Home » » Wanita derita jika kurang tidur

Wanita derita jika kurang tidur

Kajian dapati wujud risiko sakit jantung, kemurungan dan gangguan psikologi

Wanita memerlukan tidur mencukupi jauh melebihi lelaki dan boleh mengalami masalah mental dan fizikal jika dipaksa keluar tanpa menikmati tidur selesa.

Malah, kekurangan tidur juga boleh meletakkan golongan itu pada risiko tinggi menghidap sakit jantung, kemurungan dan masalah psikologi, menurut hasil kajian.

Selain itu, wanita yang tidurnya kerap terganggu – atau terutama mereka yang sukar melelapkan mata – berkemungkinan dua kali ganda memiliki paras tinggi bahan yang dikaitkan dengan diabetes Jenis 2 dalam darah mereka.

Kesihatan lelaki, bagaimanapun tidak begitu bergantung kepada bagaimana nyenyaknya mereka tidur, menurut kajian Universiti Duke, Durham, Carolina Utara.

Penyelidik universiti itu meminta 210 lelaki dan wanita sihat yang tidak ada masalah atau gangguan tidur supaya mengisi borang soal selidik mengenai kualiti tidur mereka.

Sukarelawan juga dinilai bagi tahap kemurungan, kemarahan, panas baran dan sebanyak mana sokongan sosial yang diperoleh. Contoh darah responden turut dianalisis. Daripada analisis, kira-kira 40 peratus peserta dikelaskan sebagai mengalami masalah tidur yang teruk.

Ketika tidak banyak perbezaan dalam kualiti tidur antara kedua-dua jantina, wanita, bagaimanapun, didapati lebih menderita apabila tidur terganggu.

Saintis mendapati di kalangan subjek wanita yang mengalami masalah tidur – kualiti tidur yang teruk atau sukar untuk tidur selama lebih dua malam seminggu, atau mengambil masa lebih 30 minit untuk tidur – juga dikaitkan dengan paras tinggi fibrinogen – faktor pembeku yang dikaitkan dengan angin ahmar.

Wanita yang mengalami masalah tidur juga cenderung menunjukkan paras tinggi pelbagai penanda dikaitkan dengan keradangan yang membawa kepada ketebalan arteri dan meningkatkan risiko sakit jantung.

Mereka yang kurang tidur juga melaporkan lebih banyak gejala kemurungan, panas baran dan kemarahan.

Bagaimanapun, lelaki yang mengalami masalah tidur tidak menunjukkan peningkatan risiko keadaan seperti yang menjejaskan wanita.

Profesor Jabatan Psikiatri dan Sains Tingkah Laku Universiti Duke, Dr Edward Suarez, berkata: "Ini adalah bukti berdasarkan ujian pertama yang menyokong apa yang kami perhatikan mengenai peranan jantina dan kesannya terhadap mutu tidur dan kesihatan.

"Kajian menunjukkan gangguan tidur – diukur dengan jumlah tidur keseluruhan, tahap terjaga pada waktu malam, dan paling penting berapa lama diambil untuk tidur – memberikan masalah kesihatan serius kepada wanita berbanding lelaki." – Agensi



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom