Home » » Didik keluarga ilmu agama tanggungjawab suami

Didik keluarga ilmu agama tanggungjawab suami

Aku terima nikahnya dengan si pulan binti si pulan dengan mas kahwin sebanyak sekian-sekian". Sebaik saja ayat ini diungkapkan pengantin lelaki, secara automatik sudah bergelar suami dan segala amanah dan tanggungjawab berkaitan si wanita yang dinikahi sebelum ini dilaksanakan walinya itu dipindahkan ke atas bahu si suami.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa' ayat 43 bermaksud:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka..."

Justeru, suami wajib melaksanakan amanah dan memberi bimbingan serta tunjuk ajar yang baik terhadap isteri dengan didikan agama dan pengajaran yang baik.

Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Kejayaan suami hanya terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya selaku ketua keluarga dengan baik dan bijak.

Seperti firman Allah dalam surah at-Tahrim ayat enam bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).

Dalam menafsirkan ayat di atas, ulama bersepakat, suamilah yang bertanggungjawab menyelamatkan anggota keluarganya daripada masuk neraka.

Caranya melalui mendidik anggota keluarganya dengan ilmu agama khususnya ilmu berkaitan fardu ain. Kewajipan suami menasihati isterinya dengan penuh hikmah dan kasih sayang supaya isteri dan anak patuh dan taat pada perintah Allah SWT termasuk dalam hal menutup aurat dan sebagainya.

Oleh kerana wanita diciptakan bersifat unik, baginda Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda baginda bermaksud:

"Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)," (Riwayat Muslim).

Persoalannya apakah suami mampu mendidik isteri dan mengajar mereka berkaitan hukum hakam dan fardu ain? Justeru, suami mesti membawa isteri dan anak ke majlis ilmu seperti kuliah yang diadakan di masjid, surau dan sebagainya.

Bahkan dalam era teknologi maklumat kini, suami wajib bersyukur kerana kemudahan ICT itu dapat membantu suami memberikan pendidikan agama kepada isteri.

Sekiranya suami gagal melaksanakan amanah selaku ketua rumah tangga, maka takutilah ancaman Allah SWT

Justeru, marilah kita bersyukur dengan isteri yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita dan bersamalah kita memperbanyakkan berdoa memohon supaya Allah menganugerahkan kita isteri dan zuriat keturunan yang menenangkan jiwa kita dan mampu membantu kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.



Oleh Asri Md Saman @ Osman
* Penulis Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Jitra, Kedah Darul Aman.



 
Chatroom