Home » » Pakai susuk jalan singkat untuk kelihatan ayu

Pakai susuk jalan singkat untuk kelihatan ayu

Susuk jalan singkat untuk kelihatan ayu
Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Dalam konteks kecantikan diri, masih ada segelintir wanita yang ingin mencari kesempurnaan dengan membuat `transformasi' terhadap wajah mereka.

Bagi merealiasikan impian memiliki wajah yang cantik dan menawan sepanjang masa, wanita sanggup menghabiskan ribuan ringgit dengan menjalani rawatan sama ada moden atau tradisional.

Malah, ada di kalangan wanita terutama mereka yang sudah agak berumur, sanggup mendapatkan khidmat bomoh sehingga melanggar perintah agama dengan memakai susuk.

Jelas, amalan susuk sudah sinonim dalam masyarakat Melayu sejak sekian lama bahkan ada segelintir yang masih mengamalkannya sehingga hari ini.

Susuk merujuk kepada amalan memasukkan benda asing ke dalam tubuh badan, dilakukan bagi tujuan kecantikan, awet muda, pelaris, pengasih dan bermacam-macam lagi yang dihajati penggunanya.

Ada pelbagai jenis susuk yang didakwa mempunyai kelebihan tersendiri seperti Logam Susuk Emas, Susuk Perak, Susuk Besi, Susuk Raksa, Galian, Susuk Berlian, Organik dan Susuk Susu.

Pemakai susuk biasanya mempunyai beberapa pantang larang seperti tidak boleh memakan beberapa bahan tertentu seperti pisang tanduk dan pisang abu serta melintas di bawah penyidai kain dan pelbagai lagi bergantung kepada jenis susuk yang dipakai.

Justeru, mereka perlu mematuhi pantang larang berkenaan dan sekiranya pantang larang itu dilanggar, susuk itu akan keluar dengan sendiri dan menjadi `tawar'.

Jika seseorang itu ingin membuang susuk yang dipakai, ia sebaik-baiknya dibuang dukun yang memakaikannya, atau melalui cara yang diajari.

Sekiranya dukun berkenaan meninggal dunia dan cara membuang susuk tidak dipelajari, si pemakai dikatakan menghadapi kesukaran ketika meninggal dunia.

Kebiasaannya, pemakai susuk akan lebih yakin kerana menganggap ia akan memberi kelebihan seperti menjadi bertambah cantik, berani, semakin dikasih dan semakin manis.

Tidak hairanlah, jika pemakaian susuk dianggap sebagai satu cara meningkatkan keyakinan diri seseorang walaupun pada dasarnya, perubahan fizikal tidak berlaku walaupun memakai susuk.

Rawatan kecantikan yang dilakukan bertujuan mengubah kejadian yang sudah ditetapkan Allah adalah haram di sisi Islam, malah ramai yang sedia maklum mengenai hukum itu kerana ia jelas dan sudah berulang kali diperkatakan.

Atas alasan serupa, mengubah keadaan wajah untuk kelihatan cantik dan muda, pemakaian susuk atau `susuk moden' diharamkan.

Susuk juga diharamkan kerana dikhuatiri tindakan memasukkan benda asing ke dalam tubuh badan boleh mendatangkan mudarat. Selain itu, proses pemakaiannya membabitkan unsur syirik seperti jampi dan mantera.

Namun, sejauh manakah susuk boleh memberikan kepuasan kepada segelintir manusia yang berkenan dengan kecantikan yang dianugerahkan sehingga sanggup melanggar batasan agama.

Sebenarnya, ada pelbagai alternatif untuk kelihatan lebih cantik sama ada melalui rawatan moden atau tradisional yang tidak bertentangan dengan ajaran agama.

Contohnya, rawatan antipenuaan untuk menangani kulit yang sudah kendur, mengurangkan kedutan dan garis halus di keliling mata serta rawatan awet muda.

Kesimpulannya, masih banyak kaedah rawatan yang boleh digunakan untuk kelihatan cantik dan menawan selain menggunakan susuk.

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud



Affiliates

 
Chatroom