Home » » Menghilangkan `black head' di hidung

Menghilangkan `black head' di hidung

Bagaimana hendak menghilangkan `black head' di hidung? Tompok atau bintik kecil ini begitu ketara dan saya rasa malu bila berhadapan dengan kawan-kawan.

-----------

Black heads adalah istilah umum yang biasa digunakan bagi menggambarkan bintik kecil yang timbul pada permukaan kulit muka dengan titik hitam di tengah. Black heads tidak sakit dan mudah dikenal pasti timbul di kawasan hidung atau dahi, pipi serta belakang badan.

Istilah perubatan bagi black heads adalah `open comedones'. Komedon disifatkan sebagai gumpalan kecil di dalam liang pori kulit dan merangkumi sel kulit mati serta bahan berminyak (sebum) dari kelenjar minyak kulit.

Komedon terhasil apabila sel kulit mati dalam liang pori tidak dapat disalurkan keluar ke permukaan kulit. Sebaliknya, ia berkumpul dan bergabung dengan sebum lalu menyebabkan tersumbat di dalam liang pori kulit.

Pada masa sama, bakteria juga banyak berkumpul di dalamnya. Jika bukaan liang pori tertutup, ia dikenali sebagai closed comedones (white heads). Jika bukaan liang pori terbuka, ia dipanggil open comedones (black heads).

Apabila komedon berkenaan pecah di bawah kulit, bakteria akan menyerang tisu kulit sekelilingnya lalu membentuk benjolan kecil berwarna merah yang dipanggil papule atau jerawat.

Faktor yang memudahkan seseorang mendapat open comedones atau black heads adalah faktor keturunan iaitu jenis kulit berminyak dan pengelupasan (exfoliation) kulit kurang sempurna.

Adik harus sedar bahawa penting merawat black heads kerana ia sebahagian daripada jerawat. Antara rawatan yang disyorkan adalah ubatan mengandungi `pengelupasan' sel kulit mati supaya ia terlerai dengan sempurna dan mampu mengurangkan keadaan kulit berminyak.

Bagaimanapun, langkah terbaik ialah berjumpa doktor bagi menjalani rawatan lebih menyeluruh. Ubat yang boleh digunakan merangkumi krim sapuan yang mengandungi bahan Benzil Peroksida atau bahan retinoid.

Krim dan pencuci muka jenis Benzil Peroksida dalam dos rendah boleh dibeli dari kaunter. Tetapi ubat yang mengandungi bahan retinoid mestilah mendapat preskripsi doktor. Krim atau gel yang disyorkan hendaklah disapu ke seluruh muka, bukan di kawasan yang bermasalah saja bagi menghalang pembentukan komedon.

Kesan sampingan yang mungkin terjadi ialah kulit menjadi rengsa, kemerahan dan kering. Jika ini berlaku, disarankan menyapu krim atau losyen pelembap pada waktu siang atau mengurangkan kekerapan penggunaan ubat seperti selang sehari dan sebagainya.

Kesan sampingan ini selalunya hilang selepas dua minggu apabila kulit dapat beradaptasi dengan ubat.

Sejenis peralatan yang dipanggil comedone extractor boleh juga digunakan. Cara begini hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran saja kerana ia boleh memudaratkan jika terjadi kecederaan kepada kulit. Berhati-hatilah dalam memilih salun kecantikan jika ingin membuang black heads melalui kaedah ini.

Adik disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik kafe@ TEEN, LPPKN, bagi mengatasi masalah ini. Rawatan untuk masalah kulit terutama jerawat boleh didapati di sini dengan percuma.

Selain daripada masalah kulit, adik juga dijemput untuk datang ke pusat remaja ini bagi menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh teen educator iaitu petugas di pusat ini. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan ke talian 03-26937555 atau e-mel kepada kafeteen@ lppkn.gov.my.

Panduan Atasi Jerawat
Panduan Atasi Jerawat. Info lanjut, KLIK SINI



Affiliates

 
Chatroom