Home » » Tip Perancangan Kewangan Pelajar

Tip Perancangan Kewangan Pelajar

Merancang kewangan bermula apabila seseorang itu merancang perbelanjaan harian. Hampir setiap kanakkanak mendapat wang saku harian apabila pergi ke sekolah. Namun, tidak semua yang tahu bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut. Kadangkala tanpa disedari, wang saku harian habis dibelanjakan.

Salah satu alat bantu yang baik untuk pelajar ialah penggunaan `Buku Wang Saku' yang diterbitkan oleh Bank Negara. Buku ini merupakan cara yang mudah untuk membantu seseorang pelajar merancang kewangan melalui rancangan berbelanja harian.
Berikut adalah beberapa faktor-faktor yang boleh membantu pelajar merancang kewangan:

Rancang Perbelanjaan

Apabila mendapat wang, rancanglah perbelanjaan. Perbelanjaan yang dirancang merupakan amalan yang boleh menjamin masa hadapan yang cerah. Jadikan tabiat suka menyimpan sebagai satu amalan kehidupan seharian.

Setiap kali menerima wang saku, rekodkan jumlah yang diterima. Rekodkan perbelanjaan yang ingin dilakukan pada hari tersebut, supaya dapat melihat anggaran simpanan yang akan dibuat. Cuba sedaya upaya untuk tidak berbelanja lebih daripada peruntukan berbelanja yang dirancang.

Belanja Dengan Bijak

* Satu lagi petua merancang kewangan adalah dengan mengetahui cara-cara bagaimana membelanjakan wang dengan bijak. Cara berbelanja dengan bijak bermakna berbelanja apabila perlu dan membeli barang yang perlu sahaja.

* Jangan meminjam wang daripada sesiapapun semata-mata kerana gagal mengawal perbelanjaan. Bagi pelajar yang dapat mengawal perbelanjaan pula, elakkan daripada meminjamkan wang kepada kawan-kawan.

* Jangan berbohong kepada ibu-bapa semata-mata kerana ingin mendapatkan wang.

* Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuan ibubapa.

Pastikan Sentiasa Mempunyai Wang Di Tangan

Elakkan berbelanja sehingga wang di tangan kehabisan. Ini disebabkan wang perlu digunakan pada bila-bila masa.

Menyimpan Wang, Biarlah Di Tempat Selamat

Baki wang yang ada di tangan setelah berbelanja perlulah direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat. Bank merupakan institusi penerima simpanan yang selamat di samping dapat memberi pendapatan kepada wang yang disimpan. Minta bantuan guru atau ibu-bapa untuk mengetahui cara untuk membuka akaun simpanan dengan bank.

Melabur Wang Untuk Mendapatkan Pulangan

Jadikan wang sebagai alat untuk menghasilkan pendapatan dan memberi hasil pulangan. Jumlah wang disimpan di bank akan bertambah nilainya apabila bank memberi faedah kepada simpanan tersebut.

Sumber: Bank Negara Malaysia



 
Chatroom