Home » » Bila dapat suami tua

Bila dapat suami tua

Mengenali cinta membuatkan sesiapa saja menjadi buta. Namun, harapan terbina daripada ikatan hati dua insan tetap sama, iaitu kerukunan dan kebahagiaan sehingga ke hujung nyawa.

Cinta itu buta
Tak mengenal siapa
Tak mengira usia
Asalkan bahagia


Kajian dilakukan terhadap 1,074 pasangan pelbagai latar belakang, usia dan pendidikan di Switzerland serta Amerika Syarikat selama lima tahun mendapati hubungan membabitkan lelaki berusia dengan isteri yang lebih bijak membuatkan hubungan lebih utuh.

Data sama turut menjelaskan, peluang memiliki hubungan perkahwinan berkekalan menjadi enam kali lebih tinggi jika si isteri berusia lima tahun lebih muda atau lebih daripada suami.

Bagaimanapun, latar belakang demografi masyarakat Barat berbeza berbanding Timur dan akui penceramah bebas, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah keputusan kajian itu sebenarnya turut dipengaruhi sifat budiman dimiliki kebanyakan lelaki Barat.

Dalam kalangan wanita tempatan juga, suami tua, berusia atau matang sebenarnya menjadi kriteria wajib bagi kebanyakan mereka tidak kira sama ada bezanya setahun atau 20 tahun, atas pelbagai alasan berbeza.

Lihat saja contoh sedia ada. Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa bersama Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Datin Zizie Ezette. Penyanyi Shidee pula kahwini dara berusia 28 tahun muda darinya. Begitu juga Imuda, yang berkahwin pada usia 50 dengan wanita berusia 28 tahun.

Ada mengakui memilih atas dasar cinta atau kematangan fikiran tapi ramai akur, lelaki yang lebih berusia kebanyakannya lebih stabil dari segi kedudukan kewangan dan kehidupan.

Jelas Mohd Fadzilah, beliau melihat dua situasi wujud daripada perkataan `suamiku tua' iaitu sama ada lelaki itu duda atau wanita itu bukan `isteri tunggal'.

"Tapi saya akui, ramai wanita terpikat untuk memilih pasangan yang lebih tua disebabkan tiga nilai utama dimiliki lelaki berkenaan. Lelaki itu pengasih, penyayang dan juga penyabar.

"Namun, dalam tiga kualiti yang dicari wanita itu, ada juga kelemahan wujud apabila memilih lelaki tua kerana mereka ini kebanyakannya sukar difahami, sensitif dan payah hendak diubah perangainya.

"Kadangkala, lelaki yang berusia ini mempunyai keluarga dulu. Mereka punya anak juga cucu dan perkara itu sering menjadi duri dalam hubungan sehingga akhirnya, hubungan terjejas lalu mengundang perpisahan," katanya

Mohd Fadzilah berkata, petua mudah perlu diikuti isteri yang mengahwini suami tua adalah bersikap lebih tua daripada usia supaya perbezaan pemikiran tidak menjadi terlalu ketara.

"Misalnya suami umur 50 tahun dan isteri pula 25 tahun jadi, masing-masing kena main peranan dan bertindak mengubah tingkah laku di mana suami menjadi seperti orang berusia 40 tahun, isteri pula berubah laku menjadi wanita usia 35 tahun," katanya.

Tambahnya, memilih pasangan juga perlu menggunakan konsep sekufu dan ia membabitkan soal usia, kecantikan, kekayaan, latar belakang serta pendidikan supaya tidak timbul konflik dalam hubungan.

"Sekufu dari segi usia sama erti dengan sebaya tapi lelaki cepat matang berbanding wanita jadi, lagi cantik kalau wanita itu memilih lelaki yang usianya lebih tua antara lima hingga 10 tahun berbanding dirinya.

"Begitu juga dengan tahap pendidikan kerana orang berusia, percakapannya lebih kepada isu serius yang memerlukan pendapat. Kalau suami Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tapi isteri lulusan sekolah Penilaian Menengah Rendah (PMR), pun payah juga," katanya.

Rentak tidak serasi

ANI, 29, (bukan nama sebenar) mengenali bekas suami, Imran sejak di bangku sekolah tanpa menaruh sebarang rasa kerana lelaki berjarak umur lebih 17 tahun dengannya itu sudah berkeluarga.

"Sehinggalah satu masa, dia berpisah dengan isterinya dan terus masuk meminang saya melalui keluarga. Keluarga pula mendesak supaya saya mengahwininya," katanya yang ketika itu baru berusia 19 tahun.

Sepanjang hidup sebagai suami isteri, Ani mengakui, Imran menjaga dirinya dengan baik malah pada awal perkahwinan, bekas suaminya cukup bersabar dengan dirinya yang berhati muda dan selalu memberontak.

"Tapi saya lihat apa saja yang dilakukan serba tidak kena di mata saya sehingga akhirnya saya minta ruang untuk berfikir tapi dia tetap dengan egonya untuk tidak melepaskan saya sama sekali.

"Bagaimanapun, hubungan kami cuma bertahan sekitar enam hingga lapan bulan saja kerana akhirnya dia melepaskan saya secara baik tapi dalam terpaksa malah sepanjang tempoh itu pun, kami tidak pernah tinggal bersama," katanya.

Menurut Ani, berkahwin dengan lelaki berusia umpama trend ketika ini mungkin kerana wanita sukakan lelaki matang dan lebih penting, menjamin kehidupan.

"Bagi saya, jika mahukan hubungan berkekalan, lelaki berusia yang mengahwini isteri muda perlu banyak bersabar tidak kiralah sama ada hubungan itu berlandaskan cinta atau pilihan keluarga.

"Wanita juga perlu sedar, bukan tidak ada lelaki muda yang matang dan mampu cuma cita rasa setiap wanita ini berbezabeza. Saya yakin, usia bukan penghalang kebahagiaan kerana jodoh dan ketentuan itu di tangan Allah," katanya.

Kini, Ani bahagia melayari hidup bersama lelaki pilihan hatinya sendiri yang berbeza usia enam tahun dengannya malah turut dikurniakan sepasang cahaya mata.

"Suami banyak bersabar dengan kerenah saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami semua bahagia dan lebih gembira," katanya.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin (Berita Harian)



 
Chatroom