Home » » Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan bariatrik

Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan bariatrik

Memiliki bentuk tubuh badan sempurna sememangnya menjadi idaman kebanyakan individu. Tidak kira jantina, usia mahupun bangsa, semuanya mengimpikan kesempurnaan fizikal yang cantik dan `mantap'.

Namun bukan semua bertuah mendapat `kesempurnaan' bentuk badan yang diidamkan. Ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit, malah tidak kurang juga ada menahan lapar hingga memudaratkan diri sendiri semata-mata mahu mendapat tubuh idaman.

Istilah obesiti, gemuk, berat badan berlebihan dan gemuk melampau. Hingga kini masih ada yang keliru dengan istilah digunakan. Ramai beranggapan istilah berkenaan sama, tapi sebenarnya ia membawa maksud dan implikasi berbeza.

Perbezaan istilah ini diperjelaskan menerusi kiraan unit kadar khusus untuk mengklasifikasikan berat tubuh seseorang itu tergolong dalam kategori tertentu.

Di seluruh dunia, berat tubuh seseorang dikira menggunakan ukuran Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI).

BMI adalah cara kiraan paling mudah di mana berat badan dalam kilogram dibahagi kepada tinggi individu dalam unit meter kuasa dua. Ini dilakukan bertujuan mendapatkan berat badan mengikut kesesuaian ketinggiannya.

Misalnya, jika seseorang dengan berat badan 150 kilogram (kg) tetapi fizikalnya tinggi, jisim itu bersesuaian dengan tubuh, sebaliknya jika individu itu 80 kg dan rendah, berat itu akan menimbulkan masalah kesihatan buatnya.

Bagi orang Asia, kategori unit berbeza dengan kategori yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memiliki rangka tubuh lebih kecil berbanding orang Barat.

Perunding Pembedahan Am, Bariatrik dan Pembedahan Kurang Invasif, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Jasmi Ali Yaakub berkata, ramai yang masih keliru dengan istilah liposuction dan pembedahan obesiti melampau.

"Ramai yang mahu kurus tapi tidak tahu apa perlu dilakukan. Ingin saya jelaskan, liposuction atau dalam bahasa pasarnya 'sedut lemak' adalah proses menghapuskan lemak di tempat tidak menyenangkan, misalnya paha, lengan, punggung dan perut dari lapisan bawah kulit.

"Manakala pembedahan obesiti melampau pula mesti dilakukan dengan membuat kiraan BMI terlebih dulu. Biasanya kadar BMI orang Asia lebih 35 ke atas akan disyorkan membuat pembedahan obesiti melampau," katanya ketika ditemui di Hospital Ampang Puteri, Selangor.

Perbezaan antara liposuction dan pembedahan obesiti melampau adalah liposuction pembedahan untuk mencantikkan fizikal seseorang, manakala pembedahan obesiti melampau adalah untuk kesihatan.

Menurutnya, obesiti perlu dirawat kerana banyak penyelidikan mendapati rawatan itu mampu menurunkan berat badan yang tinggi pada kadar 85 hingga 90 peratus.

Katanya, penyakit kronik dihidapi mungkin sembuh 100 peratus atau dapat dikawal, khususnya kencing manis mellitus (jenis 2) dan darah tinggi disebabkan obesiti.

Bagi pakar perubatan, rawatan obesiti perlu kerana ia akan membawa faedah baik kepada pesakit dalam jangka panjang.

Faedah sampingan yang dinikmati apabila pesakit semakin kurus ialah berasa semakin sihat dan secara kosmetiknya kelihatan menarik.

"Perlu diingatkan, pembedahan ini untuk kesihatan dan bukan kosmetik. Ia hanya disyorkan kepada mereka yang benar-benar mempunyai masalah berat badan melampau, misalnya yang memang sudah tidak boleh menguruskan badan meskipun dengan berdiet atau bersenam.

"Kesan daripada pembedahan ini adalah ia mengehadkan kuantiti makanan yang biasa diambil pesakit.

"Misalnya, jika sebelum ini pesakit mengambil satu hingga dua pinggan penuh nasi, namun selepas pembedahan mereka hanya mengambil makanan dalam kuantiti satu hingga dua sudu," katanya.

Beliau berkata, selepas pembedahan, doktor akan bekerjasama dengan pakar pemakanan bagi memantau kesihatan pesakit.

Uniknya, mereka tidak perlu menjalani pantang larang mengenai makanan dan boleh mengambil apa saja, namun dalam kuantiti sikit.

Pesakit juga secara semula jadi tidak akan mengambil makanan dalam kuantiti banyak kerana kurang 'nafsu' dan jika diambil juga akan menyebabkan mereka muntah dan senak perut.

Selepas setahun, pesakit yang mempunyai berat badan melampau akan disyorkan membuat pembedahan kosmetik bagi membuang lebihan kulit menggeleber akibat pembedahan dilakukan bertujuan mencantikkan struktur fizikal pesakit.

Bagi terus mengekalkan kesihatan, pesakit diminta melakukan senaman sebagai rutin harian dan menjaga pemakanan.

Bagi Lihana Abu Bakar, 52, obesiti dialami menyebabkan dia rendah diri dan berasa tidak selesa. Dengan berat 95 kilogram menyukarkan dia mencari pakaian dan sukar untuk bergaya.

"Sebenarnya saya mempunyai genetik obesiti dalam keluarga. Kami suka masak dan suka makan. Tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi, kami makan asal perut kenyang dan senang hati.

"Hinggalah suatu hari saya diserang kencing manis. Apabila berjumpa doktor, mereka menyarankan supaya menurunkan berat badan disebabkan ia punca utama kepada penyakit dialami, selain darah tinggi dan sakit jantung," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurut Lihana, akibat obesiti, dia turut mengalami masalah sakit lutut dan sukar berdiri, ditambah usia semakin meningkat menyebabkan tulang semakin rapuh dan selalu penat.

"Sudah lama saya berniat melakukan pembedahan buang lemak ini, namun ia tertangguh kerana faktor tertentu. Pun begitu, selepas terjatuh dan terseliuh, saya tekad untuk melakukan pembedahan berkenaan.

"Selepas berjumpa pakar dan melakukan ujian BMI, doktor mengesyorkan saya melakukan Sleeve Gastractomy atau kaedah bariatrik kedua yang menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif," katanya.

Selepas melakukan pembedahan, Lihana berasa lebih sihat, malah boleh memakai apa saja pakaian kegemaran.

Berat yang dulunya 95 kilogram kini turun kepada 74 kilogram dalam tempoh empat bulan.

Selain itu, dia menjaga pemakanan dengan tidak mengambil karbohidrat, malah menggunakan minyak jagung atau minyak zaitun. Senaman pula menjadi teman setianya setiap hari.

"Kini saya berasa lebih sihat dan yakin. Biarpun mengeluarkan kos tinggi, saya berpuas hati dengan berat badan sekarang. Apa guna banyak wang jika badan tidak sihat.

"Bagi saya, wang boleh dicari. Paling penting, badan sihat dan hidup gembira bersama keluarga, apatah lagi dalam usia sebegini.

"Daripada mengamalkan diet dan beli ubat langsing yang tidak menunjukkan kesan, lebih baik pergi berjumpa pakar dan dapatkan nasihat sebaik-baiknya," katanya.

Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan bariatrik

* Menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif

* Memberikan kadar penyembuhan yang cepat dan selamat

* Secara keseluruhan, ada tiga kaedah pembedahan bariatrik:

1. Laparoskopi Gastric Bending

2. Sleeve Gastractomy

3. Laparoskopi Pintasan Usus atau pintasan perut.

Kesan selepas pembedahan bariatrik

* Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan

* Kalau makan banyak, akan muntah

* Murung atau sedih sebab tidak boleh makan banyak

* Letih

* Mula seronok bila berat badan semakin menyusut

* Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur

* Dalam tempoh empat hingga lima minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal

* Anggaran kos pembedahan RM35,000 hingga RM40,000

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad



Affiliates

 
Chatroom