Home » » Fakta Ikan Haruan

Fakta Ikan Haruan

Maklumat tentang ikan haruan

IKAN HARUAN

Haruan (Channa striatus), spesies suka menyendiri memilih kawasan berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah dan mudah dikesan terutama di kawasan semak berair cetek.

Ia begitu popular bagi kaum Cina, khususnya untuk perubatan. Popularitinya meningkat naik berikutan hasil penyelidikan mendapati dagingnya mengandungi asid Arachidonis yang dikatakan mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat malah kaya dengan kandungan protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan.


1. Pemakanan

Dikelaskan sebagai karnivor. Makanan utama ialah anakanak ikan kecil, anak katak, udang dan juga cacing. Ketika memburu ia sering menyelinap di celah rumput tebal dengan mendiamkan diri sebelum menyerang mangsa. Paling menarik, haruan hanya memakan ikan hidup.

2. Habitat dan taburan

Keseimbangan pH7 adalah tahap air paling sesuai baginya. Ini bermakna, ia lebih selesa berada pada tahap air sedikit masam bercampur kelat.

Manakala keliatan air ialah 8. Haruan tidak suka berada di kawasan terdedah matahari. Justeru, ia lebih gemar bersembunyi di tempat teduh dan terlindung. Tidak hairan ia lebih selesa berada di kawasan bersuhu sejuk dengan suhu air sekitar 26 darjah celsius. Ia dikatakan mampu membesar sehingga 25 sentimeter.

Di negara Asia taburannya menyeluruh. Ia boleh didapati dengan mudah di India, Pakistan, Bangladesh, Lembangan sungai Mekong dan juga Chao Phraya, Sumatera serta Kepulauan Jawa.

3. Lokasi

Di Pahang, ia banyak menghuni kawasan anak sungai di kawasan pendalaman, terutama di Jerantut, Lipis, Rompin, dan Kuantan.

Selain itu, ia juga mendiami sekitar parit sawah padi di Pahang Tua dan Ganchong, Merchong di Pekan serta Selendang di Rompin.

4. Pemuliharaan sumber

Haruan sering menjadi buruan ramai berikutan ia mempunyai nilai komersial dan khasiat perubatan. Bagi menjamin sumber terus berkekalan, kaedah pemburuan secara berhemah perlu diterapkan.

Kaedah menangkap ikan menggunakan renjatan eletrik, racun, tuba atau bahan letupan adalah dilarang. Kaedah buruk ini menyumbang kepupusan baka ikan itu bahkan memusnahkan ekosistem sama sekali.

5. Resipi

Haruan boleh dimasak pelbagai cara. Bagi orang Melayu, haruan masak lemak cili api bercampur daun kesom begitu digemari.

Bagi masyarakat Cina, sup ikan haruan bercampur rempah perubatan dan haruan kukus amat popular.

Di Filipina sup ikan haruan amat popular. Ia menjadi menu utama di hotel-hotel dan juga kedai makanan sekitar Manila dan juga Binangonan berhampiran tasik Laguna.

Malah, pelanggan boleh memilih haruan hidup mengikut saiz yang kehendaki untuk sajian.

Di Thailand, kek ikan haruan berjaya dikomersialkan. Adunan kek bercampur dengan isi haruan itu mendapat permintaan tinggi penduduk di sana.

Sesetengah pengamal perubatan tradisional juga percaya menelan anak ikan haruan hidup yang masih merah mampu menyembuhkan penyakit selain membantu menguatkan pengaliran darah.

~ Joran



 
Chatroom