Home » » Filem I’m Not Single

Filem I’m Not Single

Filem I’m Not Single membawakan kisah yang amat sederhana dan ringkas. Mengisahkan tentang perkahwinan paksa yang diatur oleh keluarga menjadi amalan pada zaman dahulu tetapi dianggap tidak sesuai lagi pada zaman sekarang.

Watak nenek lakonan Rosminah Sidek yang berkahwin pada usia muda 15 tahun mewakili keluarga zaman dahulu, dimatikan pada akhir cerita menandakan berkuburnya tradisi anak gadis berkahwin muda seperti dulu. Kematian nenek yang agak misteri mungkin terjatuh akibat terkejut ketika anggota keluarga mendengar rakaman babak seks melalui telefon bimbit ciptaan Adam.

Panggilan telefon yang diterima oleh cucunya, Maya dan bacaan talkin di tanah perkuburan ada kaitannya.

I’m Not Single merungkai kisah percintaan berpaksikan pepatah Melayu yang popular “tak kenal maka tak cinta”. Maya (Lisa Surihani) dengan Adam (Farid Kamil) terpaksa berkahwin atas kemahuan keluarga masing-masing. Sebelum dipaksa berkahwin dengan Adam, Maya telah mempunyai kekasih, Dani (Awal Azhaari) yang mencintai antara satu sama lain. Mereka juga telah merancang untuk berkahwin.

Selepas berkahwin, Adam dan Maya dikehendaki berbulan madu di sebuah banglo warisan kepunyaan keluarga Adam. Lokasi banglo yang dipilih terletak di Fraser’s Hill agak menarik banyak menimbulkan suasana romantik sesuai dengan tema ceritanya.

Walaupun berlaku konfrontasi hebat antara pasangan tersebut tetapi dalam masa yang sama Adam dapat mengenali Maya secara lebih dekat. Adam berjaya mengetahui segala pantang larang isterinya itu termasuk tabiatnya mengigau berjalan pada setiap malam yang tidak diketahui oleh Maya dan kekasihnya, Dani.

Rahsia ini diceritakan oleh Adam dalam sepucuk surat ditinggalkan untuk Maya selepas mereka bergaduh sekembalinya di rumah keluarga Maya berikutan kematian neneknya. Rupa-rupanya Adam telah menceritakan rahsia Maya itu ketika Dani datang untuk menemui Maya bagi melepaskan rindunya.

Dalam pada itu, Dani berkenalan dengan Lisa (Intan Ladyana) ketika menolong untuk membaiki motosikalnya yang rosak di tengah jalan. Secara kebetulan juga motosikal Adam turut mengalami kerosakan. Mereka terpaksa berteduh daripada hujan di bawah jambatan dan bermalam di rumah kosong.

Setelah mengenali Dani sebagai lelaki baik dan mengetahui kisah percintaannya yang terhalang dengan Maya, sebelum berpisah Lisa telah memberikan harapan kepada Dani. Mengikut gambar album yang diceritakan oleh Maya, Dani dan Lisa kemudiannya berkahwin. Persembahan filem bermula dan berakhir melalui gambar album sudah agak klise dan tidak begitu menarik minat penonton.

Selepas mengetahui isi hati sebenar dan sikap bertanggungjawab Adam terhadapnya, Maya kemudian melupakan Dani dan mencari suaminya itu untuk meminta maaf atas segala kesilapan dilakukannya. Maya dan Adam kini menunggu kelahiran anak sulungnya.

Oleh MAT PIAH TEH DERIS



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom