Home » » Sinopsis Renungan Ajal, Astro Oasis

Sinopsis Renungan Ajal, Astro Oasis

Renungan Ajal terbitan Global Network Entertainment, mengisahkan tarikh kematian yang diketahui akan tiba. Bukan disebabkan hukuman mati oleh mahkamah kerana jenayah yang dilakukan, tetapi anugerah Allah kepada hamba-Nya yang terpilih berdasarkan amalan soleh dan ketakwaan.

Renungan Ajal menceritakan mengenai Mejar Yusof (lakonan Hafidzuddin Fazil) yang dianugerahkan Allah dengan tanda kematian pertama bermula pada suatu hari selepas beliau mendirikan solat Asar, iaitu tanda kematian yang akan terjadi dalam 100 hari. Insan mana yang tidak gusar untuk menghadapi detik kematian yang bakal menjelang.



Biar setinggi mana pun ilmu agama atau warak dan beramal soleh, kegusaran dan ketakutan tetap ada. Begitu juga Yusof. Tanda waktu 100 hari usia yang tersisa sebelum pergi menghadap Allah buat selama-lamanya meletakkan jiwa beliau dalam keadaan berbelah bagi. Dalam tempoh 100 hari yang tersisa itu, Yusof menanti dengan penuh gusar akan tanda-tanda yang seterusnya pada 40 hari, tujuh hari, tiga hari dan satu hari.

Konflik dalam diri Yusof bertambah apabila beliau diarahkan berkhidmat di bawah panji-panji Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tentera pengaman di Lubnan, sebuah negara yang sedang bergolak hebat di Timur Tengah sedangkan beliau sendiri sedang bergelut dengan kecamuk perasaan oleh tanda kematian yang semakin hampir. Keinginan beliau menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak dan isteri terpaksa diketepikan.

Doa Munajat

Pelbagai doa bermunajat kepada Allah yang menyentuh hati dimuatkan sebagai pengakuan dosa daripada hamba dan permohonan keampunan Tuhan daripada Yusof sepanjang telemovie ini mampu dipaparkan dengan berkesan.

Berlatar belakangkan lagu popular yang menyentuh perasaan seperti Pergi Tak Kembali dan Sampaikan Salam, mampu meronta jiwa penonton.

Telefilem ini bermula dengan adegan yang akan meruntun perasaan penonton dengan ketibaan pesawat membawa jenazah Yusof tiba dari luar negara disambut oleh keluarga dan warga angkatan tentera dengan penuh adat istiadat ketenteraan sebagai seorang wira negara.

Pelakon lain yang menjayakan Renungan Ajal termasuklah Marisa Yasmin, Sari Yanti, Buzen, Khairil Anwar, Norlia Ghani dan Tamam Idris.

Renungan Ajal disiarkan di Astro Oasis.



Affiliates

 
Chatroom