Home » » Layanan diskriminasi berisiko alami obesiti

Layanan diskriminasi berisiko alami obesiti

Satu kajian terbaru mendapati kebanyakan orang dewasa berkulit putih yang menerima layanan diskriminasi dalam kehidupan seharian, mengalami masalah obesiti berbanding rakan mereka yang tidak mengalami masalah pengasingan berkenaan.

Kajian mengenai orang dewasa di Amerika Syarikat seperti yang disiarkan Jurnal Kesihatan Awam Amerika melaporkan rawatan yang tidak adil berkait rapat dengan penambahan lilitan di kawasan perut serta pinggang.

Bagaimanapun, ia dikatakan tidak menjejaskan berat badan, namun secara jelasnya ia menunjukkan diskriminasi terhadap masyarakat kulit hitam dan Hispanik.

Dr Haslyn Hunte daripada Universiti Purdue, Indiana yang mengetuai penyelidikan berkenaan menganalisa data 3,025 orang dewasa yang mengambil bahagian dalam kajian kesihatan di kawasan Chicago.

Setiap responden diambil berat masing-masing dan kemudian ditemubual mengenai tabiat kesihatan serta demografik.

Selain itu, responden turut ditanya mengenai pandangan mereka mengenai dasar diskriminasi termasuk berapa kerap mereka dilayan dengan tidak adil berbanding orang lain serta perasaan diugut dan dimalukan.

Secara keseluruhan, penyelidik menemui satu per empat daripada responden yang ditanya memberitahu mereka dilayan dengan tidak adil berdasarkan bangsa atau etnik manakala 40 peratus mempercayai mereka mendapat layanan yang tidak adil atas masalah lain.

Kaitan antara layanan yang tidak adil serta berat badan terhadap masyarakat kulit putih ketara pada sesetengah kumpulan.

“Masyarakat kulit putih di Ireland, Yahudi, Poland dan Itali yang menerima layanan diskriminasi berisiko dua hingga enam kali ganda untuk mengalami masalah penambahan lilitan pinggang berbanding yang tidak menerima layanan kurang adil itu,” kata penyelidik.

Dalam pada itu, kekerapan layanan diskriminasi yang diterima etnik kulit putih sedikit sebanyak menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Namun, tiada bukti jelas yang dapat membuktikan berat badan masyarakat kulit hitam dan Hispanik juga berkait rapat dengan layanan yang diterima mereka.

Begitupun, pasukan Hunte berpendapat masyarakat Afrika dan Hispanik Amerika lebih mudah membiarkan layanan diskriminasi berkenaan berbanding masyarakat kulit putih yang ternyata lebih sukar untuk melupakannya.


# Sumber: Jurnal Kesihatan Awam Amerika, Disember 2008.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom