Home » » Turun 250 kg

Turun 250 kg


LELAKI paling gemuk di dunia berjaya mengurangkan berat badannya hingga separuh - kira-kira 250 kilogram — selepas menjalani diet rendah karbohidrat.

Sebelum ini, berat badan Manuel Uribe pernah mencecah 570 kilogram selepas menghabiskan 14 tahun memakan makanan ringan, burger, pizza dan air bergas.


Ia menyebabkan bekas mekanik berusia 42 tahun itu tidak boleh bergerak dan hanya tersandar di atas katil selama enam tahun.

Pada kemuncak berat badannya, dia mengalami masalah kesihatan yang sangat teruk dan bengkak pada kaki yang dibalutnya dengan pita bagi mengelak jangkitan.

Dia terpaksa dibantu rakan dan keluarganya untuk membersih dan menyuapkan makanan.

Namun, Uribe kini begitu bersungguh-sungguh untuk kembali kepada berat badan yang sihat selepas dua tahun menjalani diet ketat sehingga membolehkan dia hilang 250 kilogram.

Sasaran berat badannya kini ialah kira-kira 100 kilogram dan diet yang dijalaninya sekarang membabitkan sup ikan, sebiji anggur, setengah biji epal dan 18 butir kacang.

Uribe yang tinggal di Moterrey, Mexico bersama tunangnya, Claudia Solis Miranda dan ibunya, Orilia, mula berdiet selepas menangis ketika muncul dalam televisyen untuk merayu penonton membantu menyelamatkan nyawanya.

Pakar perubatan dari Itali dan Sepanyol menawarkan untuk melakukan pembedahan pintasan gastrik terhadapnya, tetapi Uribe menolak. Sebaliknya dia menerima tawaran bantuan daripada pakar biokimia Amerika Syarikat, Dr Barry Sears yang memberikan rawatan ‘diet zon berprotin tinggi’.

Menjelang pertengahan tahun lalu, dia berjaya mengurangkan berat badannya kepada 381 kilogram dan meraikannya bersama-sama ahli keluarga serta beberapa rakannya.

Pada hari itu, buat kali pertama dalam masa lima tahun, dia keluar dari rumah. Enam rakannya membantu menolak katil besi beroda, tempat dia menghabiskan masa sepanjang lima tahun itu. Sebuah forklif digunakan untuk mengangkatnya ke dalam trak dan dia dibawa mengelilingi jalan sekitar San Nicholas de los Garza, kawasan pinggir Monterrey.

Walaupun menghabiskan masa 14 tahun makan makanan ringan, doktor yakin masalah berat badan Uribe juga berpunca daripada ketidakseimbangan hormon.

Seorang pakar zat makanan yang merawatnya, Alejandra Garcia berkata: “Ia ada kaitan dengan mengawal hormonnya. Ia bukan semata-mata kerana tabiat makanan melampau.”

Uribe yang ditemuramah baru-baru ini berkata: “Saya rasa sihat. Doktor berkata, kesihatan saya pada tahap terbaik.”

Sebelum menjalani diet, sarapan paginya membabitkan empat biji telur, nasi, kekacang dan roti berinti daging serta keju.

Katanya: “Orang menyangka saya boleh makan seekor lembu. Masalah saya bukan terlebih makan. Ia berkait dengan hormon.”

Ketika kanak-kanak, dia memang bertubuh gempal dan ketika awal belasan tahun, berat badannya mencecah 113 kilogram. Pada 1992, berat badannya meningkat mendadak.

“Saya berbangga berada dalam Buku Rekod Guiness sebagai orang paling gemuk. Saya juga gembira dapat menurunkan berat badan saya sebanyak 250 kilogram,” katanya kepada wartawan.

Katanya, pengarang buku itu berjanji untuk melawatnya tahun ini dan kemungkinan dia akan muncul dalam edisi 2009 sebagai orang yang berjaya mengurangkan berat badan paling banyak.

Info

> Berat asal Uribe 570 kilogram

> Hanya bersandar di katil selama 6 tahun

> Jalani diet ketat selama dua tahun

> Diet sekarang, sup ikan, sebiji anggur, setengah biji epal dan 18 butir kacang

> Enam rakannya membantu menolak katil besi beroda



2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

hai...nice blog..

Tanpa Nama berkata...

wahhhhh....cute nye...pasal gemuk sangat tu?takkan sampai macam tu sekali berat you..very the cutie, =P

Catat Ulasan

 
Chatroom