Home » » Kebaikan kacang soya hitam

Kebaikan kacang soya hitam

Kebaikan kacang soya hitam

Fizikal yang cantik dan menarik amat diidamkan setiap wanita dan lelaki. Dalam dunia serba moden kini, pelbagai rawatan dan prosedur untuk cantik ditawarkan dan ada di antaranya bukan saja menyakitkan malah boleh mengundang bahaya. Bahkan negara kita dilambakkan dengan produk kecantikan yang menjanjikan perubahan dalam tempoh singkat daripada harga murah sehinggalah mencecah ribuan ringgit.

Kita tidak boleh menafikan bahawa kesihatan dalaman dan pemakanan seimbang merupakan kunci utama memiliki kecantikan luaran. Pemakanan seimbang, pengambilan air mencukupi, bersenam dan tidur yang secukupnya adalah petua turun-temurun bagi memperlahankan proses penuaan.

Menurut perunding pemakanan, Indra Balaratnam, dari zaman dulu lagi, pengamal perubatan tradisional Cina sering menekankan kepentingan menjalani kehidupan yang seimbang untuk mendapatkan kecantikan berkekalan. Mereka menggunakan diet harian seseorang bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan semula jadi.

Salah satu makanan yang disyorkan ialah kacang soya hitam. Kacang soya hitam ini dijadikan hidangan harian yang lazat atau diminum dalam bentuk susu soya hitam. Pengamal perubatan tradisional Cina menggunakan pelbagai jenis kacang soya sama ada dimasak atau mentah.

Mereka percaya bahawa kacang soya hitam yang mentah mampu membantu aliran tenaga qi di dalam badan manakala kacang soya kuning yang biasa digunakan mampu menyegarkan badan. Ini adalah sebahagian daripada cara mengekalkan keseimbangan badan dan memiliki kesihatan yang baik, tambah beliau.

Menurut beliau, pengamal perubatan tradisional Cina mempercayai, selain membantu aliran tenaga qi di dalam badan, kacang soya hitam juga mampu menguatkan buah pinggang, limpa, membantu pengaliran darah, menyingkirkan toksik dan mengurangkan pengumpulan bendalir dalam badan, pembengkakan, kembung perut dan membantu memulihkan penyakit kulit tertentu. Apabila organ ini cukup kuat dan berfungsi secara optimum, pengaliran darah dalam badan juga akan menjadi lebih baik. Oleh kerana itu, kacang soya hitam digunakan secara tradisional dalam memiliki kulit yang bersih dan mulus. Pengaliran darah yang baik juga mampu menghindari keguguran rambut dan masalah uban.

Kini, saintis makanan juga bersetuju dengan kehadiran nutrien penting di dalam kacang soya hitam yang memberi kebaikan kesihatan secara menyeluruh. Bahkan ia juga mengandungi bahan antioksida. Antioksida boleh didapati dalam kebanyakan sumber tumbuhtumbuhan seperti legum, bijian, buahbuahan, sayur-sayuran dan kacang soya hitam.

Kulit kacang soya hitam kaya polifenol, juga sejenis antioksida. Kajian menunjukkan antioksida bersamasama dengan diet yang seimbang dan gaya hidup sihat mampu menghalang kerosakan sel kulit dan sekali gus memperlahankan proses penuaan kulit.

Kacang soya hitam juga kaya vitamin E yang membantu pembentukan kolagen kulit sekali gus membaik pulih keanjalan kulit. Akibat peningkatan usia, kolagen dan keanjalan kulit akan berkurang dan menyebabkan kedutan pada kulit. Pengambilan makanan yang berkhasiat dan baik untuk kulit dapat membantu mengekalkan keremajaan kulit.



Peroleh kebaikan kacang soya hitam


Terdapat pelbagai cara untuk menikmati kebaikan kacang soya. Kacang soya digunakan sebagai bahan utama masakan dan boleh didapati dari susu kacang soya, susu kacang soya hitam, tempe, tauhu, tau foo fah dan sos atau kicap kacang soya hitam yang melalui proses penapaian. Ada juga makanan ringan yang dihasilkan dari kacang soya hitam yang dipanggang.

Kacang soya juga boleh digunakan sebagai produk kecantikan luaran seperti lulur badan. Kacang soya hitam yang dikisar boleh digosokkan pada kulit yang basah bagi menyingkirkan sel mati supaya kulit jadi lebih halus.

Kedai makanan kesihatan juga turut menjual serbuk kacang soya hitam ini yang boleh digunakan terus. Serbuk kacang soya hitam ini juga boleh dicampurkan dengan buah avokado lenyek dan madu untuk dijadikan masker muka dan kulit kepala. Sifat semula jadi kacang soya hitam yang kaya dengan asid lemak diperlukan tubuh mampu melembapkan kulit. 



 
Chatroom