Home » » Wajarkah graduan/siswazah kita menganggur?

Wajarkah graduan/siswazah kita menganggur?

Telah banyak universiti tempatan membuat kajian mengenai kebolehpasaran siswazah masing-masing saban tahun, malah Kementerian Pengajian Tinggi turut sama menjalankan kajian seumpama itu.

Hasil kajian berkenaan menunjukkan sebahagian besar graduan masing-masing berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selain ramai graduan memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka.

Begitu pun, tidak dapat dinafi kan bahawa masih ramai yang tidak mendapat pekerjaan dan masih terus mencari di pasaran pekerjaan. Ada yang masih belum mendapat pekerjaan tetap walaupun telah dua tahun bergraduasi. Kita amat bersimpati dengan mereka kerana walaupun telah banyak kali mencuba, tetapi masih gagal.

Berdasarkan kajian, ada pelbagai faktor yang menyebabkan graduan gagal mendapatkan pekerjaan contohnya kelulusan yang tidak sesuai, tiada pengalaman kerja atau sikap memilih kerja lantaran itu masih menganggur. Ada dalam kalangan mereka yang gagal kerana permohonan hanya berlandaskan kelayakan dan kemahiran semata-mata, dan ini menambahkan bilangan penganggur di negara ini.

Hakikatnya, peluang pekerjaan yang ada telah direbut oleh warga asing khususnya dalam perkhidmatan hospitaliti, pelancongan, penyediaan dan penjualan makanan. Mereka yang menganggur bukan saja dipandang negatif oleh masyarakat, malah memberi kesan negatif kepada individu berkenaan apatah memiliki ijazah atau diploma. Mereka yang mengalami situasi ini pastinya berasa tertekan.

Persoalannya, adakah kadar pengangguran di negara ini dalam keadaan kritikal lantaran ramai yang masih tidak memperoleh pekerjaan termasuk siswazah? Atau wajarkah lepasan universiti terus menganggur?

Jawapannya tidak. Sejak 2004, kadar pengangguran di negara ini dianggap masih terkawal sekitar 3.3 hingga 3.5 peratus (Jabatan Statistik Malaysia). Menurut Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kadar pengangguran pada 2008 ialah 3.3 peratus dan tidak banyak berubah berbanding 2007 iaitu 3.2 peratus. Sementara kadar pengangguran pada 2010 ialah pada paras 3.6 peratus, tetapi menurun kepada 3.2 peratus pada 2011.

Negara bertuah ini juga mempunyai kadar pengangguran yang begitu rendah berbanding beberapa negara ASEAN dan Asia lain. Sekadar mengambil beberapa contoh, pada 2011 kadar pengangguran di Indonesia sekitar 6.56 peratus dan Filipina (7.2 peratus), manakala China (4.1 peratus).

Keadaan di negara ini jauh lebih baik berbanding kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat yang mempunyai kadar pengangguran sebanyak 8.5 peratus pada penghujung 2011. Lebih mengejutkan data yang dikeluarkan oleh Eurostat, Pejabat Perangkaan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan kadar pengangguran di 17 negara kesatuan itu pada tahun lalu agak tinggi iaitu 10.4 peratus.

Pengangguran di Sepanyol lebih membimbangkan dengan 22.9 peratus, dengan kadar pengangguran dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 25 tahun ialah 48.7 peratus di negara itu.

Sebaliknya, dalam tempoh RMK-10 (2011-2015), guna tenaga di Malaysia dijangka berkembang sebanyak 2.4 peratus setahun kepada 3.2 juta pekerja, iaitu peningkatan sebanyak 1.4 juta peluang pekerjaan, terutama dalam sektor perkhidmatan. Jumlah ini lebih tinggi berbanding 0.9 juta pekerjaan yang diwujudkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Lantaran itu, dalam tempoh RMK-10 ekonomi dijangka kekal dalam guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran dianggar 3.1 peratus pada 2015. Ini membuktikan bahawa peluang untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini amat tinggi asalkan seseorang itu rajin dan sanggup berusaha untuk menerokainya terutama di sektor swasta. Atau, berani meneroka sebagai usahawan kerana peluang perniagaan terbuka luas di negara ini.

Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa terdapat rungutan dan kebimbangan rakyat yang belum berjaya dalam mendapatkan kerja dianggap setimpal dengan taraf pendidikan mereka.

Dalam hal ini, kerajaan dilihat terus memainkan peranannya sebagai pembimbing dan pemandu ekonomi yang sentiasa mementingkan keadilan sosial dengan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk untuk graduan. Melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada 2010 dijangkakan akan menjana sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020.

Pelajar yang bakal meninggalkan universiti atau institusi pengajian tinggi dan memasuki pasaran pekerjaan perlu berusaha sendiri membentuk diri supaya menjadi `winnable candidate' yang mampu menarik minat majikan, boleh bekerja dan mahu diambil bekerja bagi mengelak daripada terus menganggur.

Perbandingan kadar pengangguran di Malaysia dan beberapa negara pada 2011

Negara - Kadar pengangguran (Peratus)

Malaysia - 3.2

Indonesia - 6.56

Filipina - 7.2

China - 4.1

Australia - 5.3

New Zealand - 6.6

Amerika Syarikat - 8.5

Sepanyol - 22.9

Sumber: Rancangan Malaysia ke-10

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Arifin
* Penulis ialah Prof Madya, Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.



 
Chatroom