Home » » Terukir Di Bintang Sinopsis (Drama TV3) lakonan Tasha Shilla, Wan Elyas

Terukir Di Bintang Sinopsis (Drama TV3) lakonan Tasha Shilla, Wan Elyas

Terukir Di Bintang (Sinopsis Drama)

Terukir Di Bintang menceritakan tentang Adam iaitu chef muda di sebuah hotel di Cameron Highland berhasrat menyertai pertandingan, Le Gourmet Week yang diadakan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Adam harus bersaing dengan rakan sekerjanya, Chef Razlan bagi membuktikan kepada Ketua Chef mereka yang dirinya layak menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

Adam yang gusar dengan kelebihan Chef Razlan sering meluahkan kebimbangannya kepada sahabat baiknya, Jee.

Adam dan Jee sememangnya berkawan rapat sejak kecil. Meskipun Jee berperwatakan kasar, namun dia menyimpan perasaan terhadap Adam.


Jee terpaksa pendam perasaannya kerana tahu Adam hanya menganggap dia sebagai teman biasa. Dalam kesibukan Adam bekerja menyiapkan diri untuk bersaing dengan Chef Razlan, Asmara, seorang gadis dari Kuala Lumpur hadir menginap di hotel tempatnya bekerja. Adam menyangka Asmara ialah seorang pengintip dari hotel lain yang cuba mencungkil rahsia resipi hidangannya.

Sangkaan Adam meleset apabila mendapat tahu Asmara sebenarnya seorang pengkritik makanan daripada sebuah majalah tempatan.

Sejak itu, Adam mula berkawan rapat dengan Asmara menyebabkan Jee cemburu. Perubahan mendadak pada penampilan Jee yang lebih lembut dan ayu mengejutkan semua orang.

Malah Jee turut menjadi bahan ejekan rakan-rakannya. Jee yang kecewa meluahkan perasaannya dengan menghasilkan sebuah lagu.

Dia merakamkan video nyanyiannya dan dimuat naik di laman sosial YouTube. Sementara itu, Asmara mengetahui Adam mula mencintainya tetapi terpaksa menolak cinta jejaka itu kerana dia menghidap penyakit radang hati.

Adam sanggup menderma sebahagian hatinya untuk Asmara. Asmara tidak mahu Adam berkorban lalu memberitahu Adam, Jee amat mencintainya.

Adam baru tersedar atas keikhlasan cinta Jee lalu mencari gadis itu, namun teman rapatnya itu sudah berhijrah ke Kuala Lumpur.

Jee memberikan fokus kepada karier muziknya selepas video yang dimuat naik mendapat perhatian ramai. Adam nekad untuk menderma hatinya kepada Asmara walaupun sedar risikonya terlalu tinggi.

Berjayakah pembedahan itu menyelamatkan nyawa Asmara? Adakah Adam akan terus mencintai Asmara atau berpaling kepada Jee yang sudah sekian lama ikhlas menunggu dirinya?

Jangan lupa untuk saksikan siri drama terbaru di slot Samarinda, Terukir Di Bintang setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam di TV3.

Drama bersiri 15 episod terbitan Primeworks Studios ini menerima sentuhan Sofea J Rhyland sebagai penulis skrip.

Pelakon Terukir Di Bintang ialah Wan Elyas sebagai Adam dan Tasha Shilla sebagai Asmara.

Turut membintangi drama berkenaan ialah Shiha Mentor, Kamal Adli, Talha Harith dan Idzham Ismail.



 
Chatroom