Home » » Ulasan dan kritikan filem Papa I Love You

Ulasan dan kritikan filem Papa I Love You

Ulasan filem Papa I Love You oleh Syazwan Zakariah

Saya pernah memuji filem pertama arahan Hashim Rejab, Sekali Lagi (2011) sebagai antara penceritaan terbaik yang pernah diterbitkan Metrowealth Pictures. Selang enam bulan selepas ia ditayangkan, Hashim muncul dengan sebuah lagi naskhah kekeluargaan bertajuk Papa I Love You.

Sejujurnya, saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap filem ini. Berdasarkan treler, saya merasakan Hashim sekadar mengulang formula yang sama seperti Sekali Lagi dan drama bersiri Adamaya (2010).

Ulasan filem Papa I Love You

Maksudnya, ini sebuah lagi produk yang ingin mengeksploitasi keserasian pelakon cilik Mia Sara Nasuha dan Lisa Surihani. Kalau dulu hubungan mereka ialah anak dan ibu, bezanya kali ini sebagai orang asing yang dipertemukan melalui takdir.

Papa I Love You mengisahkan Baha, seorang bapa tunggal yang selama ini hanya mengharapkan arwah isterinya untuk menanggung keluarga. Selepas dihalau dari rumah sewa dan keretanya ditarik, Baha dan anaknya, Mia terpaksa bermalam di taman permainan berdekatan dengan sekolah asuhan Mia.

Keakraban Mia dengan Elly yang dipanggilnya Auntie, membuka ruang untuk mereka menumpang di rumah wanita penjual gula-gula itu. Baha mempelajari Elly sebenarnya datang dari keluarga berada, tetapi nekad untuk berdikari kerana membenci bapanya, Datuk Kudin.

Mengitar semula set pelakon yang sama dengan jalan cerita hampir serupa bukanlah perkara baru dalam sinema Melayu, lebih-lebih lagi jika ia terbukti menguntungkan.

Untuk berlaku lebih adil, mari bandingkan senario ini dengan industri perfileman yang sangat dekat dengan kita. Di Hollywood sekali pun, kita sering disogokkan dengan wajah yang serupa, misalnya Katherine Heigl yang membintangi begitu banyak filem komedi romantik dalam setahun.

Dalam erti kata lain, sesetengah penonton tidak begitu kisah dengan stereotyping. Mereka gemar menyaksikan filem yang menimbulkan rasa selesa dan gembira, walaupun subjek dan barisan pelakonnya berulang-ulang.

Begitupun, penerbit dan pengarah tidak boleh mengambil mudah. Mereka tetap bertanggungjawab untuk 'menghormati' wang tiket yang dibayar dengan mempersembahkan cerita yang baik, tidak membosankan dan disokong lakonan yang meyakinkan; di samping gambar yang cantik dan skor muzik yang tepat.

Sayangnya, Papa I Love You tidak menepati ciri-ciri yang dinyatakan.

Bermula babak pertama, penonton disajikan dengan lawak dangkal apabila Baha dipaksa untuk meninggalkan Mia dipelihara datuk dan neneknya. Saya faham jika Hashim terikat dengan label komedi, tetapi jenaka yang dipersembahkan kurang citarasa.

Mereka membincangkan soal masa depan Mia, tetapi kelakuan yang ditampilkan seperti berbaring di atas jalan, bukanlah perkara yang menggeletek hati. Saya percaya ada cara lain untuk membuatkan audiens ketawa menerusi dialog yang lebih bijak dan tidak kepada aksi yang bukan-bukan.

Subjek perhubungan di antara bapa dan anak mudah untuk menyentuh perasaan dan sangat universal. Hashim tidak memanipulasikan situasi ini sepenuhnya, membuatkan penonton berasa kosong dan dingin melihat telatah Mia dan Baha; begitu juga di antara Elly dan bapanya, Datuk Kudin.

Hashim tidak membimbing lakonan Zalif Sidek yang menjadi penggerak utama filem ini. Sebagai orang baru, Zalif nampak ketara mencuba sedaya upaya mewarnakan watak Baha, tetapi tidak kesampaian. Dia gagal mencetuskan rasa simpati penonton, sebaliknya lebih dilihat sebagai karakter yang lemah.

Keserasian Zalif dan Mia tidak cukup kuat, malah kebolehan Mia berlakon juga sudah tidak menjadi faktor-x untuk melembutkan hati penonton. Kita cukup maklum Mia memang berbakat, namun apa yang ditampilkan sekadar satu pengulangan dan tidak lagi comel atau mengagumkan seperti dalam Sekali Lagi.

Saya juga tidak percaya dengan cinta kilat yang terjalin di antara Baha dan Elly. Benar, cinta adalah perasaan yang tidak boleh dijangka, tetapi sekurang-kurangnya berikan penonton alasan kukuh mengapa Elly tiba-tiba menyukai Baha, sedangkan sebelum itu Elly mengakui sekadar kasihan melihat Mia.

Hashim dengan mudahnya menggambarkan mereka sudah jatuh cinta apabila tangan Baha tersentuh tangan Elly. Adegan itu kemudiannya menjadi slapstik, apabila Baha dan Elly terlalu khayal sehingga tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Saya sangkakan mereka bermimpi, tetapi itu memang babak nyata.

Pelbagai konflik dan kesukaran yang ditampilkan sepanjang filem ini diselesaikan dengan mudah menerusi satu babak saja. Baha akhirnya mendapat tawaran kerja apabila menerima sepucuk surat, diikuti dengan kehadiran Datuk Kudin yang berbaju melayu lengkap kopiah sebagai tanda sudah insaf.

Lisa Surihani baru saja muncul dengan lakonan yang baik dalam Ombak Rindu, malah tidak mengecewakan dalam Sekali Lagi. Namun, Papa I Love You tidak mengukuhkan profilnya sebagai pelakon berbakat, malah mungkin membuatkan peminat tertanya - mengapa Lisa menerima tawaran ini?

Saya pernah memuji filem pertama arahan Hashim dan saya hanya mahu mengingati filem itu saja.



Affiliates

 
Chatroom