Home » » Senaman konsisten elak barah

Senaman konsisten elak barah

Sekumpulan penyelidik mendapati wanita berumur yang melakukan senaman berat dalam kehidupan seharian dapat mengurangkan risiko mengidap penyakit barah payu dara sebanyak 30 peratus.

Kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati 30,000 wanita berumur yang mengalami masalah putus haid dan melakukan kerja rumah yang berat seperti membersih lantai dan berlari, dapat mengurangkan risiko dihidapi barah.

Michael Leitzman yang mengetuai penyelidikan di Institut Kanser Kebangsaan daripada Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), berkata wanita yang mengalami masalah berat badan berlebihan berpotensi untuk mengidap barah payu dara.

“Kajian kami mendapati wanita yang kurang melakukan senaman berpotensi besar untuk mengidap barah.


“Begitupun, jika wanita melakukan senaman, mereka akan mendapat banyak kebaikan,” katanya.

Selain itu, Persatuan Barah Amerika mengeluarkan kenyataan kebanyakan kematian wanita di seluruh dunia diakibatkan barah payu dara.

Dianggarkan, lebih 465,000 wanita di seluruh dunia meninggal akibat barah berkenaan tahun lalu dan lebih sejuta kes baru dikesan.

Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan senaman berat serta berterusan boleh membantu mengelakkan daripada penyakit jantung, barah dan pelbagai penyakit lain.

Leitzmann dan rakannya menggunakan kaedah soal selidik terhadap sekumpulan sukarelawan wanita untuk menentukan sama ada mereka melakukan senaman yang diperlukan.

Pada peringkat awal, kebanyakan responden menunjukkan tahap kesihatan yang baik, namun selepas 11 tahun, Leitzmann mendapati responden yang melakukan senaman dengan konsisten mengurangkan risiko pertumbuhan barah payu dara sebanyak 13 peratus.

Keputusan itu dibandingkan dengan wanita yang mempunyai berat badan normal dan jika mereka melakukan senaman berat secara konsisten, kadar untuk mengurangkan risiko barah lebih tinggi iaitu sehingga 30 peratus.

“Kaitan antara senaman berat dapat mengurangkan risiko mengidap barah di kalangan wanita bagaimanapun lebih berkesan di kalangan wanita berbadan kurus,” kata Leitzmann menerusi temubual telefon dari Hospital Universiti Jerman, Regensburg.

Sementara itu, jurnal yang dikeluarkan Pusat Barah Payu Dara BioMed menjelaskan senaman ringan seperti melakukan kerja rumah yang mudah, berjalan, mendaki gunung serta joging tidak memberi sebarang perlindungan untuk melawan barah berkenaan.

Begitupun, pasukan penyelidik berkenaan tidak menjelaskan bagaimana senaman berat dapat membantu, tetapi Leitzmann menjelaskan beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini yang membuktikan senaman berat dapat mengurangkan tahap estrogen yang dikenali membawa risiko tinggi kepada barah berkenaan serta melindungi sistem imunisasi badan - Reuters



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom