Home » » Keloid: Gejala, faktor risiko dan rawatan

Keloid: Gejala, faktor risiko dan rawatan

Antara perkara yang menjadi kebimbangan wanita ialah kehadiran parut terutama pada muka apatah lagi jika parut itu timbul yang membuatkan ia tampak lebih nyata. Kehadiran parut boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang terutama jika kerjaya individu berkenaan menuntutnya untuk berurusan dengan orang ramai.

Parut adalah proses penyembuhan luka yang normal, tetapi ada sesetengah keadaan ia menjadi timbul iaitu apabila berlaku penghasilan tisu berlebihan pada bahagian luka.

Apabila tisu mengalami kecederaan, tisu penghubung yang dipanggil fibroblas akan membahagi (menjadikan jumlahnya berganda) dan mengisi luka supaya bahagian ini bercantum. Proses penyembuhan luka biasanya meninggalkan parut. Kadangkala parut ini menjadi tebal, tetapi jika ia hanya di atas garisan luka, ia dipanggil parut hipertrofi. Parut jenis ini boleh surut selepas satu tempoh yang mungkin mengambil masa satu tahun atau lebih.

Namun, ada juga keadaan di mana saiz parut yang menebal ini menjadi semakin besar sehingga melepasi kawasan luka dan ia dipanggil keloid. Oleh kerana saiznya yang boleh bertambah, ada orang menggelar keloid sebagai 'parut yang tidak tahu bila hendak berhenti membesar'. Berita sedihnya, ia tidak mudah untuk dihilangkan.

Keloid terjadi apabila tisu penghubung terus membahagi walaupun bahagian luka sudah dipenuhi dengan tisu baru sehingga menyebabkan kawasan luka ini menjadi timbul. Jika tidak dirawat dari awal, keloid atau parut yang timbul lebih sukar untuk ditangani.

Ia boleh berlaku pada sesiapa saja, tetapi sesetengah bahagian badan lebih cenderung mengalami keloid contohnya belakang badan, telinga, lengan, bahu dan dada. Mengapa? Tiada siapa yang tahu jawapannya, kata Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Assunta, Dr Kuladeva Ratnam. Pun begitu, keloid jarang berlaku pada muka.

Apa yang menyebabkan keloid? Sehingga sekarang pakar perubatan masih tidak tahu apa yang menyebabkan keloid berlaku atau mengapa sesetengah orang mengalami masalah ini. Walaupun punca sebenar keloid tidak diketahui, tetapi penyelidikan mendapati keloid adalah keadaan yang diwarisi, maknanya ada kaitan dengan faktor genetik.

Sesetengah bangsa seperti keturunan Afrika juga mempunyai kebarangkalian lebih tinggi mendapat keloid. Malah tiada beza risiko mendapat keloid antara lelaki, perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.

Namun individu yang mengalami walaupun satu keloid berisiko tinggi untuk mendapat lebih banyak keloid. Biasanya keloid terbentuk apabila berlaku kecederaan kulit disebabkan tindik, jerawat, tatu, luka (sama ada akibat terbakar, pembedahan, terkena objek tajam), calar dan suntikan.

Menurut Dr Kuladeva, keloid boleh dikawal, tetapi tidak dapat dicegah kerana tiada siapa tahu bagaimana dan kenapa ia terjadi. Malah pemakanan juga tidak mempunyai kaitan dengan pembentukan keloid.

Gejala dan faktor risiko

Keadaan parut dipengaruhi banyak faktor seperti saiz dan kedalaman luka, bekalan darah ke kawasan luka, ketebalan parut dan kecenderungan sama ada ia sama rata dengan kulit atau timbul.

Parut yang timbul ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu keloid dan parut hipertrofi. Keloid adalah parut timbul yang boleh membesar melepasi kawasan luka manakala parut hipertrofi yang tebal dan berwarna kemerahan hanya berkumpul di atas kawasan luka. Bagaimanapun, parut hipertrofi akan surut sedikit selepas satu tempoh sedangkan saiz parut keloid akan terus kekal dan tidak mengecil melainkan diberikan rawatan.

Parut keloid mempunyai beberapa ciri seperti licin, berkilat, benjolan yang agak keras dan berkumpul. Warnanya berbeza antara individu, ada yang mengikut warna kulit, merah atau coklat. Ia juga mungkin kelihatan berombak yang sekata atau tidak sekata. Keloid boleh jadi bengkak, sakit dan gatal terutama ketika pembentukannya.

Biasanya keloid berlaku selepas kulit alami kecederaan. Namun ada juga keadaan di mana parut keloid ini berlaku secara spontan, tetapi kes seperti ini sangat jarang terjadi. Pun begitu, menurut Jurnal Persatuan Perubatan Kanada, pakar percaya ia bukanlah kejadian spontan, tetapi mungkin berlaku akibat reaksi keradangan yang tidak jelas kelihatan atau terlalu remeh untuk diingati.

Menurut Dr Kuladeva, keloid boleh berlaku pada sesiapa saja, baik lelaki, perempuan, kanak-kanak atau dewasa tetapi kebanyakan orang mengalami masalah ini pada usia 20-an. Keloid juga didapati lebih kerap berlaku pada golongan berkulit gelap seperti keturunan Afrika dan Mediterranean.

Ada yang berpendapat ia juga kerap berlaku pada wanita, tetapi ia mungkin disebabkan wanita lebih sensitif dan peka pada keadaan kulit mereka. Ini menyebabkan lebih ramai wanita berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.

"Ada ramai orang bimbang jika keloid akan bertukar menjadi sel kanser. Jangan bimbang, parut yang timbul ini bukan sel kanser, malah ia juga tidak akan meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser kulit. Kebanyakan orang mendapatkan rawatan untuk keloid atas tujuan kosmetik atau memperbaiki keadaan kulit," katanya.

Individu yang cenderung mendapat keloid disarankan supaya tidak menjalani sebarang pembedahan kulit atau prosedur yang mencederakan kulit kecuali jika terpaksa. Individu yang pernah mengalami masalah keloid diingatkan supaya lebih berhati-hati kerana mereka boleh mendapat keloid pada masa akan datang.

Justeru, dalam soal keloid, pencegahan amat penting kerana rawatan yang ada kini masih belum berjaya menghilangkan kesan parut ini sepenuhnya. Malah dalam sesetengah keadaan, rawatan yang diberikan tidak berkesan langsung.

Rawatan Keloid

Kaedah terbaik mengatasi keloid ialah jangan benarkan ia berlaku, dalam kata lain, elakkan diri daripada mengalami sebarang perkara yang boleh menyebabkan kecederaan kulit. Terlebih dulu, doktor akan membuat pengesahan dulu sama ada parut itu keloid atau parut hipertrofi kerana kaedah rawatannya berbeza.

"Ada satu perkara yang perlu diingat iaitu setiap pesakit berhadapan dengan 50 peratus kemungkinan keloid berulang semula jika rawatan tidak dilakukan dengan baik.

"Buat pemantauan sendiri terhadap parut anda selama setahun. Jika didapati parut semakin membesar, sakit dan gatal, pergilah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan pesakit yang datang disebabkan parut mereka berasa sakit dan gatal atau mereka risau selepas menyedari berlaku perubahan pada parut yang membuatkan rasa tidak selesa dan malu.

"Biasanya untuk keloid yang kecil, doktor akan rawat menggunakan kaedah bukan pembedahan. Kaedah pembedahan lazimnya dilakukan untuk tujuan kosmetik atau mengembalikan fungsi satu-satu anggota yang terhalang akibat pembentukan keloid, contohnya keloid yang terbentuk pada luka kebakaran sehingga pesakit tidak boleh mengangkat tangan," kata Dr Kuladeva.

Secara umumnya rawatan keloid boleh dibahagikan kepada dua jenis sama iaitu pembedahan dan bukan pembedahan. Dalam kebanyakan kes, doktor akan memulakan rawatan dengan memberi suntikan steroid. Jika kaedah ini tidak berkesan, barulah doktor akan beralih kepada pembedahan.

Antara kaedah yang digunakan untuk merawat keloid ialah:

* Suntikan ubat steroid pada keloid. Ia kaedah yang selamat dan tidak menyakitkan yang bertujuan mengurangkan ketebalan keloid serta mengawal pertumbuhannya. Suntikan biasanya diberikan setiap enam minggu sehinggalah kesannya dapat dilihat dengan jelas. Ia membantu meleperkan keloid, tetapi dalam steroid juga boleh menyebabkan keloid menjadi lebih merah kerana ia merangsang pembentukan salur darah baru pada kulit.

* Pembedahan. Untuk mengurangkan ketebalan keloid. Keloid tidak boleh dibuang kerana ia boleh tumbuh semula. Namun, doktor mungkin mencadangkan untuk anda menjalani teknik graft kulit untuk mengurangkan ketegangan pada kulit dan menggalakkan penyembuhan secara normal. Pada masa sama ia juga mengurangkan peluang pembentukan keloid.

Jika anda mengalami masalah ini, pastikan anda mendapatkan rawatan daripada pakar kerana peluang untuk keloid muncul semula selepas pembedahan adalah sangat tinggi.

* Rawatan laser. Selepas pembedahan, rawatan boleh disusuli dengan laser atau radioterapi. Kemudian rawatan diteruskan dengan kaedah bukan pembedahan untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.

* Urutan. Individu yang ada masalah keloid boleh melakukan sendiri urutan pada parut dengan memicit dan menekan-nekan bahagian yang timbul. Selain itu anda juga boleh membalut kawasan berparut dengan tujuan memberi tekanan kepada bahagian berkenaan.

Langkah yang perlu diambil:

* Beritahu doktor jika anda pernah mengalami keloid atau sebarang masalah berkaitan parut supaya strategi pencegahan boleh dirancang. Individu yang mempunyai sejarah keloid berkemungkinan tinggi mendapat masalah sama pada masa akan datang jika berlaku luka.

* Elakkan daripada bertatu, bertindik atau menjalani sebarang rawatan 'ubah suai' jika anda ada kecenderungan mengalami keloid. Ini kerana keloid boleh berlaku pada bahagian berkenaan.

* Minta pakar bedah anda merawat luka pembedahan dengan sebaiknya bagi mengelakkan pembentukan keloid.

* Balut bahagian luka dan keloid yang sedia ada dengan kain pembebat sebelum anda melakukan aktiviti luar dan terdedah kepada cahaya matahari. Cahaya matahari boleh menyebabkan keloid menjadi gelap dan nampak lebih ketara.



Affiliates

 
Chatroom