Home » » 16.8j rakyat Malaysia obesiti

16.8j rakyat Malaysia obesiti

Masalah obesiti di negara ini semakin meningkat apabila lebih 16.8 juta penduduk menghidap penyakit itu yang berpunca daripada amalan gaya hidup dan pemakanan tidak seimbang.

Pengarah Eksekutif Institut Nasional Diabetes Malaysia (Nadi), Datuk Profesor Mustaffa Embong, berkata, secara kasarnya rakyat negara ini mengalami masalah kegemukan dan peratus wanita mendapat penyakit itu lebih tinggi berbanding lelaki.

"Wanita bersalin antara yang berpotensi mengalami kegemukan dan pertambahan kelahiran juga menyebabkan berat badan semakin bertambah," katanya.

Katanya, faktor wanita mengalami lebihan berat badan berikutan kurang melakukan aktiviti sihat selain faktor pemakanan seperti banyak mengambil banyak kandungan kalori, digoreng atau kari menyebabkan peratus golongan berkenaan menghidap penyakit itu lebih tinggi berbanding lelaki.

Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius kerana ia menyumbang kepada pelbagai masalah lain kepada rakyat dan kajian juga menunjukkan bahawa 15 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 19 tahun mempunyai masalah berlebihan berat badan.

"Penghidap obesiti di Malaysia begitu besar jumlahnya setanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat dan ia berpunca daripada pengambilan makanan segera yang mendatangkan pelbagai kesan serta risiko.

"Kita dapati kebanyakan mereka terdedah kepada penyakit lain seperti kanser, diabetes, pereputan tulang, serangan jantung dan beberapa penyakit lain," katanya.

Hadir sama, Pengerusi dan Pakar Perunding Endokrinkologi Pusat Perubatan Tropicana, Datuk Profesor Khalid Abdul Kadir dan Duta Rasmi Kempen LEAP, Jojo Struys.

Mustaffa berkata, penghidap kencing manis (diabetes) di Malaysia kini sebanyak 3 juta orang, jauh lebih tinggi daripada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelang 2025, iaitu hanya kira-kira 800,000 orang.

"Peningkatan penghidap diabetes di Asia termasuk Malaysia semakin membimbangkan dan sudah dilihat sebagai wabak di negara membangun. Daripada jumlah itu, wanita India paling ramai menghidap diabetes diikuti lelaki India, wanita Melayu, lelaki Melayu, wanita Cina dan lelaki Cina.

"Peningkatan jumlah itu boleh dikaitkan dengan cara hidup atau perubahan cara hidup yang membabitkan pengambilan gula berlebihan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan darah perlu dilakukan bagi mengesan diabetes sebelum ia berkembang.



Affiliates

 
Chatroom