati.

Untuk episod bersama Caro, Simpson menyelidik punca dan masalah yang membelenggu model fesyen wanita yang cukup obses untuk kelihatan kurus serta ramping.

Ketika diwawancara, Caro menceritakan bagaimana dia boleh menjadi anorexia dan memberikan nasihat supaya gadis lain tidak sama terjebak dengan penderitaan itu.

Simpson bijak mengawal suasana rancangan dengan berkata, "Apa yang anda lakukan sekarang membuatkan anda kelihatan lebih cantik dan saya juga berharap ramai wanita di luar sana mendengar kisah ini malah turut sedar, fizikal diri yang kurus sebenarnya tidak bermakna diri itu cantik.

Rancangan itu disiarkan pada 22 Mac 2010 di Amerika Syarikat dan pada 21 Ogos di Jepun, dua negara yang mempunyai ramai wanita berdepan krisis untuk kurus! Caro dikhabarkan menghembuskan nafas terakhir di Perancis, iaitu selepas dua minggu dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan. Bagaimanapun, punca sebenar kematian tidak diketahui.


Jurulatih lakonannya, Daniele Dubreuil-Prevot memberitahu agensi berita Associated Press, Caro meninggal sejurus selepas pulang menyelesaikan tugasan di Tokyo.

Bagaimanapun, keluarganya hanya melaporkan kematian Caro kepada media sebulan selepas itu, iaitu pada 29 Disember 2010

Lebih tragis, pada 18 Januari lalu, laporan media menyatakan ibu Caro membunuh diri seminggu selepas kematian anaknya itu kerana tidak boleh menerima kenyataan dirinya menjadi penyebab kematian Caro.

Anorexia Nervosa berlaku seawal usia 9 tahun

ANOREXIA Nervosa
merujuk kepada masalah pemakanan dihadapi seorang individu disebabkan takut gemuk yang keterlaluan.

Maksud Anorexia Nervosa dan anorexia sering kali disalahertikan sedangkan ia mempunyai dua makna berbeza, iaitu Anorexia dalam perubatan merujuk kepada hilang selera makan.

Anorexia Nervosa pula adalah implikasi kesihatan lebih serius yang menyelubungi sepanjang hayat penghidap, mustahil untuk diubati sepenuhnya cuma mungkin, boleh dirawat dari semasa ke semasa.

Mengenal masalah anorexia nervosa cukup mudah kerana kebiasaannya penghidap akan menghadapi gangguan imej diri dan berat sebelah apabila mempertimbangkan fizikal diri, makanan dan tabiat pemakanan.

Selalu juga individu berkenaan sentiasa berasa lapar tapi akan menafikan perasaan itu dengan mengambil kuantiti makanan dalam jumlah yang cukup sedikit.

Anorexia sering dihadapi di peringkat remaja perempuan berbanding lelaki iaitu dalam nisbah 10 wanita berbanding seorang lelaki. Malah, kajian terbaru mendapati usia individu yang menghadapi masalah ini semakin menurun daripada purata 13 hingga 17 tahun kepada 9 hingga 12 tahun.

Kesan buruk Anorexia Nervosa

* Mudah muntah akibat ketidakseimbangan mineral daripada makanan.

* Mengalami masalah keguguran rambut yang teruk.

* Kulit kering.

* Kuku rapuh

* Kadar degupan jantung perlahan.

* Tidak datang haid.

* Otot mengecil dan merosot.

* Sendi lemah.

* Kerosakan otak, ginjal, jantung, osteoporosis dan mandul

* Murung.

* Kematian.

Rawatan Aneroxia

* Terapi makanan daripada pakar pemakanan dan ahli psikologi.

* Kembali dengan tabiat makanan normal bagi membekalkan zat dengan makanan sehingga 1,500 kalori sehari.

* Mengambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap.

* Pengambilan pil vitamin.

Sejarah Anorexia Nervosa

Anorexia Nervosa dikatakan wujud bersama keterangan mengenai kepercayaan agama masyarakat Yunani terhadap amalan berpuasa yang berterusan sehingga zaman pertengahan.

Dalam sejarah, ada menyebut mengenai dua individu iaitu Catherine of Siena, ahli falsafah juga biarawati terkenal di kurun ke-13 dan Permaisuri Scotland, Mary antara mereka yang menderita Anorexia Nervosa.



Affiliates

 
Chatroom