Home » » Memuliakan ibu sepanjang hayat

Memuliakan ibu sepanjang hayat

Memuliakan ibu sepanjang hayat

Kita dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu, walaupun dalam kes tertentu tidak mempunyai bapa. Malah, dengan jasa dan pengorbanan ibu, kita berkesempatan mengenal dunia, kita dapat bertatih, ketawa mahupun menangis.

Semuanya adalah nikmat yang tidak terhingga dan atas sebab itu jugalah kepatuhan kepada ibu berada di tahap tertinggi, selepas ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Firman-Nya pada ayat 14, surah Luqman bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada Akulah tempat kembalimu.

Abu Hurairah pernah menceritakan dalam satu hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim, ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak mendapat kebaikanku?

Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah menjawab: Kemudian bapamu.

Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan kedudukan istimewa seorang ibu di sisi Islam. Kedudukan ibu yang tinggi ini tidaklah membawa maksud bahawa seseorang anak tidak perlu mentaati bapanya.

Hakikatnya, berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa tanggungjawab utama individu bergelar anak.

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah ketika menjawab pertanyaan Ibn Mas'ud: Aku pernah bertanya Rasulullah; apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Solat pada waktunya.

Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua-dua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. (Riwayat Muslim)

Dalam Islam anak wajib mentaati ibu mereka, meskipun si ibu berlainan agama. Selagi sesuatu permintaan ibu itu tidak membabitkan sesuatu yang syirik kepada Allah dan perkara maksiat, maka ia wajib ditaati oleh si anak.

Islam tidak pernah sekali-kali memutuskan hubungan anak dengan ibu mereka walaupun si anak seorang Islam.

Firman-Nya bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka... (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Sebagai anak soleh, kita juga wajib menjaga air muka dan maruah ibu bapa. Kita harus awasi setiap pertuturan dan tingkah laku agar ia mencerminkan kemuliaan maruah dan harga diri kedua-dua orang tua.

Namun, dukacita apabila ada sesetengah di antara kita merasakan diri sudah dewasa, bebas melakukan apa sahaja. Tanpa disedari sikap dan tingkah laku itu menyebabkan ibu bapa terpalit dengan cemuhan dan pandangan hina masyarakat.

Jika kita perhatikan, pelbagai gejala sosial di kalangan remaja biasanya akan dikaitkan dengan tanggungjawab dan peranan ibu bapa, walhal kedua-duanya sudah berusaha sedaya-upaya memberikan bimbingan terbaik buat si anak.

Ingatlah, sungguh besar dosa ditanggung oleh anak yang tidak menjaga maruah dan air muka orang tuanya.

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua-dua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah, adakah akan berlaku seorang lelaki memaki hamun kedua-dua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Seperkara lagi yang perlu menjadi ingatan setiap anak bahawa reda Allah itu berkait rapat dengan reda orang tua. Sabda baginda SAW bermaksud: Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya. (Riwayat at-Tabrani)

Justeru, berhati-hatilah dengan tutur bicara, sikap dan tingkah laku agar ia tidak mengguris perasaan ibu bapa yang seterusnya akan memadamkan reda mereka. Jangan kerana mengutamakan kehendak diri sehingga membelakangkan nasihat ibu bapa.

Sesungguhnya, keberkatan hidup seorang anak akan lebih menyinar jika disertai dengan doa dan restu seorang ibu. Berusahalah menggembirakan hati seorang ibu dengan tingkah laku dan perbuatan baik.

Rasulullah SAW bersabda: Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka). (Riwayat Muslim)

Sayangilah ibu selagi hayat dikandung badan dan patuhilah nasihat mereka. Sempena Hari Ibu mari kita bertanya pada diri, sejauh mana kepatuhan kita terhadapnya dan apakah kita sentiasa berdoa untuknya?

Hayatilah firman-Nya pada ayat 24, surah al-Israa, maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku sewaktu kecil.

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin



 
Chatroom