Home » » Kanser usus besar

Kanser usus besar

Kanser usus besar sering dipanggil kanser kolon disebabkan kebanyakan orang keliru mengenainya. Namun `colorectal cancer' sebenarnya gabungan dua perkataan yang merujuk kepada kanser yang terjadi di usus besar iaitu kolon atau rektum (usus bawah/bahagian akhir usus besar). Oleh itu, perkataan lebih tepat bagi menerangkan jenis penyakit itu ialah kanser usus besar.

Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman dan mempunyai dua bahagian iaitu usus besar dan usus kecil. Panjang usus besar kira-kira 1.5 meter, berbeza di kalangan setiap individu.

Kanser ini sering dialami penduduk di negara maju dan membangun. Di Malaysia, penyakit ini sering menyerang dan mencatat tangga ketiga jenis kanser yang kerap dihidapi penduduk.

Mengikut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, anggaran 10.4 daripada 100,000 penduduk boleh mendapat kanser usus besar. Di negara ini, tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai risiko sama besar untuk terdedah kepada kanser usus.

Bagaimanapun, kanser ini lebih banyak dihidapi masyarakat Cina. Pengambilan makanan yang hampir sama dengan negara maju dipercayai menjadi punca penyakit ini.

Di negara maju, kekerapan mendapat kanser usus akan meningkat selepas usia 50 tahun tetapi di negara kita, mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah penyakit ini.

Risiko mendapat kanser usus bagi lelaki dan wanita lebih kurang sama tetapi kanser yang menyerang bahagian rektum lebih banyak dihadapi wanita.

Pakar perunding pembedahan Hospital Pantai Klang, Dr Shalizan Torman, berkata kira-kira 80 hingga 85 peratus kanser usus besar disebabkan 'sporadic' iaitu pemakanan dan gaya hidup, manakala 10 hingga 15 peratus berpunca daripada genetik iaitu mereka yang mempunyai pertalian keluarga yang pernah mendapat kanser usus turut terdedah kepada penyakit ini.

Gejala biasanya bergantung kepada bagaimana kanser itu terjadi, antaranya:

1) Keluar darah melalui dubur - bergantung kepada di mana usus itu berada. Jika kanser terjadi di bahagian berdekatan dubur, darah yang keluar berwarna merah terang dan cair. Jika berlaku di sebelah kanan, darah biasanya bercampur najis dan ia berwarna lebih pekat.

2) Perubahan tabiat buang air besar. Kadangkala pesakit mengalami cirit-birit dan diselang seli dengan keadaan normal juga sembelit. Pesakit juga kadangkala tidak puas buang air besar iaitu terasa ingin membuang air besar tetapi tiada apa yang keluar.

3) Sakit perut lebih kepada bahagian kiri abdomen.

4) Berat badan berkurangan tanpa sebab.

5) Muka pucat, kurang darah (anemia), letih dan tidak bermaya.

6) Kurang 10 peratus pesakit mengalami penyumbatan usus.

Diagnosis kanser usus

Beberapa ujian boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada kita menghidap penyakit kanser usus iaitu:

1) Faecal Occilt Blood Test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja iaitu ujian ringkas bagi mengenal pasti tanda awal kehadiran sel darah merah di dalam najis pesakit.

2) Double Contrast Barium Enema iaitu memasukkan sejenis cecair ke dalam dubur pesakit, kemudian diadakan ujian sinar-X untuk mengesan kanser usus.

3) Flexible Sigmoidoscopy iaitu memasukkan alat yang fleksibel dengan di depannya ada kamera melalui dubur untuk meninjau bahagian kiri abdomen (rektum dan sigmoid iaitu bahagian kiri usus besar).

4) Kolonoskopi iaitu alat yang dimasukkan melalui dubur untuk melihat keseluruhan usus besar.

5) Virtual Colonoscopy iaitu menggunakan komputer dan CT Scan. Pesakit berbaring di dalam ruang khusus untuk imbasan dan komputer akan melihat kemungkinan adanya kehadiran kanser. Bagaimanapun, alat ini belum digunakan dengan meluas.

Menurutnya, seseorang itu biasanya tidak berjumpa doktor kerana tidak mempunyai sebarang gejala diserang kanser usus. Ini menyebabkan kebanyakan penyakit kanser usus berada pada tahap akhir dan sukar diselamatkan kerana pesakit tidak mengalami sebarang gejala.

Di negara maju, ujian saringan kanser usus dilakukan ke atas individu yang tidak mempunyai gejala dilakukan bagi mengesan penyakit itu.

Faktor/risiko untuk mendapat kanser usus:

1) Diet tidak seimbang iaitu mengambil makanan tinggi lemak dalam kuantiti tinggi dan kurang mengambil makanan tinggi serat

2) Obesiti

3) Jika dulu pesakit pernah mengalami kanser kolon tetapi sudah menjalani pembedahan membuang kanser berkenaan

4) Pesakit pernah mempunyai polip dalam usus. Bukan semua polip ada risiko untuk mendapat kanser usus. Cuma satu polip iaitu adenomatous dipercayai penyebab kanser.

5) Usia - risiko mendapat kanser usus bertambah seiring peningkatan usia. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah risiko

6) Gaya hidup sedentari iaitu kurang bersenam

Untuk memudahkan rawatan dilakukan, kita perlu mengklasifikasikan pesakit kepada beberapa peringkat yang dipanggil TNM Classification iaitu:

T (Tumor) - bergantung kepada perbezaan saiz tumor di dinding usus.

N (Nodus) - bergantung kepada berapa banyak kelenjar limfa yang diserang kanser.

M (Metastasis) - kanser merebak di bahagian lain, terutama hati dan paru-paru.

Satu cara lagi untuk membahagikan tahap/peringkat kanser ialah Duke's Stage. Usus kita mempunyai tiga lapisan iaitu dalam, tengah (otot) dan lapisan luar.

Duke's A - kanser membabitkan usus dalam saja.

Duke's B - kanser di lapisan luar tanpa pembabitan kelenjar limfa.

Duke's C - kanser di lapisan luar dan kelenjar limfa.

Jika Duke's A, kira-kira 62 hingga 98 peratus pesakit masih hidup dalam tempoh lima tahun. Bagi Duke's B, kira-kira 55 hingga 78 peratus masih bertahan hidup manakala Duke's C, anggaran 29 hingga 49 peratus pesakit masih hidup.

Mengurangkan risiko kanser usus:

1) mengamalkan hidup sihat iaitu pengambilan makanan berkhasiat iaitu melebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan

2) mengurangkan makanan mengandungi lemak haiwan seperti kambing dan lembu

3) mengekalkan berat badan seimbang

4) selalu bersenam

5) tidak merokok

6) tidak mengambil minuman beralkohol

Rawatan

1) Pesakit ditawarkan supaya pembedahan dilakukan di tempat yang diserang kanser. Jika kawasan terbabit ialah usus kanan, ia dibuang dan usus disambung balik.

2) Kemoterapi - dalam kebanyakan kes, pesakit dicadangkan untuk kemoterapi selepas pembedahan bagi membunuh semua sel kanser yang tidak dapat dilihat di mata kasar.

3) Radioterapi - pancaran untuk membunuh sel kanser bagi kanser rektum.

Oleh Norainon Othman



Affiliates

 
Chatroom