Home » » Penyakit jantung koronari pembunuh wanita

Penyakit jantung koronari pembunuh wanita

`Memang susah sukar bernafas, tapi saya wanita dan bukan perokok. Tak mungkin saya alami sakit jantung!"

Benarkah andaian itu? Jika itulah yang berlegar dalam fikiran, itu tandanya anda tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai penyakit jantung dan ancamannya Paling penting, anda wanita yang tidak endah hal ehwal kesihatan, termasuk tekanan darah atau bacaan kolesterol sungguhpun tidak merokok atau mengamalkan diet sihat.

Hakikatnya, dalam banyak keadaan, serangan jantung kalangan wanita itu sukar dilihat kerana `tandanya' payah dikesan. Fakta ini berserta salah tanggapan adalah antara punca sakit jantung kekal di kedudukan nombor satu sebagai penyakit yang meragut nyawa wanita Malaysia. Bukan sejak setahun dua, sebaliknya sejak 10 tahun lalu berikutan mangsa tidak mendapat rawatan pantas, tepat selain tidak tahu punca utama serangan penyakit berkenaan.

Malah, kematian akibat penyakit jantung adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat kanser bagi kalangan wanita. Statistik kematian di hospital kerajaan dari 1990 hingga 2006, misalnya menunjukkan pesakit jantung wanita meningkat sehingga 136 peratus!

Apa yang menyedihkan, walaupun satu bagi setiap empat wanita berpotensi mendapat penyakit itu, kesedaran mengenainya masih rendah. Buktinya, kajian terkini Pertubuhan Kesihatan Jantung Wanita atau Women's Heart Health Organisation (WH2O) - organisasi di bawah Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) ke atas 5,195 responden berusia antara 20 hingga 70 tahun, mendapati bukan saja wanita, lelaki juga tidak mengetahui dengan jelas mengenai sakit jantung.

Pengerusi WH2O, Tan Sri Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari, berkata penyakit jantung sentiasa dianggap penyakit lelaki kerana kebanyakan mereka adalah perokok selain mendapat penyakit berkenaan 10 tahun lebih awal sebelum wanita.

Risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki. Wanita dilindungi estrogen tinggi ketika masih subur dan berupaya mengelakkan mereka daripada diserang penyakit jantung.

"Tetapi perlindungan itu boleh merosot mendadak apabila mengalami menopaus. Ini berikutan tahap estrogen menurun selain trigliserida dan lipoprotein densiti rendah (LDL) atau kolesterol buruk di kalangan wanita berumur juga meningkat disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan.

"Risiko serangan jantung sebenarnya sama, baik bagi lelaki dan wanita. Tetapi faktor paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ialah disebabkan diabetes mellitus, yang menjadi `ibu' penyakit kardiovaskular," katanya pada sesi taklimat pembentangan hasil kaji selidik itu di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Robaayah yang juga Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) berkata, risiko maut akibat penyakit kardiovaskular dan diabetes adalah 50 peratus lebih tinggi bagi wanita berbanding lelaki. Antara puncanya termasuk salur darah wanita lebih kecil berbanding lelaki menyebabkan lebih mudah terhalang apabila berlaku pengumpulan kolesterol dalam salur darah.

Malah, bagi satu-satu serangan itu menyaksikan masa itu umpama emas. Kelewatan rawatan itulah yang boleh meragut nyawa wanita. Apalagi simptom serangan jantung dan strok dalam kalangan wanita tidak sama dengan lelaki.

"Bila kita tidak tahu mengenai tahap kesihatan dan masalah jantung, besar kemungkinan bantuan tepat dan cepat tidak dapat dilaksanakan. Keadaan bertambah buruk apabila pengamal perubatan juga berfikir sedemikian. Kelewatan bantuan itulah yang boleh meragut nyawa," katanya.

Sehubungan itu, Dr Robaayah menegaskan kepentingan kempen bagi memperluaskan lagi tahap kesedaran orang ramai mengenai kesihatan diri, penyakit dan cara menanganinya. Setakat ini, 1,633 wanita mendapatkan imbasan jantung menerusi acara serta kempen kesihatan jantung.

INFO SERANGAN JANTUNG

Ia berlaku apabila aliran darah kaya dengan oksigen ke bahagian otot jantung tersekat. Serangan jantung paling kerap berlaku akibat daripada penyakit jantung koronari (CHD), juga dikenali sebagai koronari arteri, di mana plak terbina dalam salur darah arteri koronari. Ia berlaku menerusi pengumpulan lemak dan kolesterol progresif. Jika tidak dipulihkan dengan segera, pesakit boleh mati akibat serangan jantung secara tiba-tiba atau lebih dikenali sebagai serangan jantung.

Penyakit jantung koronari (CHD)


Punca Penyakit jantung koronari (CHD)

* Usia - Risiko sakit jantung tinggi selepas menopaus.

* Kolesterol berlebihan

* Hipertensi

* Merokok

* Gaya hidup tertekan di bawah tekanan tinggi

* Lemak berlebihan. Ukuran lilit pinggang melebihi 80 cm tingkat risiko sakit jantung

* Kurang bersenam

* Kencing manis atau diabetes

* Sejarah keluarga

Gejala Penyakit jantung koronari (CHD)

Antara gejala kerap berlaku termasuk:

* Sakit dada

* Sesak nafas

* Pening kepala

* Jantung berdebar

Diagnosis

Kaedah diagnosis CHD adalah:

* Elektrokardiogram (ECG)

* Ujian Treadmill - ujian untuk mengenal pasti kehadiran myocardial ischemia.

* Echocardiography

* Imbasan Perfusion Myocardial

* Tomografi Berkomputer (CT)

* Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)

* Pengkateteran jantung dan Angiogram Koronari - Ujian ini memerlukan penyisipan kateter melalui arteri kaki atau pergelangan tangan dan suntikan pencelup yang di X-ray ke dalam arteri koronari, untuk menggambarkan dan mengesahkan darjah penutupan saluran darah.

Rawatan

Kaedah rawatan dilakukan berdasarkan tahap teruk pesakit apabila didiagnosis sama ada pengambilan ubat atau pembedahan.

* Rawatan Ubat

Pada peringkat awal, pesakit biasanya diletakkan di bawah rawatan perubatan menggunakan aspirin atau GTN untuk melegakan gejala.

* Angioplasti Koronari

Dikenali sebagai intervensi koronari perkutaneus (PCI), suatu jenis rawatan pengembangan bagi arteri koronari yang mengecil atau tersumbat, berbanding dengan pembedahan. Biasanya jika doktor mengesahkan bahawa 70 peratus atau lebih daripada arteri pesakit mengecil atau tersumbat, PCI disyorkan .

* Graf pintas Arteri Koronari (CABG)

Dikenali sebagai pembedahan pintas, ia menggunakan pembuluh anggota atas atau bawah seperti vena safenus dan arteri internal atau arteri radial di pergelangan tangan sebagai alur untuk mengraf aorta distral kepada arteri koronari untuk memintas penyempitan aterosklerotik untuk meningkatkan bekalan darah kepada otot jantung dan selepas itu melegakan angina pektoris dan mengurangkan insiden restenosis.

Mitos atau fakta?

* Mitos

Penyakit jantung koronari penyakit lelaki dan bukan wanita.

* Fakta

Wanita menopaus mempunyai risiko tinggi menghidap sakit jantung kerana tiada hormon estrogen yang melindungi mereka.

* Mitos

Pembunuh utama wanita berkaitan kanser seperti kanser pangkal rahim, kanser payu dara, kanser ovari dan kanser rahim.

* Fakta

Kajian mendapati, penyakit jantung koronari membunuh wanita dua kali ganda lebih tinggi berbanding penyakit-penyakit kanser.

* Mitos

Tahap kolesterol normal, jadi risiko menghidap penyakit jantung rendah.

* Fakta

Tanggapan ini tidak benar. Kebanyakan individu mendapat serangan penyakit jantung ini mempunyai tahap kolesterol normal, hanya 30 peratus daripada mereka mempunyai tahap kolesterol tinggi.

* Mitos

Tidak merokok, tidak meminum minuman keras, sentiasa melakukan senaman, tidak menghidap diabetes atau mempunyai hipertensi, jadi saya tidak akan mendapat penyakit jantung.

* Fakta

Kajian mendapati, 30 peratus pesakit mendapat serangan sakit jantung tidak mempunyai faktor risiko. Pada masa ini pakar perubatan masih tidak memahami gejala pembentukkan dan pengembangan penyakit jantung secara terperinci.

Justeru, sama ada anda mempunyai faktor risiko atau tidak, anda sebenarnya mempunyai risiko mendapat penyakit jantung. Bagaimanapun, jika anda mempunyai faktor risiko, peluang untuk mendapat penyakit jantung adalah lebih tinggi. Justeru selalu amalkan gaya hidup sihat dan ketahui keadaan tekanan darah anda.

* Mitos

Serangan jantung adalah disebabkan penyumbatan saluran arteri koronari.

* Fakta

Dua pertiga daripada serangan jantung yang berlaku berpunca daripada pecahnya salur darah yang mempunyai kadar penyumbatan plak kolesterol kurang daripada 50 peratus. Pesakit yang mempunyai tahap penyempitan yang melebihi 70 peratus biasanya mempunyai tandatanda gejala penyakit jantung.



Affiliates

 
Chatroom