Home » » Kaum Nabi Syuib makan hasil haram dibakar awan tebal

Kaum Nabi Syuib makan hasil haram dibakar awan tebal

Nabi Syuib berdepan dengan kerenah kaumnya yang suka menipu dalam perniagaan hingga sanggup menganiaya teman sendiri asalkan beroleh keuntungan selain enggan menyambut seruannya supaya menyembah Allah yang satu.

Kehidupan kaumnya yang bertuhankan kekayaan dengan mencari rezeki melalui jalan haram menyebabkan Baginda diutuskan bagi mengubah keadaan yang buruk kepada lebih baik. Malangnya, seruan Nabi Syuib menjadi bahan ejekan pula.

Sehebat mana ajakan dibuat Nabi Syuib, semua tidak menjadi sebaliknya hujah Baginda dibantah dengan alasan yang mereka buat bahawa kehidupan dilalui adalah yang terbaik, membawa kekayaan serta kebahagiaan.

Walaupun ditakutkan dengan ancaman balasan daripada Allah serta seksaan neraka, mereka tetap tidak percaya. Mereka menempelak Nabi Syuib kerana cuba menyesatkan mereka daripada ajaran agama yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu.

Tentangan itu tidak sedikitpun melemahkan jiwa Nabi Syuib yang tidak jemu memujuk dengan cara bijaksana dan penuh harapan supaya akhirnya mereka berubah serta membenarkan risalah yang dibawa Baginda.

Kesabaran Nabi Syuib kemudian diuji dengan ejekan kaumnya yang meminta Baginda menurunkan seksaan kepada mereka jika Baginda memang berkata benar. Permintaan itu terus dimakbulkan Allah yang mendatangkan cuaca panas terik yang tidak terhingga.

Selain kepanasan, mereka diserang oleh haus dan dahaga yang bukan kepalang. Sebanyak mana air diminum tidak mampu menghilangkan dahaga sebaliknya rasa semakin teruk. Segala usaha melindungi diri daripada panas tidak berhasil.

Sehingga mereka ternampak awan tebal dan semua yang ingkar mengejar awan itu untuk berlindung tetapi sebaliknya mereka dibakar oleh awam tebal hingga menjadi abu. Kepada pengikut yang beriman, Nabi Syuib berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya sudah aku sampaikan kepadamu risalah Tuhanku dan aku berikan nasihatku kepadamu, maka begitulah kejadiannya bagi kaum kafir dan ingkar."

Tinggalan kisah Nabi Syuib dapat dilihat dalam episod ketiga program Al-Risaalah 2 terbitan TV9 yang disiarkan jam 10.30 malam. Antara yang menarik dikupas ialah adakah Safura yang berkahwin dengan Nabi Musa ialah anak Nabi Syuib.

Kitab Taurat ada menyebut isteri Nabi Musa adalah anak Pendita Madian dan penjelajahan Al-Risaalah 2 menjejaki perkampungan Nabi Syuib di Sanliurfa yang didiami sekelompok masyarakat Arab.

Akan dipertontonkan, rumah Nabi Syuib ketika Baginda mendiami kawasan itu, berdasarkan maklumat diberi penduduk kampung itu. Nabi Syuib bersama kaumnya yang beriman diselamatkan Allah. Mereka berpindah meninggalkan Madian. Ada pendapat yang mengatakan Nabi Syuib berpindah ke Makkah dan mengabdikan diri kepada Allah di sana hingga wafat.

Ibn Asaakir meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: "Di Masjidil Haram ada dua kuburan, tiada kuburan lain dari keduanya; Kubur Nabi Ismail dan kubur Nabi Syuib. Adapun kubur Nabi Ismail di Hajarul Aswad dan kubur Nabi Syuib berhadapan Hajarul Aswad."

Oleh Hasliza Hassan



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom