Home » » Jumlah penagih wanita meningkat

Jumlah penagih wanita meningkat

Menurut statistik yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi 2011, bilangan penagih wanita yang tinggi dikesan di lima negeri iaitu Selangor dan Johor dengan masing-masing 26 kes, Kedah (25 kes), Perak (22 kes) dan Pulau Pinang (21 kes).

Jumlah penagih wanita yang dikesan juga didapati seramai 192 orang atau 1.72 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Penagihan dadah jenis sintetik dalam kalangan wanita di negara ini menunjukkan peningkatan berbanding beberapa tahun lalu dan corak itu sesuatu yang membimbangkan.

Presiden Pengasih, Datuk Yunus Pathi, berkata jumlah penagih wanita yang masuk ke pusat itu untuk mendapat rawatan didapati meningkat. Punca utama yang dikesan hingga membawa mereka terjebak dalam dunia dadah adalah kunjungan ke pusat hiburan.

Menurutnya, pusat hiburan adalah tempat paling mudah untuk mendapatkan bekalan dadah sintetik seperti ketamin, pil dan syabu.

"Dianggarkan kebergantungan kepada dadah jenis sintetik dalam kalangan wanita mengalami peningkatan sebanyak 30 peratus jika hendak dibandingkan beberapa tahun dulu.

"Kebergantungan terhadap dadah jenis ini bukan daripada segi fizikal tetapi mental, menyebabkannya lebih sukar untuk dirawat," katanya ketika ditemui di Rumah Pengasih, baru-baru ini.

Lazimnya, golongan wanita yang terbabit dalam gejala dadah akan turut terbabit dengan masalah lain seperti seks bebas dan pengguguran anak.

Katanya, rata-rata daripada penagih wanita terbabit dalam pengguguran anak atau menyerahkan anak mereka kepada orang lain.

"Ini kerana dadah jenis sintetik panas hingga menggalakkan mereka membuka baju serta membuatkan mereka cenderung ke arah seks," katanya.

Yunus berkata, usaha merawat penagih yang mengambil dadah jenis sintetik juga mengambil masa yang panjang kerana ia membabitkan pelbagai proses antaranya kaunseling serta penyelidikan terhadap latar belakang penagih dan keluarga mereka.

Proses berkenaan dijalankan bagi memastikan satu program pemulihan dapat dirangka sesuai dengan penagih berkenaan.

"Bekas penagih wanita yang sedang mendapatkan rawatan di Rumah Pengasih ketika ini terdiri daripada enam orang tetapi jumlahnya berubah dari semasa ke semasa.

"Walaupun penagih dalam kalangan lelaki masih dominan, jumlah penagih wanita dilihat semakin meningkat, tidak seperti sebelum ini dan usia ketika mula menghisap dadah juga dilihat semakin muda.

"Bilangan yang mendapatkan rawatan di Rumah Pengasih kini mungkin tidak ramai, tetapi ada sebilangan besar lagi penagih wanita yang dihantar ke Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) atau dimasukkan ke penjara," katanya.

Jika dulu Rumah Pengasih hanya memberi tumpuan kepada merawat penagih lelaki, tetapi pihaknya sudah mula menerima penagih dalam kalangan wanita berikutan kini mempunyai program lebih baik untuk merawat golongan itu serta kaunselor wanita lulusan universiti tempatan.

Menurutnya, Rumah Pengasih juga akan mengadakan kempen bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa supaya mereka dapat mengenal pasti sekiranya anak terbabit dengan gejala dadah.

Pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara, Kementerian Pelajaran serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menjayakan kempen itu.

"Apa yang berlaku ketika ini, selalunya ibu bapa orang terakhir yang mendapat tahu anak mereka penagih jadi kita akan mengadakan kempen supaya ibu bapa dapat mengesan anak mereka terbabit dengan dadah sebelum semuanya terlambat.

"Saya juga ingin menasihatkan golongan ibu bapa terutama yang mempunyai anak remaja untuk membeli dan menyimpan kit ujian air kencing yang boleh dibeli di farmasi.

"Sekiranya mereka menunjukkan perlakuan mencurigakan, ibu bapa boleh menjalankan sendiri ujian air kencing bagi memastikan anak mereka bebas dadah," katanya.

Kit ujian itu turut mempunyai panduan bagi mengenal pasti jenis dadah yang diambil anak bagi memudahkan rawatan pemulihan.

Pada masa sama, Yunus berkata, ibu bapa perlu memantau perlakuan anak dan berjaga-jaga sekiranya anak mereka didapati menggunakan wang dalam jumlah banyak secara luar biasa, sukar tidur malam, tetapi tidur sepanjang siang, marah dengan melampau walaupun membabitkan perkara kecil selain hubungan dengan keluarga menjadi renggang.

"Selain itu, sekiranya kita merasakan rumah seperti ada pencuri apabila duit sentiasa hilang, maka ibu bapa perlu bersedia dan mengambil langkah menguji anak bagi memastikannya bebas atau terbabit dengan dadah," katanya.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan



Affiliates

 
Chatroom