Home » » Perkhidmatan LHDN kepada pembayar cukai (Aplikasi e-Filing / m-Filing)

Perkhidmatan LHDN kepada pembayar cukai (Aplikasi e-Filing / m-Filing)

Saya graduan institusi pengajian tinggi awam tempatan yang memulakan kerjaya di sebuah syarikat swasta sejak lebih setahun lalu. Saya ingin mendapatkan penjelasan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkhidmatan yang ditawarkan kepada pembayar cukai baru seperti saya bagi membolehkan saya dan rakan lain menunaikan tanggungjawab.

------------

PIHAK LHDN ingin memaklumkan bahawa penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan Tahun Taksiran 2011 (BNCP 2011) melalui eFiling bagi Borang BE, B, M, P dan E boleh dilakukan mulai Mac 2012.

Perkhidmatan itu boleh dicapai terus melalui laman web e-Filing https://e.hasil.gov.my atau melalui laman web rasmi www.hasil.gov.my.

Tarikh akhir mengemukakan BNCP bagi Borang BE iaitu bagi Individu Bermastautin Mempunyai Pendapatan Penggajian dan Selain Perniagaan dan M Individu Tidak Bermastautin Mempunyai Pendapatan Penggajian dan Selain Perniagaan) adalah pada 30 April.

Selain itu, bagi Borang B (Individu Bermastautin Mempunyai Pendapatan Perniagaan), E (Individu Tidak Bermastautin Mempunyai Pendapatan Perniagaan Individu) dan P (Perkongsian) pula tarikh akhir penyerahan adalah 30 Jun.

Pembayar Cukai yang belum pernah menggunakan e-Filing sebelum ini, perlu memohon nombor pin e-Filing terlebih dulu melalui emel pin@hasil.gov.my atau menghubungi talian 1300883010, manakala pengguna e-Filing yang terlupa kata laluan boleh set semula (reset) kata laluan e-Filing.

Sekiranya pengguna e-Filing terlupa petunjuk kata laluan, mereka dinasihatkan menghubungi talian bantuan e-Filing di 034289 3535 (panggilan tempatan) dan +6034289 3500 (panggilan antarabangsa) atau 1300883010.

Bermula 1 Mac lalu, LHDN memperkenalkan inovasi terbaru bagi memudahkan urusan penghantaran BNCP iaitu Mobile Filing atau m-Filing. Aplikasi ini disediakan bagi kemudahan individu pemastautin yang tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan (perlu mengisi Borang BE).

Kini pembayar cukai boleh menggunakan peranti mudah alih mereka untuk mengisi BNCP dan seterusnya menjelaskan jumlah cukai yang dikenakan sebelum tarikh tutup penghantaran borang iaitu selewat-lewatnya 30 April depan.

Pengisian maklumat dan penghantaran borang boleh dilakukan di mana saja tanpa perlu memuat turun sebarang perisian tambahan. Antara peranti mudah alih yang disokong adalah iPhone dan iPad dengan iOS versi 4.0 ke atas; Android versi 2.2 (Froyo) ke atas; BlackBerry (OS 6 ke atas) dan Playbook; Windows Phone versi 7.0 ke atas dan 7.5 (Mango).

Pembayar cukai tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan aplikasi m-Filing ini kerana pihak LHDN masih mengekalkan penggunaan sijil digital sedia ada sama seperti yang digunakan untuk Aplikasi e-Filing. Dengan m-Filing penghantaran BNCP akan lebih Mudah, Tepat dan Selamat! Sebarang maklumat lanjut sila layari www.hasil. gov.my atau hubungi 1300883010.

Mereka yang gagal mengembalikan BNCP berdepan dengan denda maksimum RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

MASRUN MASLIM,
Pegawai Perhubungan Awam LHDN.







Affiliates

 
Chatroom