Home » » Panduan memilih minyak wangi

Panduan memilih minyak wangi

Panduan memilih minyak wangi

Baik lelaki mahupun wanita, masalah yang sering dihadapi mereka ialah kesukaran memilih minyak wangi sesuai disebabkan kemunculan pelbagai jenis aroma di pasaran dalam perisa berbeza.

Ini ditambah pula bentuk botol yang menawan sehingga menyebabkan pelanggan terkeliru mengenai wangian yang sesuai dengan personaliti dan bau badan mereka. Terdapat beberapa garis panduan dalam memilih minyak wangi antaranya:

Kulit

Setiap minyak wangi akan mencetuskan aroma berbeza apabila terkena kulit. Oleh itu, pastikan kita mencuba dulu dengan membuat semburan pada kulit dan bukannya baju bagi memastikan aroma yang sesuai dengan tubuh. Jangan hanya membeli disebabkan terpengaruh dengan jenama sebelum benar-benar yakin wangian itu sesuai dengan diri kita.

Bau

Pastikan kita memilih minyak wangi beraroma segar yang mempunyai bau mengesankan. Ketika membeli, pastikan kita meminta pandangan rakan (sebaik-baiknya wanita) mengenai minyak wangi sesuai. Biasanya rakan akan memberikan pandangan berbeza mengenai apa yang sesuai dengan personaliti diri kita.

Bahan dan perisa

Minyak wangi boleh dipilih berdasarkan bahan serta perisa digunakan. Misalnya, minyak wangi berperisa kayu, buah-buahan, bunga-bungaan, lautan, sayur-sayuran dan wangian Timur. Biasanya, setiap wangian mempunyai pengkelasan berbeza sama ada sesuai untuk lelaki atau wanita. Bagaimanapun, pilih haruman yang sesuai dengan personaliti dan gaya hidup kita.

Iklim dan musim

Memilih minyak wangi juga harus mengambil kira iklim dan musim. Minyak wangi yang baik untuk musim sejuk tidak semestinya baik untuk musim panas. Oleh itu, amat penting memilih minyak wangi sesuai bukan saja pada kulit tapi iklim dan musim.

Selain itu, pilih haruman mengikut masa serta perayaan yang akan diraikan. Sebagai contoh, ada minyak wangi sesuai ketika menghadiri majlis hari jadi tetapi tidak sesuai dibawa ke bilik mesyuarat.

Bagi mengekalkan ketahanan aroma wangian yang dipakai, terdapat beberapa teknik yang boleh diamalkan. Sebaiknya letakkan minyak wangi pada nadi, pergelangan tangan, siku dan belakang telinga.

Menyembur minyak wangi pada belahan coli juga dikatakan mampu menyimpan aroma dan dilepaskan secara berterusan untuk kekal lebih lama.

Wangian untuk pasangan

* Untuk pasangan romantik

Biasanya setiap ulang tahun kelahiran atau pertemuan akan menjadi detik terindah pasangan. Haruman yang sesuai pastinya mempunyai aroma yang kuat bagi membangkitkan emosi cinta dan sayang terhadap pasangan.

Untuk lelaki, pilihan jenis kayu yang agak keras manakala wanita lebih kepada bunga-bungaan lembut membelai jiwa.

* Santai di rumah

Kebiasaannya pasangan ini gemar bersantai dengan menonton televisyen di rumah. Bagi mereka, rumah adalah syurga dan kurang selesa dalam keadaan bersesak di pusat beli-belah atau restoran mewah, namun masih mahu meraikan hari bahagia dengan tenang di rumah.

Wangian yang sesuai adalah bersifat hangat untuk lelaki manakala wanita sesuai dengan aroma buah-buahan dan sedikit bunga-bungaan bagi menstabilkan paduan wangian antara pasangan.

* Pasangan berhibur

Bagi mereka yang aktif dan gemar berhibur, wangian sesuai bersifat bunga-bungaan Oriental yang lembut tetapi bersifat agak keras.

* Pasangan sukan

Bagi pasangan yang gemar bersukan dan melakukan aktiviti lasak, aroma segar seperti bau lautan atau bunga-bungaan menjadi pilihan bagi memberikan tenaga serta rasa selesa selepas melakukan aktiviti lasak.





Affiliates

 
Chatroom