Home » » Pembedahan plastik: Doktor tipu guna cecair silikon industri

Pembedahan plastik: Doktor tipu guna cecair silikon industri

Cantik yang diidamkan, azab yang ditanggung. Kurang pengetahuan mengenai kaedah dan bahan digunakan bagi prosedur membesarkan punggung menyebabkan ramai pengguna yang mahu memiliki bentuk badan sempurna terpedaya hingga menanggung kesan mudarat.

Ketua Jabatan Pembedahan Plastik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yap Lok Huei berkata, mereka yang memasang niat berbuat demikian perlu mendapatkan khidmat pakar berlesen dan bertauliah.

"Individu yang ingin menjalani prosedur membesarkan bahagian tertentu tubuh perlu berhati-hati bagi mengelak ditipu. Ini kerana ada pusat kecantikan atau doktor tidak berlesen dan bertauliah menawarkan perkhidmatan kononnya memasukkan kolagen tetapi sebenarnya menyuntik cecair silikon.

"Selepas cecair silikon disuntik di bawah kulit, potensi pelanggan mengalami alahan dan parut lebih tinggi. Cecair silikon digunakan sebenarnya bukan gred perubatan, sebaliknya untuk industri yang digunakan dalam mesin. Anggaran kos ialah RM1,000 untuk silikon perubatan bersamaan RM1 untuk industri. Pengusaha yang menawarkan perkhidmatan itu (menggunakan silikon industri) membuat banyak keuntungan," katanya kepada Metro Ahad.

Untuk itu, mereka boleh memeriksa hospital atau klinik yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia dan senarai pakar yang melakukan prosedur itu boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan.

Sebaik-baiknya, doktor mengendalikan prosedur itu ialah ahli Persatuan Pembedahan Plastik, Estetik dan Craniomaxillofacial (Mapacs).

Beliau berkata, cecair implan bukan saja dimasukkan ke dalam payudara, tetapi juga hidung, pipi, bibir dan pipi.

Katanya, kaedah itu berbahaya kerana boleh memasuki sistem limpa dan sukar dibuang kerana menyerap tisu badan. Pembedahan besar perlu dilakukan jika individu terbabit ingin membuang silikon.

Dr Yap berkata, ada tiga kaedah membentuk atau membesarkan punggung yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, namun beliau tidak pernah didatangi individu yang ingin menjalani prosedur bagi membesarkan punggung.

"Antara kaedah digunakan ialah implan memasukkan silikon ke dalam punggung. Ia gel kenyal yang wujud dalam satu lapisan seperti beg dan mempunyai bentuk tertentu.

"Kaedah pemindahan lemak pula ialah sedut lemak di bahagian tubuh berlemak dan dimasukkan ke punggung. Pandangan peribadi saya, kaedah ini lebih bagus. Bagaimanapun, ramai pakar bedah sukakan penggunaan silikon," katanya.

Menurutnya, pemindahan lemak tiada risiko alahan kerana ia bukan bahan asing tetapi dari tubuh sendiri yang menyebabkan kurang reaksi tolakan, malah boleh dikatakan tiada langsung.

"Masalahnya penyerapan semula lemak boleh terjadi dengan kadar 30 peratus. Sebagai contoh, jika letak 300 isi (lemak), selepas tiga atau empat bulan, mungkin hanya 200 isi yang tinggal manakala 100 isi hilang begitu saja.

"Disebabkan itu, pelanggan mungkin melakukan dua atau tiga kali prosedur selepas isi hilang bagi mendapatkan bentuk punggung diingini," katanya.

Katanya, kaedah itu boleh bertahan lama, namun kesan penuaan menyebabkan lemak semula jadi dalam tubuh berkurangan.

"Implan lebih popular kerana cuma perlu buat sekali dan lebih cepat. Ada yang tidak menyukai implan kerana ia bukan semula jadi. Gel silikon juga boleh dibuat di payudara, betis, hidung dan perut berotot (six pack). Namun, memasukkan implan bagi menghasilkan `six pack' tidak digalakkan.

"Silikon mempunyai bentuk iaitu seperti dimasukkan ke dalam satu karung dan tidak keras. Ia mempunyai kemungkinan untuk bocor atau pecah. Untuk silikon lebih padat, ia lebih keras.

"Pasti akan ada parut di sekeliling pembedahan implan. Ini menunjukkan lebih ramai mula melakukan implan berbanding pemindahan lemak. Walaupun teknologi ini berusia lebih 15 tahun, ia belum popular di Malaysia. Cuma sejak dua atau tiga tahun ini ia semakin popular," katanya.

Beliau berkata, membesarkan payudara lebih popular di kalangan wanita Asia kerana mereka tidak berpuas hati dengan saiz sedia ada.

"Pengaruh media massa menyebabkan ramai mahu kelihatan seperti Angelina Jolie mahupun artis Korea. Proses pemindahan lemak tidak boleh dijalankan sekali. Ini kerana lemak sedia ada di punggung tidak mendapat oksigen dan zat jika lemak baru yang disedut dari bahagian lain dimasukkan sekali gus. Prosedur seterusnya akan dijalankan pada masa berbeza," katanya.

Dr Yap berkata, memasukkan lemak untuk membesarkan punggung membuatkannya punggung kelihatan lebih lembut dan semula jadi.

"Di Malaysia, tidak ramai yang menggunakan kaedah ini dan pembesaran punggung tidak disedari ramai. Risiko melakukan prosedur ini ialah parut jelas kelihatan apabila individu terbabit menanggalkan pakaian.

"Mereka berasa tidak selesa ketika duduk selepas menjalani proses pembedahan punggung melalui pemindahan lemak.

"Manakala kaedah memasukkan lemak pula boleh menyebabkan tekanan di punggung. Sedutan lemak pada bahagian badan lain menyebabkan lekuk parut," katanya.



 
Chatroom