Home » » Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) : 5.8 juta berisiko strok

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) : 5.8 juta berisiko strok

5.8 juta berisiko strok
Keengganan melakukan pemeriksaan doktor secara berkala menyebabkan kira-kira 3.9 juta rakyat negara ini tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi atau darah tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata, jumlah itu membimbangkan kerana darah tinggi adalah `pembunuh senyap' yang boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.

Beliau berkata, jumlah itu adalah dua pertiga daripada kira-kira 5.8 juta rakyat negara ini berusia lebih 30 tahun yang dikesan menghidap hipertensi hasil keputusan awal Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011.

"Kajian juga menunjukkan hanya kira-kira 1.9 juta daripada jumlah itu tahu mereka menghidap darah tinggi dan menjalani rawatan berterusan. Daripada jumlah ini pula, hanya 27 peratus berjaya mencapai tahap tekanan darah 140/90.

"Kita bimbang dengan jumlah 3.9 juta ini dan tidak tahu siapa mereka. Jadi, saya nasihatkan rakyat negara ini yang berusia lebih 30 tahun segera melakukan pemeriksaan kesihatan jika sebelum ini tidak pernah melakukannya," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Saintifik Tahunan Kesembilan Persatuan Hipertensi Malaysia, di sini, semalam.

Dr Hassan berkata, kajian juga menunjukkan masih ramai rakyat negara ini belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

"Penghidap hipertensi tidak tahu mereka dijangkiti penyakit itu kerana ia tidak memiliki sebarang tanda. Sebab itu, orang ramai terutama berusia lebih 30 tahun perlu kerap menjalani ujian saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali," katanya.

Beliau berkata, negara ini mempunyai 813 klinik kesihatan dan lebih 6,000 klinik swasta menunjukkan alasan sukar mendapatkan rawatan tidak boleh diambil kira. Ia tidak termasuk sebanyak 150 Klinik 1Malaysia yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum.

Selain itu, orang ramai digalakkan menjalani kehidupan sihat dengan melakukan senaman dan mengawal pemakanan bagi mengelak risiko dijangkiti penyakit berkenaan.

"Bagi individu yang mempunyai faktor risiko seperti sejarah anggota keluarga menghidap hipertensi, gaya hidup tidak aktif dan wanita yang mempunyai sejarah diabetes ketika hamil, perlu menjalani ujian saringan seawal usia 20 tahun," katanya.

Menurutnya, bagi menjalani kehidupan sihat, orang ramai digalakkan melakukan senaman dengan berjalan kira-kira 10,000 tapak sehari dan hanya mengambil 2,000 kalori sehari.



Affiliates

 
Chatroom